Walaupun tema pentadbiran Trump adalah mendahulukan rakyat Amerika dalam segala hal dan matlamat ini sebenarnya te­lah dikotakan oleh beliau dalam masa dua minggu pertama memegang tampuk pemerintahan, tetapi Trump juga dengan pintar mengguna Israel sebagai umpan untuk memikat penyokong beliau. Paling ketara adalah janji beliau untuk memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis yang ketika ini belum ditunaikan kerana menanti masa yang sesuai.




Jika Presiden Rusia Vladimir Putin telah menggunakan sebaik peluang dengan sikap Trump yang berbaik sangka dengan Rusia, begitu juga Netanyahu telah cuba meraih sepenuh manfaat daripada janji Trump berhubung Israel. Hanya beberapa hari selepas Trump mengangkat sum­pah jawatan presiden, Netanyahu mengumumkan pembinaan hampir 6,000 unit rumah baharu di kawasan penempatan haram milik Palestin di Tebing Barat.
Jika senario itu berlaku ketika pentadbiran Bill Clinton, George W. Bush atau Barack Obama lazimnya White House akan menegur dan melarang perbuatan tersebut kerana dianggap sebagai halangan kepada proses perdamaian di antara Palestin dan Israel. Tetapi teguran White House pimpinan Trump kali ini agak berbeza dan penuh dengan tanda tanya kerana kenyataan yang dikeluarkan langsung tidak ada unsur melarang atau menegur.
Bukan sahaja Netanyahu mengambil peluang sikap Trump terhadap Israel dengan membina lebih banyak rumah di penempat­an haram Yahudi di Tebing Barat dan juga Baitulmaqdis Timur yang kedua-duanya adalah tanah milik rakyat Palestin, beberapa hari lepas Netanyahu membuat keputusan yang tidak mungkin boleh dilakukan ketika era pentadbiran Clinton, Bush atau Obama.

Knesset Israel telah meluluskan rang undang-undang berkaitan penempatan haram Yahudi yang antara lain cuba menghalalkan rampasan tanah milik Palestin sama ada di Tebing Barat atau Baitulmaqdis Timur sebagai sah di sisi undang-undang Israel. Perundangan ini bukan sahaja bertentangan dengan pandangan antarabangsa yang menyifatkan penempatan tersebut sebagai me­langgar perundangan antarabangsa tetapi juga seolah-olah cuba mempermainkan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) 2334 yang antara lain menyifatkan penempatan haram sebagai tidak sah.

Perlu ditekankan resolusi UNSC 2334 disyorkan secara bersama oleh Malaysia, New Zealand, Venezuela dan Senegal pada Disember lepas dengan mendapat undian 14 ahli menyokong sementara buat kali pertama dalam sejarah UNSC, AS telah mengambil pendirian berkecuali.

Pada ketika ini terdapat lebih 240 penempatan haram di Tebing Barat yang menempatkan seramai 400,000 rakyat Israel sementara 200,000 lagi berada di Baitulmaqdis Timur. Dengan perundangan terbaru ini dijangkakan Israel berniat untuk menghalalkan hampir 130 penempatan haram yang merangkumi keluasan 818 hektar.

Perlu ditekankan juga pada ketika UNSC 2334 diluluskan, Trump belum lagi mengangkat sumpah presiden dan beliau berikrar akan menongkah resolusi UNSC tersebut dan sebab itu juga langsung tiada kenyataan berbentuk teguran dikeluarkan oleh White House mengenai perundangan penempatan Israel terbaru itu.
Begitu aneh sekali dalil yang digunakan White House adalah untuk menunggu sementara mahkamah Israel membuat keputusan sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi. Ketika ini beberapa pihak di Israel telah mengemukakan saman dalam sistem perundangan kehakiman Israel dengan alasan bahawa perundangan tersebut tidak menepati kehendak perlembagaan.

Begitu ironis sekali apabila Trump mengeluarkan arahan eksekutif untuk mengharamkan kemasukan rakyat dari tujuh negara Islam ke AS minggu lepas, pemangku Peguam Negara Sally Yates telah mengarahkan Jabatan Kehakiman tidak melaksanakan arahan eksekutif Trump kerana menurut beliau arahan Trump itu tidak menepati kehendak perlembagaan AS.

Begitu jua dengan perunda­ngan penempatan, peguam negara Israel Avichai Mandelblit telah mengeluarkan pendapat bahawa perundangan tersebut sukar untuk dipertahankan di mahkamah jika disaman oleh rakyat Israel. Seperti yang diketahui Trump telah memecat Yates sebagai peguam negara AS tetapi setakat ini Netanyahu belum lagi memulakan langkah yang serupa.

Ketika peguam Jabatan Kehakiman AS berhujah di mahkamah mempertahankan arahan eksekutif presiden, Trump telah mengeluarkan ‘kata dua’ jika keputusan tidak memihak beliau, maka rakyat Amerika tidak boleh menyalahkan beliau dan menuding jari ke arah hakim yang membuat keputusan jika negara itu diserang pengganas.

Netanyahu besar kemungkinan telah mengambil peluang daripada kenyataan Trump yang cuba menyalahkan hakim dengan meneruskan juga pembentangan rang undang-undang penempatan kerana beliau sudah agak pasti mahkamah Israel akan mengisytiharkan perundangan tersebut sebagai tidak sah. Netanyahu seperti Trump akan menu­ding jari menyalahkan hakim yang membuat keputusan.

Jika dicongak dengan halus, Netanyahu akan mengambil pe­luang daripada setiap tingkah laku Trump. Baru dua minggu Trump menjadi presiden, sudah begitu jelas Netanyahu telah mencuri peluang seluas-luasnya untuk kepentingan politik beliau di Israel. Trump sebenarnya bukan tidak sedar perkara ini namun seolah-olah merelakan tin­dak-tanduk Netanyahu.