Thursday 9 February 2017

Pindaan Akta 355 kawal moral orang Islam


ASLANI M & IBNU MAHMUD | .
KOTA BHARU: Biarpun banyak pihak masih lagi kabur terhadap pindaan Akta 355, namun tanpa sedar pindaan yang dibuat sebelum ini turut mendapat sokongan anggota parlimen (MP) bukan Islam.

Ketika pindaan Akta 355 dibentang pada 18 Disember 1984 oleh Datuk Radzi Sheikh Ahmad yang mewakili kerajaan, usul itu disokong seorang lagi menteri dari Sabah Datuk Seri James Ongkili.



 Begitu juga ketika pindaan awal Akta 355 dibentang di parlimen pada 1965, anggota parlimen bukan Islam ketika itu tidak  membantah termasuk Lee Kuan Yew mewakili Singapura.

Institut Kajian Strategik Islam Malaysia juga berhujah pindaan Akta 355 bertujuan memperkasakan mahkamah syariah untuk mengawal moral umat Islam yang berhadapan gejala sosial makin serius.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Prof Mahamad Naser Disa menyebut pindaan akta itu akan memberi autonomi lebih luas kepada negeri untuk membendung gejala maksiat dan salah laku syariah.

“Pindaan itu telah lama dicadangkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, namun kerana kekangan birokrasi, maka lebih mudah dibentang secara persendirian,” katanya pada satu tulisan.

Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari USM juga berhujah usaha yang dilakukan kerajaan Kelantan bagi memperkasakan perundangan Islam sudah lama dilakukan, sejak 1993.

Katanya, dalam konteks Kelantan dengan penduduk majoriti Muslim usaha itu bukan lagi perkara baru.

“Ia berbeza mengikut keadaan negeri. Misalnya ketika PAS mentadbir Kedah sebelum ini, isu hudud tidak dimainkan kerana mengambil bilangan penduduk nonMuslim agak ramai.

“Kalau dalam konteks Kelantan ia berbeza lagi pun usaha ke arah itu sudah lama dilakukan,” katanya ditemui semalam.

Pada 24 November lepas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membentang kali kedua usul persendirian berkaitan RUU 355 mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Usul kali kedua itu berbeza sedikit berbanding usul yang dibentang pada persidangan parlimen sebelum itu.

Pada Mac 2015 Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II)(1993).

Manakala dalam perkembangan berkaitan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Kelantan disaran menyertai Himpunan Menyokong Pindaan Akta 355, 18 Februari ini di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan NGO Datuk Dr Ramli Mamat berkata NGO yang bernaung di bawah Konfederasi NGO Kelantan hendaklah merebut peluang menghadiri program berkenaan kerana diperjuang semenjak era almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz.

"RUU 355 bukan isu politik, soal individu atau sentimen kepartian, tetapi menjadi suatu keperluan umat Islam memperkasakan undang-undang syariah,” katanya. - HARAKAHDAILY 9/2/2017

No comments:

Post a Comment