Wednesday, 2 November 2016

Hukum azan dua kali bagi waktu Subuh


http://www.muftiwp.gov.my | .

IRSYAD AL-FATWA KE-133: HUKUM AZAN DUA KALI BAGI WAKTU SUBUH

Written by Muhammad Fahmi Rusli.

Soalan:

Assalamualaikum Sahibus Samahah Datuk Mufti, adakah azan dua kali pada waktu Subuh itu merupakan sesuatu yang disyariatkan dan apakah hukumnya ? Mohon penjelasan. Terima kasih.

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t. Isu ini seringkali menjadi persoalan dalam kalangan masyarakat awam. Justeru, pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui Irsyad al-Fatwa siri ini akan cuba menjawab permasalahan yang diajukan secara tuntas dan terperinci.

Mukadimah

Secara asalnya, seruan azan hanya dikumandangkan apabila telah masuknya waktu solat. Akan tetapi, keadaan ini sedikit berbeza dengan solat subuh berdasarkan beberapa hadis yang berkaitan. Berikut kami sertakan beberapa pendapat para fuqaha berkenaan azan sebanyak dua kali pada waktu subuh:

Pertama: Mazhab Abu Hanifah

Kata al-Allamah Ibn Nujaim al-Hanafi Rahimahullah: Dan tidak dilaungkan azan sebelum masuk waktunya serta tidak dibolehkan untuk azan sebelum masuknya waktu solat tanpa ada sebarang khilaf melainkan pada solat fajar (subuh). Lihat al-Bahr al-Raiq, Ibn Nujaim (1/277).

Kenyataan di atas menjelaskan bahawa para fuqaha telah bersepakat bahawa laungan azan hanya berlaku setelah masuknya waktu bagi sesuatu solat. Akan tetapi, terdapat pengecualian bagi solat subuh. Ini kerana, dibolehkan azan subuh ataupun yang pertama sebelum masuknya waktu fajar.



Kedua: Mazhab Maliki

Kata Imam al-Kharasyi al-Maliki: Disyaratkan pada azan itu hendaklah ia tidak dikumandangkan sebelum masuknya waktu secara ijma’ (sepakat) para ulama. Ini disebabkan tiada faedahnya melakukan hal tersebut kerana azan fungsinya adalah untuk memberitahu telah masuknya waktu solat. Adapun solat subuh maka ianya terkecuali kerana disunatkan mendahulukan azannya (azan pertama) pada satu perenam malam yang terakhir. Lihat Syarah al-Mukhtasar, al-Kharasyi.

Syeikh al-Kharasyi di dalam kenyataannya di atas menjelaskan bahawa fungsi azan adalah untuk memberi maklum bahawa telah masuknya waktu solat. Justeru, azan yang dilakukan sebelum masuk waktunya adalah sesuatu yang tiada faedah padanya melainkan pada azan fajar. Ini kerana, hukum azan pertama pada waktu subuh adalah sunat serta terdapat faedah dan juga hikmahnya yang tersendiri.

Ketiga: Mazhab Al-Syafi’e

Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: Disunatkan dua orang muazzin (tukang azan) bagi sebuah masjid. Seorang melaungkan azan subuh sebelum fajar dan seorang lagi melaungkannya setelah masuk waktu fajar. Rujuk al-Minhaj, al-Nawawi (1/148).

Kata Syaikhul Islam Zakaria al-Ansari Rahimahullah pula: Tidak sah azan solat sebelum waktunya melainkan pada waktu subuh. Pada waktu syita’ (musim sejuk) ianya dilakukan pada satu pertujuh malam secara lebih kurang. Manakala pada musim soifi (musim panas) azan pertama dikumandangkan pada separuh dari satu pertujuh malam secara lebih kurang. Lihat Syarah al-Bahjah al-Wardiyyah (1/271).

Kenyataan dua tokoh mazhab Imam al-Syafie ini jelas menunjukkan bahawa azan pertama bagi solat subuh adalah suatu yang disyariatkan. Bahkan Syeikh Zakaria al-Ansari memberikan pendapatnya berkenaan bilakah waktunya untuk dilaungkan azan pertama tersebut seperti yang kami nyatakan di atas.

