Sunday, 2 April 2017

Pisang muda bantu kawal paras gula

Pisang muda bantu kawal paras gula

PISANG muda terkenal dengan rasa pahit, bergetah dan kulitnya yang tidak boleh dikupas. Namun, ramai pengamal perubatan alternatif dan blogger barat di Internet yang menggalakkan orang ramai makan pisang muda sebagaimana keadaan asalnya.

Berdasarkan carian Google, penulis menemui sebuah artikel berjudul Unpalatable Green Bananas - Follow This Suggestion to Make Them Delicious. Ia memaparkan kaedah bagaimana orang Malaysia dan Indonesia merebus pisang muda untuk menghilangkan getah (kandungan tanin), menyediakan pisang muda goreng bersantan dan masak lemak.

Berikut merupakan ringkasan penyediaan pisang muda secara tradisional untuk dimakan, diikuti dengan perbincangan kandungan nutrien dan manfaat kesihatan terhadap pengambilan pisang muda.




Penyediaan

1. Pisang rebus: Pisang muda yang direbus antara 20-30 minit boleh dimakan begitu sahaja. Sesetengah orang suka makan pisang muda rebus dengan kelapa parut yang ditambah sedikit garam, dicecah dengan gula atau dimakan bersama manisan.

2. Masak lemak: Pisang muda masak lemak merupakan antara masakan kampung yang digemari ramai. Daun kunyit, daun selasih Thai, ruku-ruku atau bunga kantan ditambah bagi menaikkan selera.

3. Kerepek pisang: Kerepek pisang terutamanya yang tidak ditambah gula merupakan pilihan snek yang baik. Sesetengah kerepek pisang pula ditawarkan dalam bentuk ‘holistik’ kerana kulitnya tidak dibuang.

4. Pisang bakar: Pisang goreng, pisang masak lemak dan kerepek pisang memang biasa diketahui oleh ramai orang. Bagaimanakah pula dengan pisang bakar? Pisang muda yang dipanggang (julukan pisang bakar timbul daripada teknik penyediaan ini) merupakan makanan yang lazat.

Di metropolitan Bangkok misalnya, pisang bakar dijual di tepi-tepi jalan oleh penjaja yang membakar pisang muda atau separuh masak di hadapan anda. Ia juga dijual oleh penjaja di pantai-pantai peranginan terkemuka. Larutan gula pekat, manisan atau susu ditambah bagi menambahkan kelazatan pisang bakar.


Nutrien Dan Manfaat Kesihatan Fiber Makanan


Pisang muda mengandungi kadar kanji yang tinggi iaitu melebihi 90 peratus. Apabila pisang mula masak, kandungan kanji akan berkurangan kerana sebahagiannya akan diubah kepada gula.

Kajian berjudul Chemical composition and nutritional value of unripe banana flour (Musa acuminata, var. Nanic√£o) menunjukkan pisang muda kaya dengan fiber makanan (dietary fiber) yang terdiri daripada 48 peratus ‘fiber/kanji kebal’ (resistant fiber/starch).


Indeks Glisemik

Pisang muda bersama kulit rebus, pisang muda tanpa kulit rebus dan pisang muda tanpa kulit digoreng dengan minyak sayuran masing-masing menunjukkan mata Indeks Glisemik (IG) 38, 37 dan 35. Pada masa yang sama, Beban Glisemik (Glycemic Load) masing-masing ialah 8, 11 dan 10.

Sila semak pangkalan data University of Sydney di hyperlink: http://glycemicindex.com/foodSearch.php.

Penulis menterjemahkan data tersebut dengan cadangan bahawa pisang muda rebus bersama kulit atau dibuang kulit dimakan oleh orang biasa dan penghidap diabetes kerana glukos dibebaskan secara perlahan-lahan ke dalam darah (IG rendah, kurang daripada 55).

Nota: Makan pisang muda yang telah direbus dan ditambah manisan atau gula bukanlah idea yang baik kerana ia meningkatkan mata Beban Glisemik. Kelapa parut dan santan lebih sesuai dan lemak tepu kelapa menyihatkan serta menambahkan sifat kenyang.

Mudah Kenyang

Fiber larut membantu memperlahankan pengosongan usus dan fiber tak larut menambahkan saiz tinja dalam kolon. Sifat ini menjadikan anda mudah kenyang dan kenyang lebih lama. Ia sesuai untuk mereka yang berusaha untuk menurunkan berat badan atau menjaga berat badan sedia ada.

Fiber makanan ini yang terdiri daripada fiber larut dan fiber/kanji kebal (resistant fiber/starch) tidak dicernakan oleh mikrobiota usus tetapi menjalani fermentasi dalam sel-sel mikrobiota kolon.

Produk fermentasi fiber makanan ialah beberapa asid lemak rantai pendek seperti asetat, butirat dan propionat yang bukan sahaja menjadi makanan kepada mikrobiota tetapi menyumbangkan tenaga kepada sel-sel epitelium kolon.

Cegah Kanser Kolon


Beberapa kajian awal termasuk kajian berjudul Modulation of butyrate anticancer activity by solid lipid nanoparticle delivery: an in vitro investigation on human breast cancer and leukemia cell lines mencadangkan bahawa butirat berpotensi bertindak sebagai antikanser.

Jadi, pengambilan pisang muda yang kaya dengan fiber makanan dipercayai berpotensi membantu mencegah kanser kolorektum.

Pisang muda termasuk kulitnya juga mengandungi fitonutrien seperti bioflavonoid, karotenoid dan fitosterol yang bersifat antioksidan, antikeradangan dan antikanser. Fitonutrien ini dipercayai bertindak secara sinergi dengan butirat (membantu menambahkan bakteria baik) dalam mencegah pembentukan kanser kolorektum.

Nota: Kulit pisang muda dikatakan menghasilkan aktiviti antioksidan berbanding kulit pisang masak. Kulit pisang muda mengandungi paras karotenoid (termasuk beta-karotena) dan bioflavonoid yang tinggi.

Cegah Obesiti

Menggantikan nasi dengan pisang muda dipercayai boleh membantu anda mencegah obesiti. Kandungan pektin (fiber larut) dan fiber tak larut dalam pisang muda menyebabkan anda mudah kenyang dan kenyang lebih lama. Kalori pisang muda juga adalah rendah.

Perubatan Tradisional


Gastritis, ulser perut, ulser usus: Pisang rebus dimakan dengan kulitnya sekali.
Diarea: Makan pisang rebus beberapa kali sehari.

BAHRAIN SAMAH, MH, MD (AM) Pendidik/penulis genre perubatan preventif/alternatif.






Sinar Harian

No comments:

Post a Comment