Tuesday 14 February 2017

Jangan jadi macam golongan liberal, PAS bidas mufti Perlis



Berita

PETALING JAYA: PAS menuduh Datuk Dr Asri Zainul Abidin “mengelirukan umat Islam”, selepas mufti Perlis itu semalam mempersoalkan beberapa hujah penyokong undang-undang syariah dan hukum hudud di Malaysia.

Dalam responsnya, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali turut menasihati Asri supaya tidak membawa apa yang dipanggilnya “pandangan songsang” selaku seorang mufti.
“Janganlah berdiri sebaris dengan golongan berfikiran liberal yang berusaha memandulkan sebarang usaha memperkasakan agama Allah,” katanya.



Semalam, Asri ketika bercakap di forum hudud anjuran sebuah pertubuhan tajaan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, mengkritik penyokong undang-undang syariah yang menganggap pelaksanaan hukum hudud akan menunjukkan “keindahan Islam”.

“Apa yang salah sekarang ini kita beri gambaran pada dunia apa yang kita katakan keadilan, apabila dipotong tangan pencuri, disebat orang berzina, minum arak maka terlaksana keindahan Islam.
“Ini gambaran paling salah yang cuba diberikan sekelompok manusia termasuk IS. Tindakan itu hanya membenarkan dakwaan Presiden Amerika Donald Trump yang dunia Islam adalah dunia mengganas,” kata Asri pada forum “Sejauh Mana Anda Memahami Hudud”, anjuran Angkatan Amanah Merdeka.
Menurutnya, wujud segelintir pihak memperjuangkan isu hudud demi kepentingan politik, bukannya atas kecintaan terhadap agama.

Beliau turut melahirkan kebimbangan pelaksanaan syariah di Malaysia akan gagal seperti mana beberapa negara Islam lain seperti Pakistan dan Sudan.
“Saya bimbang orang curi kereta dipotong tangan, tetapi mereka yang mencuri berbilion ringgit tidak dipotong tangan,” katanya.

Khairuddin berkata apa yang dibangkitkan Asri itu adalah di peringkat prosedur melibatkan undang-undang keterangan sebelum hukuman boleh dijatuhkan.“Itu peringkat pelaksanaan di Mahkamah Syariah. Setiap undang-undang ada prosedur keterangannya di mahkamah. Ia dibincangkan dalam konteks Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah di negeri-negeri,” kata wakil rakyat Kuala Nerus dari Terengganu itu.
“Kenyataan (Asri) ini menunjukkan betapa kelirunya Dr Asri dan betapa dia mengelirukan umat Islam,” tambahnya.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada tahun lalu membentangkan rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, bagi membolehkan hakim syarie menjatuhkan hukuman lebih berat ke atas pesalah jenayah Syariah.


RUU yang turut menerima sokongan pemimpin Umno itu bertujuan meningkatkan had denda daripada RM5,000 kepada RM100,000; bilangan sebatan daripada 6 kepada 100, dan tempoh hukuman penjara daripada 3 tahun kepada 30 tahun.

No comments:

Post a Comment