Sunday 19 February 2017

Warna warni Himpunan Ungu 18 Februari


DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .
Kuala Lumpur terpanar! Laungan takbir menggema dan membelah  langit kota metropolitan, sahut menyahut dengan penuh semangat menggebu. Himpunan yang melakar sejarah negara ini semenjak negara mencapai kemerdekaan dan paling menarik himpunan ini tanpa mengira latarbelakang bahtera politik. Semenjak dua bulan lepas riuh geger tanah air dengan berita umat Islam akan berhimpun di Kuala Lumpur, ianya juga adalah manifestasi kemarahan umat Islam terhadap sikap biadap politisi bukan Islam terhadap perundangan Syariah.

Di seluruh negara, sejak dua bulan lepas bas-bas dan kenderaan mulai disewa oleh penyokong RUU 355. Terengganu, negeri yang paling akhir memenggal undang-undang Syariah daripada watannya telah kehabisan bas-bas sewa. Rakyat jembel Baling dan Sik mula mencatu perbelanjaan harian untuk turut hadir ke jantung kota pada 18 Februari yang memahat sejarah.



Kisah-kisah himpunan selamatkan akidah umat Islam di Tanah Melayu mula menyentuh kuping telinga anak-anak muda, antaranya kisah bantahan awam di Kota Singapura pada tahun 1950. Kisah umat Islam bangkit mendepang dada di hadapan pihak keselamatan sehingga 18 orang terkorban dan beratus yang lain telah mengalami kecederaan. Kesabaran mereka luntur apabila Natrah ingin dimurtadkan melalui proses perundangan mahkamah penjajah. Ada yang berjalan kaki dan berbasikal menempuh perjalanan jauh untuk menunjukkan sikap peduli mereka. Kota Singapura menjadi saksi perjuangan ummat Islam membela akidah, manakala usai bantahan ini figura seperti Dr Burhanuddin al Helmy, Taha Kalu, Karim Ghani telah mendekam dalam penjara penjajah.

Kini setelah 67 tahun peristiwa Natrah, semangat itu seakan muncul kembali apabila melihat perlecehan dan penistaan kepada perundangan Islam. Sejak 16 haribulan Februari, umat Islam mula bergerak perlahan-lahan ke jantung kota. Kerajaan Kelantan mengumumkan cuti peristiwa, untuk menggalakkan rakyat Serambi Mekah turun berhimpun di Padang Merbok.

Tak mudah menjayakan himpunan ini, tapak program bertukar daripada Dataran Merdeka ke Padang Merbok, mesyuarat demi mesyuarat digalang oleh panitia program bagi menjayakan program. 48 jam terakhir pula tiba-tiba pentas utama tidak dibenarkan untuk didirikan di Padang Merbok sehinggalah perbincangan diadakan semula. Mobilisasi penyokong perjuangan Islam untuk menyokong pindaan RUU 355 juga melebar ke luar negara, sama ada di Eropah, Asia Barat, Asia Selatan.

Lonjakan sokongan juga menjadi semakin meriah dengan penglibatan ramai teman-teman artis dan selebriti, dengan teknologi android yang memudahkan mesej bergentayangan maka suara-suara mereka memecahkan ruang tembok kaca masyarakat awam dengan pendakwah Islam sebelum ini. Daripada artis rock metal sehingga artis nasyid berkopiah, daripada penyanyi papan carta utama sehinggalah pengarah filem semuanya berani menyokong himpunan ini. Belum pernah kesepakatan sebegini berlaku di negara ini semenjak negara ini merdeka.

Luar biasa semangat peserta-peserta yang menghadirkan diri dengan masjid surau di kota ini menjadi meriah dengan anak-anak muda adalah majoriti yang hadir. Semenjak pagi kelibat ungu berdesakan dalam pengangkutan awam seperti LRT, monorel, gerabak-gerabak keretapi. Ruang siber meriah dengan cerita-cerita himpunan solidariti ummah termasuk kisah lelaki tua yang mengayuh basikal daripada Baling untuk hadir pada pagi 18 Februari yang ceria.
Semua slot yang dirancang berjalan lancar, bahkan hujan lebat sebaik sahaja solat maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan namun peserta-peserta tidak berganjak. Ketertiban peserta terkawal, bahkan dengan komitmen tinggi lebih dua ribu petugas. Tazkirah dan pidato pimpinan-pimpinan organisasi Islam menyemangati peserta-peserta, disempurnakan oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan mengingatkan bahawa perjuangan untuk menegakkan Syariah memerlukan komitmen yang berterusan. - HARAKAHDAILY 19/2/2017

No comments:

Post a Comment