Wednesday 1 February 2017

Asasinasi pakar undang-undang Myanmar dikutuk


MOHD AZMI ABDUL HAMID | .
Kami mengutuk sekeras-kerasnya asasinasi pakar undang-undang di Myanmar iaitu U Ko Ni (nama Muslimnya Abdul Ghani), seorang penasihat undang-undang parti NLD, pimpinan Aung San Suu Kyi, kelmarin. Beliau dibunuh dengan tembakan pada jarak dekat secara terang-terangan di hadapan orang ramai di Lapangan Antarabangsa Yangon, Myanmar sebaik tiba dari lawatannya di Indonesia.

Pada ketika kerajaan Myanmar berada dalam keadaan kritikal; operasi pembersihan etnik Rohingya oleh tentera Myanmar di Maungdaw yang mengakibatkan ratusan terbunuh dan ribuan kehilangan tempat tinggal, berlaku kes rogol dan penyiksaan yang dilaporkan, delegasi PBB yang menyiasat dan mendapati ada bukti genocide, mesyuarat khas OIC mengenai Rohingya di Kuala Lumpur, pendirian tegas Malaysia mengenai pembersihan etnik Rohingya di Myanmar. Ditambah pula berlakunya kes pembunuhan U Ko Ni, keadaan di Myanmar akan menjadi lebih rumit.



U Ko Ni adalah seorang figur Muslim yang terkenal di Myanmar bukan sahaja kerana kepakaran beliau dalam undang-undang Perlembagaan malah ketegasan beliau untuk merubah undang-undang yang terlalu banyak memberi kuasa kepada tentera.

Pembunuhan Ko Ni di hadapan khalayak ramai di kawasan sekuriti di lapangan terbang antarabangsa Yangon, menandakan ada kelompok dalam pemerintahan Myanmar yang merasa inisiatif beliau yang berusaha untuk merubah beberapa peruntukan undang-undang dan dasar Myanmar akan mengancam kuasa tentera.

Ko Ni, seorang peguam Muslim, terkenal dan dihormati kerana sikapnya yang tegas terhadap hak golongan minoriti di Myanmar. Beliau menggesa perlu reformasi kepada undang-undang dan polisi yang telah diwujudkan ketika junta tentera memerintah.

Beliau pemberani yang menyuarakan pembelaan terhadap golongan tertindas tanpa takut walaupun kerap menerima ugutan.

Pada pendapatnya, undang-undang yang tidak melindungi hak minoriti perlu dipinda. Keprihatinan beliau bahawa perlu undang-undang yang ketat untuk menghalang ucapan yang menanamkan kebencian antara etnik dan agama. Beliau juga mahu Akta Perlindungan Pemerintahan 1975 (1975 State Protection Law) dipinda. Ini dilihat sebagai menggugat kedudukan tentera.

Beliau pernah mengutarakan supaya dipinda perkhidmatan awam berpusat di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Beliau tegas mengkritik Peraturan Pendaftaran Tetamu dan cadangan mewujudkan undang-undang yang melarang perkahwinan antara agama.

Advokasi beliau mengenai undang-undang antara agama yang mempromosi kesaksamaan hak merupakan suara yang memberi keadilan kepada semua agama dan hujah beliau sangat kukuh. "Kerajaan bertanggungjawab menjaga kepentingan semua agama. Kerajaan tidak harus hanya memberi perhatian kepada agama Buddha sahaja tetapi harus juga kepada agama yang lain, sebab perlembagaan menyatakan bahawa semua rakyat mempunyai hak kebebasan agama.” (Myanmar Times, May 20, 2016)

Ko Ni juga tegas mengenai diskriminasi dalam undang-undang kerakyatan Myanmar: "Jika seseorang itu dilahirkan di Burma dan hidup sepanjang hayat di Burma, kita harus menerimanya sebagai rakyat Burma ...adalah merosakkan jika membiarkan rakyat dipecah-pecahkan kepada 'kelas'." (The Irrawaddy, 12 May 2016)

Reaksi beliau mengenai pengharaman penubuhan Persatuan Peguam Muslim sangat tegas dan berhujah dengan hujah yang kukuh: "Saya tidak tahu kenapa ada pihak yang mengkritik kami bila mendengar kalimah "Muslim". Kami tidak mengganggu orang lain. Kami hanya mahu memberi bantuan kepada suadara Muslim minoriti yang sudah menderita sedemikian lama dibawah pemerintahan tentera." (Myanmar Times, 21 June 2016

No comments:

Post a Comment