Thursday 9 February 2017

Dasar Trump huru-harakan Amerika dan dunia



DR. ZULKEFLEE YAACOB | .


PRESIDEN  Amerika Syarikat ke-45, Donald Trump, 70 tahun, telah membuat kejutan dalam usaha menjenamakan Amerika Syarikat di pandangan dunia selepas mengangkat sumpah jawatan pada 20 Januari 2017 lalu.

Konglomerat hartanah tersohor dan seorang ahli penerbit televisyen dari calon Parti Republikan ini mengalahkan calon Parti Demokrat, Hillary Clinton telah menggemparkan dunia apabila menghalang visa warganegara Islam dan kemasukan pelarian dari tujuh negara Islam iaitu Libya, Iraq, Iran, Somalia, Sudan, Syria, dan Yaman  serta melarang penempatan pelarian Syria akibat Islamphobia.


Dalam tempoh sebulan Trump telah mengeluarkan perintah eksekutif menghantar pulang pendatang asing tanpa izin dan pembinaan tembok di antara Amerika Syarikat dan Mexico. Beliau didakwa membenci orang Islam melalui proksi kempen anti-muslim oleh parti lawan dan kumpulan konservatif menggelarnya sebagai fasis.

Sementara Arab Saudi tidak tersenarai sebagai negara sumber kerana hubungan baik dengan Israel dan menjaga kepentingan Israel dengan hasrat menukar kedutaan Amerika dari Tel Aviv ke Baitul Muqaddis meskipun penempatan haram Israel diketahui dunia.

Billionair ini menjadi ketua eksekutif, mengetuai cawangan eksekutif kerajaan persekutuan dan ketua komander angkatan tentera bersenjata atau commander-in-chief AS yang mempunyai kuasa ke atas jentera persenjataan termasuk bom nuklear. Beliau mempunyai akses semua maklumat perkhidmatan rahsia dan perisikan CIA meliputi semua negara di dunia.

Slogan “Utamakan Amerika” oleh Trump menyebabkan Obamacare iaitu program penjagaan kesihatan yang diperkenalkan pada tahun 2010 dimansuhkan diganti suatu usaha memberikan kelonggaran kepada negeri-negeri di negara ini untuk melaksanakan program penjagaan kesihatan.

Antara perkara pertama yang beliau nyatakan ketika acara angkat sumpah di Dataran Nasional diikuti makan tengah hari di Capitol, bangunan Parlimen AS sebelum perarakan pendek di Pennsylvania Avenue ialah perubahan kuasa ahli politik di Washington kepada rakyat AS bukan peralihan kuasa dari sebuah parti ke parti lain iaitu kuasa Presiden Obama yang mewakili Demokratik kepada Presiden Trump yang mewakili Republikan.

Inti pati ujarannya bahawa Obama dan presiden sebelumnya digambarkan sebagai mewakili ahli-ahli politik semata-mata sedangkan beliau mengambil kuasa untuk dikembalikan kepada rakyat.

Ini selaras dengan slogan kempen Trump yang mendakwa sepanjang lapan tahun Obama sebagai presiden  tidak mengutamakan AS, sebaliknya  banyak pertimbangannya pada dunia luar hingga AS mengalami kemerosotan perindustrian, kekurangan peluang pekerjaan dan kegagalan kuasa besar itu menghapuskan pengganas Islam. Untuk itu, beliau menggarapkan pelan tindakan untuk memulihkan kilang-kilang agar  rakyat mendapat pekerjaan dan membina infrastruktur seperti lebuh raya dan sekolah untuk kesejahteraan  rakyat.

Beliau merangka pelan membantu pekerja Amerika, menaikkan gaji kepada lebih AS$30 bilion (RM133 bilion) dalam tempoh tujuh tahun akan datang. Dasar perdagangan domestik menetapkan peraturan membeli produk buatan Amerika dan melantik rakyat Amerika bekerja di industri dan premis tempatan .

Setiap keputusan tentang perdagangan, cukai, imigresen dalam hal ehwal luar akan dibuat bagi melindungi pekerja dan rakyat Amerika.