Keempat: Mazhab Hanbali

Tokoh besar mazhab Hanbali iaitu al-Allamah al-Bahuti Rahimahullah berkata: Dan tidak sah azan sebelum masuk waktunya melainkan solat fajar. Maka diharuskan azan (yang pertama) setelah berlalunya separuh malam. Rujuk Kasyyaf al-Qanna’, al-Bahuti (1/242).

Berdasarkan kepada beberapa pendapat di atas, kami menyatakan bahawa azan subuh sebanyak dua kali adalah disyariatkan manakala hukumnya pula adalah sunat.

Adakah Azan Dua Kali Pada Waktu Subuh Disyariatkan ?

Kata Imam Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah: Majoriti fuqaha mengatakan bahawa ianya disyariatkan manakala terdapat beberapa tokoh yang mengatakan sebaliknya seperti Imam Abu Hanifah dan juga Sufian al-Thauri. Lihat Fath al-Bari, Ibn Hajar (2/104).

Dalil-Dalil Pensyariatan Azan Subuh Dua Kali

Daripada A’isyah R.anha beliau berkata:

أَنَّ بِلاَلاً، كَانَ يُؤَذِّنُ بِلَيْلٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ "‏ كُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُؤَذِّنَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ، فَإِنَّهُ لاَ يُؤَذِّنُ حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْرُ

Maksudnya: Sesungguhnya Bilal melaungkan azan pada waktu malam. Maka Rasulullah S.A.W bersabda: Makan dan minumlah kalian sehinggalah Ibn Ummi Maktum azan. Kerana sesungguhnya dia tidak melaungkan azan sehinggalah terbitnya fajar.
Riwayat al-Bukhari (1918)

Di dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar R.anhuma beliau berkata:

كَانَ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مُؤَذِّنَانِ بِلاَلٌ وَابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ الأَعْمَى فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ "‏ إِنَّ بِلاَلاً يُؤَذِّنُ بِلَيْلٍ فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُؤَذِّنَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ ‏"‏ ‏.‏ قَالَ وَلَمْ يَكُنْ بَيْنَهُمَا إِلاَّ أَنْ يَنْزِلَ هَذَا وَيَرْقَى هَذَا

Maksudnya: Rasulullah S.A.W mempunyai dua orang muazzin (tukang azan) iaitu Bilal dan Abdullah Ibn Ummi Maktum seorang yang buta. Maka Rasulullah S.A.W bersabda: Sesungguhnya Bilal melaungkan azan pada waktu malam. Maka makan dan minumlah kalian sehingga Ibn Ummi Maktum azan.

Kata Abdullah Bin Umar R.anhuma: Tidaklah jarak di antara kedua azan itu melainkan seseorang itu turun (dari menara azan) dan seseorang yang lain pula naik (ke menara tersebut).
Riwayat Muslim (1092)

Kata Imam al-Nawawi Rahimahullah ketika mensyarahkan hadis di atas: Hadis ini menunjukkan bahawa disunatkan untuk mengambil dua orang muazzin (tukang azan) di dalam sebuah masjid yang sama dan salah seorang dari mereka azan sebelum terbitnya fajar manakala seorang lagi azan setelah terbitnya fajar sebagaimana yang dilakukan oleh Bilal dan juga Ibn Ummi Maktum. Lihat Syarah Sahih Muslim, al-Nawawi (4/82).

Mengulas berkenaan jarak di antara kedua-dua azan tersebut, kata Imam al-Nawawi: Para ulama menyatakan bahawa Bilal melaungkan azan sebelum fajar dan setelah azan beliau menunggu sebentar untuk berdoa dan seumpamanya. Kemudian setelah masuknya fajar beliau turun ke bawah untuk memberitahu Ibn Ummi Maktum dan Ibn Ummi Maktum pun segera bersuci lalu naik ke atas untuk melaungkan azan. Rujuk Syarah Sahih Muslim, al-Nawawi (7/204).

