Tuesday 21 February 2017

Tsunami politik Islam dalam PRU14


Pilihanraya
Pilihanraya - Gambar hiasan




PROVOKASI yang mengatakan akan berlaku tsunami Melayu dalam PRU14 selepas tamatnya penghujung Politik Baru Malaysia. Tetapi berdasarkan kepada beberapa faktor yang semakin jelas kelihatan sebenarnya bukan tsunami Melayu. Sebaliknya tsunami Islam bakal melanda di negara ini. Antara penyebab tsunami Islam adalah peningkatan mendadak generasi muda kelas pertengahan yang mempunyai pendidikan Islam dan kesedaran Islam di negara ini.

Berdasarkan pola pengundi di beberapa negeri yang majoriti Melayu Islam melebihi 80 peratus seperti Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu serta separuh Pahang dan Perak, yang dibuktikan dengan undian popular - memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat di negeri-negeri tersebut datangnya daripada popular undi kepada Pas (52 peratus). Strategi ini membolehkan negeri-negeri Kelantan dan Terengganu menyamaratakan kekuatan Pas dan Umno. Bagi negeri-negeri Kedah, Perlis, Perak dan Pahang menyaksikan kemenangan kepada parti-parti dalam gabungan Pakatan Rakyat.


Ekoran perpecahan yang berlaku dalam 2008, menyebabkan Pas keluar daripada Pakatan Rakyat. Akhirnya gabungan pembangkang yang diketuai DAP dan PKR semakin lemah. Keadaan ini terpaksa diambil alih oleh Parti Amanah Negara (Amanah) yang merupakan serpihan parti Pas. Amanah yang merupakan parti baharu masih belum dapat mengambil alih kepimpinan Pas dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) yang baru ditubuhkan. Akibatnya PH terpaksa memeterai persefahaman perjanjian dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang merupakan serpihan dari Umno. Gabungan ini hanya digunakan dalam platform sementara sebagai persediaan menghadapi PRU14.


Perlu diingatkan kekuatan Pas bukan ditentukan oleh pengundi atas pagar semata-mata. Tetapi ditentukan oleh penyokong tegar Pas yang tidak mahu kerjasama dengan DAP yang dilihat kurang mesra dengan Islam. Penyokong tegar ini menyebabkan kerelevanan Pas dalam politik Malaysia sejak merdeka. Sekembalinya Pas keseorangan dalam menghadapi PRU14 ini sebenarnya telah mengisi vakum perjuangan politik Islam secara teratur. Situasi ini boleh difahami apabila terdapat segelintir penyokong tegar Pas yang memberikan kemenangan Umno dalam PRU13 kerana tidak bersetuju dengan pendirian kerjasama DAP.

Kawasan Parlimen di Kedah iaitu, Alor Setar, Sungai Petani, Padang Serai dan Merbok telah memperlihatkan peningkatan pengundi Melayu daripada kurang dari 50 peratus pada PRU11 kepada melebihi 60 peratus pada PRU14 nanti. Malahan peningkatan pengundi Melayu turut berlaku secara mendadak di semua kawasan Parlimen di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kemaman, Kangar dan Kuantan. Peningkatan ini disebabkan faktor kehadiran generasi muda Melayu yang berumur antara 21 hingga 45 tahun. Golongan ini adalah pengguna tegar WhatsApp dan Facebook dalam telefon android.

Pelabelan persepsi politik 4R (Race, Religion, Right dan Repel) telah sinonim dengan mereka. Contoh Umno dilabelkan dengan persepsi Right iaitu hak rakyat tergadai disebabkan kes 1MDB dan GST. Diikuti dengan persepsi Race dan Religion iaitu agama dan kaum ke atas DAP yang dianggap sebagai anti Islam dan anti Melayu. Jadi mana-mana parti yang bersama dengan DAP turut dianggap bersekongkol dengan persepsi 2R tersebut. Manakala Pas dipersepsi dengan Religion dan Repel iaitu agama dan penolakan. Ini disebabkan perjuangan Rang Undang-undang 355 yang berkaitan dengan perundangan Islam. Situasi ini menyebabkan Pas kelihatan berjuang atas agama Islam. Seterusnya orang bukan Islam akan menolak (Repel) Pas yang dilihat ingin menjadikan Malaysia ke arah negara Islam.

Mahu tidak mahu, golongan generasi muda ini akan membuat pilihan berdasarkan naluri didikan sebagai seorang Islam Melayu. Peningkatan kos sara hidup dan kesukaran untuk mencari rezeki akan memberi golongan ini dua pilihan. Pertama mendekatkan diri dengan agama. Kedua berhijrah ke negara luar. Pendekatan pertama ini lebih menjadi pilihan bagi negeri-negeri yang mempunyai sifat kenegerian yang kuat. Bagi golongan ini melihat perjuangan PPBM dan Amanah adalah parti yang masih baharu bertapak dalam dunia politik.

Kecenderungan kepada kuasa Putrajaya sebenarnya menjauhkan mereka daripada nurani hati golongan ini. Bagi mereka sebagai politikus yang terlalu inginkan kuasa sebenarnya lebih banyak berjanji daripada menunaikan janji. Komitmen mereka yang merupakan serpihan Pas dan Umno juga masih belum diyakini oleh golongan ini.

Beringatlah tsunami Islam ini akan timbul apabila tiba hari mengundi. Ini disebabkan golongan ini akan membuat pemilihan yang terbaik dalam menilai bukan sahaja parti, tetapi juga perwatakan calon. Ombak tsunami Islam pasti akan melanda di lima negeri Melayu yang majoriti melebihi 80 peratus dalam PRU14 nanti.

No comments:

Post a Comment