Saturday 25 February 2017

‘Bumi kedua’ ditemukan






Mempunyai air di permukaan, menyokong kehidupan



24 Februari 2017 12:22 AM


LONDON 23 Feb. - Para pengkaji astronomi me­­­nemukan sekurang-ku­rang­nya tujuh planet baharu dan mengorbit bintang yang sama pada jarak 39 tahun cahaya dari Bumi.

Penemuan luar biasa itu ‘menghidupkan’ usaha pengkaji terbabit untuk mencari ‘Bumi kedua’ dengan planet-planet berkenaan dikatakan mempunyai saiz sebesar Bumi termasuk kemungkinan mempunyai air di permukaan serta berpotensi ‘menyokong kehidupan’.

Lapor Mail Online, penemuan terkini itu diterbitkan dalam jurnal Nature, diketuai oleh Institut Star di University of Liege, Belgium dan menggunakan teknologi teleskop ruang angkasa Spitzer serta teleskop Liverpool yang dikawal selia oleh Institut Penyelidikan Astrofizik (ARI), Liverpool John Moores University (LJMU).

Tujuh planet berkenaan berusia sekurang-kurangnya satu bilion tahun dan terletak lebih kurang 39 tahun cahaya dari Bumi.

Planet-planet itu yang diberi gelaran Trappist-1 mempunyai kandungan cecair, saiz dan jisim serta permukaan berbatu yang sepadan dengan Bumi.

Pembantu bersama Pengarah Misi Sains Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA), Thomas Zurbuchen berkata, persoalan mengenai manusia ha­nyalah satu-satunya makhluk yang wujud di alam semesta ini mungkin akan berakhir.

“Penemuan terbaharu itu mem­berikan kita petanda bahawa pencarian Bumi kedua tidak lagi akan menjadi persoalan tetapi bila bo­leh dilaksanakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment