Sunday 2 April 2017

Cadangan penagih dadah dirotan 40 kali




Oleh AZIZ MUDA

MASALAH penagihan najis dadah di negara ini semakin hari semakin rumit. Statistik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa menunjukkan aktiviti yang tidak sihat itu semakin hari semakin meningkat. Walaupun pelbagai langkah telah dilakukan oleh pihak kerajaan, masalah itu tetap gagal mengatasinya.

Persidangan Dewan Rakyat bagi sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima, Parlimen Ketiga Belas, 20 Mac lalu, telah disajikan dengan satu cadangan yang cukup menarik daripada Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dato’ Dr Nik Mazian Nik Mohamad.

Ketika bangun mencelah ucapan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Nur Jazlan Mohamed bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh 35 ahli-ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam Perbahasan Titah Diraja dari 7 hingga 16 Mac lalu yang menyentuh portfolio Kementerian Dalam Negeri, beliau mencadangkan supaya pihak kerajaan melaksanakan hukuman rotan sebanyak 40 kali rotan kepada para penagih dadah.

Sebelum itu, beliau bertanya sama ada pihak kementerian terbabit turut mempunyai cadangan untuk melaksanakan hukuman rotan terhadap para penagih kerana langkah seperti itu sepatutnya menjadi suatu yang difikirkan oleh pihak kerajaan untuk dilaksanakan ke atas mereka yang menjadi penagih tegar.

“Jadi persoalan saya yang sebelum itu saya bangkitkan usaha-usaha yang kita lakukan setakat ini yang bermacammacam terhadap pengawalan dadah ini berjaya atau tidak? “Ini kerana rata-rata kita merasakan bahawa ia tidak berjaya, gagal. Oleh sebab itulah maka cadangan itu diutarakan.

Apa jawapan Yang Berhormat Timbalan Menteri?” tanya beliau.

Bagaimanapun, menjawab pertanyaan itu, Nur Jazlan menjelaskan, pendekatan yang diambil oleh kerajaan untuk memulihkan penagih dadah adalah dengan cara pemulihan.

Oleh sebab itu, katanya, apabila ada perkara-perkara yang melibatkan hukuman sebat dan sebagainya, pihak kerajaan tidak menggunakan perkara tersebut sebagai option kerana kerajaan hendak memfokuskan kepada hal-hal pemulihan.

“Penagih dadah ini ia dikuasai oleh dadah itu sendiri.

Jadi kalau kita hendak hukum dia kadang-kadang dia bukan tahu pun mengenai apa yang dia buat. Oleh sebab itu pendekatan seperti sebatan dan sebagainya ini pada pandangan kita tidak sesuai untuk digunakan kepada penagih dadah atas dasar untuk memulihkan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Nik Mazian ketika bangun pula selepas itu berkata, penagihan najis dadah merupakan suatu masalah yang rumit kerana apabila seseorang itu telah mengalami ketagihan, mereka terpaksa mencari kewangan untuk mendapatkan bekalan dadah, sehingga menyebabkan mereka terbabit dengan kecurian yang berlaku dengan berleluasa kini sama ada di bandar atau di kampung.

“Di kampung lebih teruk, bahkan kita menghadapi masalah hendak pelihara lembu tidak boleh, hendak menoreh getah pun tidak boleh kerana dicuri oleh mereka ini. Apa-apa business sahaja tidak boleh dikembangkan disebabkan kecurian yang dilakukan kebanyakannya oleh penagihpenagih.

Jadi masalah ini sudah merebak kepada masalahmasalah yang lain.

“Kalau mereka mencuri, kita kata mereka di bawah masalah dadah, di bawah tekanan keperluan mereka kepada dadah maka kita tidak boleh denda mereka, tidak boleh hendak potong tangan mereka kalau ada undang-undang potong tangan untuk pencuri. Jadi kita kena kawalkan mereka ini lebih awal dan kita boleh kiaskan dengan minum arak,” ujar.

Dadah dan minum arak, menurut Dr Nik Mazian, adalah perkara yang sama yang merosakkan akal manusia.

Jadi kalau mengikut Islam, jika minum arak, individu terbabit akan dirotan.

Beliau menegaskan, seperti yang diketahui oleh setiap umat Islam, hukuman ke atas umat Islam yang minum arak ialah 40 rotan, iaitu dengan bentuk hukuman rotan yang ringan, bukan seperti hukuman rotan seperti yang dilaksanakan di negara ini sekarang sehingga mencederakan.

“Jadi kita boleh samakan, kita boleh kiaskan atau kita boleh bawakan keadaan yang sama ini kepada penagih dadah yang juga mereka seperti arak juga, kita bagi 40 rotan yang ringanringan di khalayak ramai. Ini boleh mencegah dan juga boleh menyebabkan mereka berfikir banyak kali kena rotan mereka terus tidak padan hendak ambil dadah dan mereka berhenti.

“Oleh sebab itulah kita mencadangkan supaya pihak Pemadam boleh menggerakkan supaya pihak kerajaan melakukan sesuatu sebab masalahnya tidak selesai dengan usaha-usaha yang kita lakukan setakat ini,” tegasnya.

Dalam respon lanjutnya berhubung cadangan Dr Nik Mazian itu, Nur Jazlan berkata, dalam jawapan awalnya telah dijelaskan supaya AADK diberikan tugas penguatkuasaan sepenuhnya kepada permintaan iaitu menguatkuasakan penagih dadah dan ia merupakan langkah proaktif yang pertama daripada kerajaan.

Kedua, NGO-NGO seperti Pemadam akan digerakkan bersama-sama dengan AADK untuk membuat kerja-kerja kesedaran dan lebih-lebih lagi kepada pencegahan. Ini untuk mereka yang belum lagi terlibat dalam aktiviti dadah.

Untuk mereka yang sudah pernah ditangkap dan dikesan sebagai penagih dadah, langkahlangkah yang diambil oleh kerajaan ialah untuk menahan mereka di bawah LLPK iaitu Langkah-langkah Pencegahan Khas, iaitu satu cara yang dibuat untuk mengasingkan mereka daripada kawasan persekitaran mereka.

“Kadang-kadang dadah ini penagihannya adalah disebabkan oleh kawan-kawan.

Jadi kita kenakan kepada mereka LLPK ini, kita asingkan mereka, kita boleh kenakan tindakan buang daerah kepada mereka dan sebagainya,” katanya.

Langkah ketiga, menurut Nur Jazlan lagi, adalah untuk meletakkan mereka di dalam tahanan penjara, tetapi perkara seperti itu memang kurang berkesan. Apa yang perlu dibuat adalah untuk memastikan bahawa pemulihan mereka itu dibuat secara saintifik.

“Oleh sebab itu saya kata tadi boleh kita hendak rotan mereka tetapi apakah hasilnya, benefit daripada kita merotan mereka itu kerana bila mereka dikuasai oleh dadah, minda mereka sudah rosak. Tambah-tambah lagi mereka yang dikuasai oleh dadah kimia ini.

“Ini memang satu dadah yang begitu kuat kesan psychotropicnya dan mereka pun tidak akan berjaya dipulihkan dengan menggunakan tindakan untuk sebatan seperti yang dicadangkan Yang Berhormat tersebut, tetapi itu merupakan satu option yang kita masih ada sebagai pencegahan kepada mereka-mereka yang belum lagi melibatkan diri dalam dadah, tetapi ada nampak dia punya kecenderungannya,” jelas Nur Jazlan.

No comments:

Post a Comment