Sebaik Trump memasuki Pejabat Oval, telah  menandatangani satu perintah berhubung Akta Penjagaan Mampu Bayar dengan menggesa jabatan-jabatan kerajaan supaya mengetepikan, mengecualikan atau menangguhkan pelaksanaan peruntukan yang mendatangkan beban kewangan ke atas negeri, syarikat atau individu termasuk mengenakan penalti kepada yang tidak mempunyai insurans. Tambahan Trump turut komited untuk menghapuskan pelan tindakan iIklim dan pelbagai inisiatif alam sekitar yang digubal semasa pentadbiran Obama.

Sementara kenyataan Trump tentang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebagai ketinggalan zaman dan polisi Merkel terhadap isu pelarian adalah suatu ‘mala petaka’ mendapat reaksi negara sasar. Trump ditempelak pemimpin Eropah kerana cuba campur tangan dalam hal ehwal negara-negara Eropah.

Sebanyak 27 buah negara anggota NATO perlu bersatu menegaskan kekuatan ekonomi dan institusi Eropah dapat membantu menangani masalah besar seperti keganasan. Canselor Jerman, Angela Merkel dan Presiden Perancis, Francois Hollande. Merkel menegaskan masa depan rakyat Eropah terletak dalam tangan mereka sendiri manakala Hollande pula berkata, Eropah tidak memerlukan khidmat nasihat pihak luar untuk memberitahu perkara yang perlu mereka lakukan.

Menteri Luar Jerman, Frank-Walter Steinmeier pula berkata, beliau telah berunding dengan Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg dan melahirkan kebimbangan terhadap kenyataan Trump itu. Menteri Luar Sepanyol, Alfonso Dastis pula berharap bilionair itu ‘mengubah pendapat’ berhubung kritikannya itu apabila beliau tahu cara kedua-dua kesatuan itu berfungsi manakala bekas Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls menyifatkan kenyataan Trump itu membawa kepada ‘pengisytiharan perang terhadap Eropah’.

Tambahan Israel, Rusia, Britain dan Taiwan rakan sekutu Trump tidak disenangi dunia kerana sikap retorik dan tidak diplomatiknya menimbulkan kemarahan negara seperti China, Jepun, Mexico, Iran, Kesatuan Eropah dan negara-negara Arab.

Trump telah memecat sekurang-kurangnya 80 duta AS lantikan Barack Obama di seluruh dunia dan pelbagai agensi serta duta yang dilantik untuk isu-isu khusus seperti wanita, dipecat daripada jawatan masing-masing. Tanpa menyenaraikan calon bagi menggantikan kekosongan tersebut.

Tindakannya menyaksikan kebanyakan negara di dunia tidak mempunyai duta yang disahkan oleh Dewan Senat AS dalam beberapa bulan akan datang sekali gus memutuskan hubungan langsung dengan Presiden AS termasuk di negara-negara yang mempunyai hubungan sensitif dengan negara tersebut iaitu Jerman, UK dan Kanada selain beberapa negara di Asia termasuk China, India, Jepun dan Arab Saudi.

Pelantikan duta keperluan getir yang dilakukan Trump seperti pelantikan Gabenor South Carolina Nikki Hayley sebagai duta ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengantikan Samantha Power,  peguam David Friedman sebagai duta ke Israel dan Gabenor Iowa, Terry Branstad ke China. Pada masa sama, Trump meletakkan perang terhadap pengganas sebagai dasar luar utama  dan berjanji untuk bekerjasama dengan negara sekutu AS bagi memusnahkan ancaman militan.

Dunia menyaksikan bantahan terhadap Donald Trump sebagai presiden Amerika Syarikat. Penduduk Islam, warga dan orang asing, Orang Kelainan Upaya (OKU), aktivis dan orang awam termasuk jutaan wanita berkumpul tanda protes hanya dua hari selepas rasmi menjadi Presiden.