Hikmah Azan Dua Kali

Hikmah ini dapat diketahui daripada nas nabawi sendiri sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis riwayat Abdullah bin Mas’ud R.A bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

لاَ يَمْنَعَنَّ أَحَدَكُمْ ـ أَوْ أَحَدًا مِنْكُمْ ـ أَذَانُ بِلاَلٍ مِنْ سَحُورِهِ، فَإِنَّهُ يُؤَذِّنُ ـ أَوْ يُنَادِي ـ بِلَيْلٍ، لِيَرْجِعَ قَائِمَكُمْ وَلِيُنَبِّهَ نَائِمَكُمْ، وَلَيْسَ أَنْ يَقُولَ الْفَجْرُ أَوِ الصُّبْحُ

Maksudnya: Janganlah azan Bilal menghalang salah seorang dari kamu untuk memakan sahurnya. Sesungguhnya dia (iaitu Bilal) melaungkan azan pada waktu malam dengan tujuan untuk memanggil kembali mereka yang melakukan qiyamullail serta memberi peringatan kepada mereka yang masih tidur. Bukanlah (azan Bilal) itu bererti bahawa telah masuk fajar atau waktu pagi.
Riwayat al-Bukhari (621).

Jarak Di Antara Azan Fajar Pertama Dan Azan Kedua

Waktu azan pertama dalam solat fajar dan jaraknya dengan azan yang kedua berlaku khilaf di sisi para fuqaha. Kata Imam Ibn Abd al-Barr Rahimahullah: Para ulama berbeza berkenaan dengan waktu azan yang pertama bagi solat fajar. Sebahagian ulama bermazhab Syafie mengatakan bahawa waktunya adalah pada waktu sahur di antara fajar sadiq dengan fajar kazib. Kata beliau lagi: Adalah makruh untuk dilakukan azan sebelum waktu tersebut.

Bagi sesiapa yang meneliti hadis-hadis yang menceritakan berkenaan azan dua kali pada waktu subuh ini, dia akan mendapati bahawa jarak di antara keduanya adalah singkat sahaja iaitu di antara 10 hingga ke 15 minit di antara azan yang pertama dengan azan yang kedua. Ini dapat dilihat berdasarkan kata-kata Abdullah bin Umar R.anhuma:

وَلَمْ يَكُنْ بَيْنَهُمَا إِلاَّ أَنْ يَنْزِلَ هَذَا وَيَرْقَى هَذَا

Maksudnya: Dan tidaklah jarak di antara kedua azan itu melainkan seseorang itu turun (dari menara azan) dan seorang lagi menaikinya.
Riwayat Muslim (1092)

Beberapa Garis Panduan Yang Dicadangkan

Berikut merupakan beberapa perkara yang boleh dijadikan garis panduan dalam isu ini:

Isu sebegini perlulah dibincangkan secara terperinci lagi harmoni di antara pihak jawatankuasa masjid dan juga ahli kariah kawasan tersebut.
Sekiranya kesemua pihak telah bersetuju dan jelas berkenaan hujah-hujah secara ilmiah berkaitan isu ini, maka maklumkanlah kepada masyarakat ramai di kawasan tersebut sama ada melalui pengumuman ataupun diiklankan di papan masjid bahawa pihak pengurusan masjid bersetuju melakukan perkara tersebut.
Hendaklah masing-masing mengambil sikap berlapang dada terutamanya dalam berinteraksi dengan isu isu far’iyyah (cabang) seumpama ini.

Kesimpulan

Kami nyatakan di sini bahawa azan sebanyak dua kali bagi solat subuh iaitu yang pertama dilaungkan sebelum masuk waktu fajar manakala yang kedua dikumandangkan setelah masuk waktu adalah suatu yang disyariatkan dan hukumnya adalah sunat. Kami juga berdoa supaya Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita semua dalam beramal berlandaskan sumber-sumber yang sahih. Ameen.

Akhukum Fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
7 Oktober 2016 bersamaan 6 Muharram 1438H

No comments:

Post a Comment