Wednesday 8 February 2017

Jam'iyatul Fathaniyah: Permulaan kebangkitan Gerakan Islam


MOHD FADLI GHANI | .

JAM'IYATUL FATHANIYAH: PERMULAAN BAGI KEBANGKITAN GERAKAN ISLAM

KEKALAHAN bangsa Melayu di tangan penjajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Siam sejak 29 Ogos 1511 telah meletakkan bangsa Melayu sebagai bangsa Islam pertama terlepas dari kekhalifahan. Kesultanan Aceh (1496-1903) yang dianggap sebagai cabang Kekhalifahan Othmaniyah di Nusantara telah mengalami kemerosotan mendadak selepas Perjanjian Sumatera 1871 antara Belanda dan Inggeris, diikuti oleh Perang Aceh yang berlanjutan mulai 1873 hingga 1893 tetapi gagal menjatuhkan Aceh, sehinggalah pada 1896, Dr Snouck Hurgronje berjaya memecah-belahkan umat Islam dan akhirnya Sultan Mohamad Daud Shah menyerah kalah pada 1903.


Sebelum runtuhnya Aceh, Pattani yang menjadi benteng kekuasaan Islam di utara juga telah runtuh pada 1786 setelah diserang Siam. Pada 1789-1791, mereka melancarkan Perang Sabil, diikuti Musuh Pattani 1820-1839 tetapi gagal membebaskan Pattani, sebaliknya kerajaan mereka runtuh sepenuhnya pada 1902. Di sisi yang lain, Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 telah memecahkan Kerajaan Johor-Riau sekali gus melemahkan politik umat Islam yang menguasai laluan utama pedagangan.

Di sebalik keruntuhan serentak kuasa politik Islam di Nusantara - Johor-Riau, Pattani dan Aceh - Khalifah Othmaniyah yang berpusat di Istanbul juga turut terancam ekoran kehancuran Kesultanan Mughal di India pada 1857, sedangkan wilayah Islam di sebelah barat telah terlepas ke tangan kuasa-kuasa Eropah. Kemasukan pengaruh sekular barat dan Yahudi Donma dalam kerajaan Othmaniyah sejak 1876 telah menjadi punca kelumpuhan khilafah. Ketika Othmaniyah sedang melemah, pada tahun 1870, reformis Islam terkemuka, Syed Jamaluddin al-Afghani telah berhijrah ke Mesir dan menubuhkan Hizbul Hurriyah untuk membebaskan Mesir dari penjajahan Barat. Pada 1889, Sultan Abdul Hamid II telah melantik beliau sebagai Penasihat Kerajaan Othmaniyah dan melancarkan gerakan Pan-Islamism (al-Jam'iah al-Islamiyah) untuk menyatukan umat Islam. Kejatuhan Mesir dari tangan Perancis ke tangan British pada 1882 pula mendorong Syed Jamaluddin al-Afghani menubuhkan majalah al-Urwatul Wuthqa bagi membentuk kesedaran umat Islam, terutama kerana terancamnya Baitul Maqdis dan kekhalifahan di Istanbul.

Di celah-celah proses kejatuhan kuasa politik Islam di Asia Barat ini, orang Melayu telah pun kehilangan kuasa pemerintahan secara berperingkat terutama selepas 1824. Dengan pengaruh penubuhan Hizbul Hurriyah di Mesir pada 1870, seorang anak Melayu, Sheikh Wan Ahmad Wan Mohd Zain al-Fathani yang ketika itu merupakan orang Melayu yang pertama belajar di Universiti al-Azhar telah mengatur untuk menubuhkan organisasi politik yang serupa bagi memperjuangkan kemerdekaan Alam Melayu. Setelah beliau kembali ke Mekah dari Mesir pada 1873, beliau telah mengasaskan sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Jam'iyatul Fathaniyah, iaitu pergerakan politik Islam yang pertama bagi orang Melayu yang berpusat di Mekah. Pertubuhan ini dianggotai oleh para ulamak dan pelajar Melayu yang bermukim di Mekah, dan kemudiannya mereka mengembangkan perjuangan politik Islam di negeri masing-masing. Penubuhan Jam'iyatul Fathaniyah ini merupakan anjakan besar perjuangan umat Islam di Nusantara kerana sebelum ini pergerakan mereka adalah berdasarkan pengaruh peribadi tokoh-tokoh ulamak, kini telah berubah menjadi sebuah organisasi perjuangan Islam atau jamaah.