Kebanjiran golongan wanita turun di jalanan kerana  tidak puas hati  terhadap kempen retorik dan tingkah laku Trump. Bantahan oleh peserta tunjuk perasaan memilih tema warna merah jambu pada topi dan pakaian melambangkan kewanitaan sambil membawa sepanduk dan poster telah yang merebak di seluruh dunia. Mereka berarak di bandar utama di Los Angeles, New York, Chicago, Denver dan Boston.

Pengasas facebook Mark Zuckerberg  turut  membantah kerana Amerika terbentuk dari Sejarah imigrasi pendatang luar terutama dari Eropah sejak tahun 1600. Beliau bangga nenek moyangnya berasal dari Jerman, Austria dan Poland manakala isterinya dari China dan Vietnam.

Selebriti Hollywood turut mengambil bahagian termasuk Madonna, Scarlett Johansson, America Ferrera, Ashley Judd, Gloria Steinem, Micheal Moore dan ramai lagi. kerana prinsip demokrasi mempertahankan hak kemanusiaan merentasi sempadan bangsa, menjaga hak imigran dan hak warga asing malah atas prinsip hak asasi manusia melangkau warga sama ada orang Islam atau bukan warga dari memasuki Amerika Syarikat.

Sumber media melaporkan sebanyak 7 juta muslim merupakan warga minoriti berasa gusar dengan dasar Trump. Sebahagian besar menyeru Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dianggotai 57 negara, kumpulan Islam di Amerika seperti Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika (ACLU) di Amerika memainkan peranan masing-masing sama ada vokal dan mengambil tindakan mahkamah  di samping non-muslim menyokong protes anti-Trump.

Sementara bantahan besar-besaran daripada organisasi MuslimBan terhadap  pengharaman visa untuk 7 negara Islam yang didakwa Trump tiada jalinan diplomatik kerana tiada pengalaman sebagai presiden yang mempunyai kuasa yang banyak hingga mempertaruhan nyawa manusia. Tanpa pengalaman politik, ketenteraan, perkhidmatan awam atau perjuangan rakyat, Trump seolah-olah suatu entiti mutasi dalam evolusi spesies politik yang  memberi kejutan ke atas sistem, bukan saja AS tetapi juga dunia.

Malah tinjauan dalam media elektronik seperti twitter mendakwa Trump tidak sepatutnya jadi presiden Amerika kerana sifat elitisme di samping Islamphobia terhadap negara Islam. Sikap Donald Trump anti-Islam dan prasangka pada Islam akibat peristiwa 11 September mendapat empati dan sokongan bukan Islam.

Menurut penganjur, perarakan berkenaan disertai kira-kira 750,000 orang di Los Angeles, 400,000 berarak di New York dan di Chicago, manakala sebanyak 200,000 menyertai perarakan sama di Denver dan Boston. Britain sahaja, kira-kira 80,000 hingga 100,000 peserta berhimpun dengan sebahagian besar daripada mereka berada di Belfast, Cardiff, Edinburgh, Leeds, Liverpool, Manchester dan Bristol. Bandar di Eropah yang turut mengambil bahagian termasuklah Barcelona, Rom, Amsterdam, Geneva, Budapest, Prague, Berlin dan Paris. Perarakan protes turut diiadakan di Australia, New Zealand dan beberapa negara Asia.

Namun Trump dengan keras menangkis bahawa polisinya untuk mengengkang isu keganasan bukan isu agama demi menjaga Amerika sebuah negara selamat dari anasir keganasan global.

Dengan sinis membandingkan dasar Obama yang melarang visa pelarian Iraq dan negara sumber keganasan sudah tertera tanggungjawabnya melindungi negaranya kerana keutamaannya  berkhidmat pada Amerika.

Oleh itu, majoriti rakyat tidak menyukai Trump, bukan atas sikap dan pendiriannya tetapi perwatakan dan  pemikirannya mendatangkan kegelisahan warga dunia terutama golongan intelektual dan profesional yang memahami realiti kerana Trump mempunyai semangat  billionair. – HARAKAHDAILY 8/2/2017

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak.

No comments:

Post a Comment