Thursday 23 February 2017

Lebih 20,000 kes syariah di Selangor selesai tahun lepas



KUALA LUMPUR: Lebih 20,000 kes syariah di seluruh Selangor berjaya diselesaikan Mahkamah Syariah Selangor sepanjang tahun lalu.

Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sebanyak 26,503 kes berjaya diselesaikan dan daripada jumlah itu, 22,213 merupakan kes bukan jenayah manakala 4,290 kes pula membabitkan jenayah syariah.

“Jumlah kes mal (bukan jenayah) yang direkodkan sepanjang tahun lepas termasuk hal berkaitan nikah, cerai dan kebenaran berpoligami adalah sebanyak 27,726 kes dengan 80 peratus daripadanya berjaya diselesaikan.



“Untuk kes jenayah syariah seperti khalwat dan persetubuhan haram pula, kita berjaya selesaikan hampir 68 peratus daripada 6,282 kes,” katanya dipetik SelangorKini.

Na’im berkata, pencapaian itu menjangkaui sasaran ditetapkan pihaknya iaitu 75 peratus bagi mal dan 60 peratus untuk jenayah.

“Tahun ini, kita yakin dapat menyelesaiakn 90 peratus kes mal dan juga jenayah susulan pencapaian yang baik pada tahun lepas.

“Ini juga selari dengan misi kita dalam melaksanakan pengadilan dan pengurusan mahkamah syariah yang berkesan serta sistematik untuk rakyat,” katanya

No comments:

Post a Comment