Saturday 22 April 2017

Menteri jangan ikut rentak DAP persoal PR Zakir Naik - PAS

Post Pic
SHAH ALAM: PAS mengingatkan agar menteri tidak terpengaruh dengan mainan politik DAP yang sentiasa mempertikai kepentingan Islam di negara ini.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali berkata demikian dipercayai mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam bahawa kehadiran Dr Zakir Naik boleh mengancam perpaduan negara.

Presiden MIC itu sebelum ini juga mendakwa negara ini tidak memerlukan pendakwah kontroversi tersebut memandangkan Malaysia sudah mempunyai ulama yang cekap dan berwibawa.

"Saya bimbang ada menteri kerajaan yang sudah mengikut rentak politik DAP mempertikaikan sesuatu yang berkaitan dengan Islam dan dakwahnya.

"Kenyataan seorang menteri yang mempertikai pemberian taraf pemastautin tetap kepada beliau sangat mengecewakan. Ia juga menunjukkan kegagalan dalam kebertanggungjawaban bersama oleh menteri kerajaan dalam membuat keputusan," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan tersebut merujuk kepada pemberian taraf pemastautin tetap (PR) yang diberikan kepada Zakir, sebagaimana dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Isnin lalu.

Zakir menerima status PR sejak lima tahun lalu.

Zakir sebelum ini dikaitkan dengan beberapa tuduhan jenayah seperti 'keganasan' dan pengubahan wang haram dan amat dikehendaki pihak berkuasa India.

Sementara itu Khairuddin mahu Zakir diberikan perlindungan sewajarnya dan menyifatkan tindakan kerajaan memberinya status PR sebagai langkah yang betul, mengambil kira usaha Zakir berdakwah.

"Pendakwah Islam yang membawa misi kedamaian perlu dilindungi apatah lagi oleh sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan.

"Dakwah beliau menimbulkan kecemburuan banyak pihak di peringkat antarabangsa sehingga dicipta dan direka pelbagai tohmahan bagi menimbulkan persepsi terhadap dakwah harmoni yang beliau bawa," tegasnya.

No comments:

Post a Comment