Sheikh Wan Ahmad al-Fathani (1856-1908) adalah ulamak besar di Mekah yang berasal dari Kampung Jambu, Pattani. Beliau lahir dalam keluarga ulamak pejuang di Pondok Bendang Daya yang sangat terkenal itu pada 1856. Beliau mendalami ilmu agama di Pattani, Mekah, Madinah, Baitul Maqdis dan Mesir sebelum mengajar di Mekah. Kitab-kitab karya beliau dan yang ditashihkan oleh beliau sangat banyak dan terkenal, termasuklah kitab Faridatul Faraid dan al-Fatawa al-Fathaniyah. Kitab Hadiqatul Azhar wa al-Rayahin dan ad-Daulah al-Aliyah at-Turkiyah al-Uthmaniyah adalah antara yang membahas pemikiran politik dan sejarah perjuangan umat Islam. Beliau telah dilantik sebagai Pengarah Percetakan Kerajaan Othmaniyah dan mengetuai Matba'ah Miriyah (al-Amiriyah) yang terkenal di seluruh dunia kerana penerbitan buku-buku agama. Beliau juga mempunyai murid yang sangat ramai lagi masyhur, termasuklah Tok Kenali, Syed Sheikh al-Hadi, Raja Ali Kelana, Sultan Zainal Abidin III, Dato' Perdana Nik Mahmud, Tok Janggut dan lain-lain.

Peranan terbesar Jam'iyatul Fathaniyah di Mekah adalah membentuk kesedaran politik Islam, melahirkan semangat menuntut kemerdekaan dan mempertahankan kekhalifahan Islam yang sedang digugat oleh musuh-musuh Islam. Kesan dari pergerakan ini, pada 1880, Raja Ali Kelana dan Syed Sheikh al-Hadi telah menubuhkan Jam'iyatul Rusyidiyah di Pulau Penyengat sebagai organisasi Islam yang pertama di Nusantara. Dari organisasi inilah lahirnya Jam'iyatul Khairiyah (1905) dan Sarekat Islam (1906) di Pulau Jawa. Di Kelantan, Tok Kenali telah menubuhkan Jam'iyatul Asriyah pada 1915, sebelum muridnya, Tuan Guru Haji Abdullah Tahir menubuhkan Jabhah ad-Diiniyah al-Islamiyah Kelantan pada 1934. Jam'iyatul Rusidiyah juga turut berpengaruh di Singapura dan Pulau Pinang sehingga tertubuhnya beberapa organisasi Islam di sana. Sarekat Islam diketahui umum menjadi induk kepada perkembangan pergerakan politik Islam di Indonesia dan Malaysia selepas tahun 1900.

Di Mekah sendiri, selepas kematian Sheikh Wan Ahmad al-Fathani pada 14 Januari 1908, telah muncul pertubuhan-pertubuhan Islam yang dianggotai oleh pelajar-pelajar Islam termasuklah Gabungan Pelajar-pelajar Tanah Melayu-Indonesia (GAPIS) yang pernah diketuai oleh Pak Yusof Rawa dalam tahun 1940-an, kemudian ketika di bawah pimpinan Ustaz Mustafa Afifi, mereka menubuhkan PAS Cawangan Mekah pada 1954. GAPIS kemudiannya turut bergabung dengan Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya (KPAS) pada 1954. Para ulamak yang belajar di Masjidil Haram, Madrasah Shaulatiyah al-Hindiyah, Darul Ulum dan lain-lain di Mekah yang terlibat dengan pergerakan politik Islam di Mekah telah menjadi nadi utama gerakan politik Islam di Malaysia selepas Perang Dunia Kedua.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
7 Februari 2017 - HARAKAHDAILY 7/2/2017

No comments:

Post a Comment