Wednesday 5 April 2017

Pas cadang Akta 164 dikaji semula


Berita

Abdul Hadi Awang

                     Abdul Hadi Awang


MARANG - Pas mencadangkan agar Akta 164 ini dikaji semula secara mendalam, menerusi pembentukan satu jawatankuasa khas untuk merangka dan mengemukakan satu penyelesaian lain lebih adil, menyeluruh dan inklusif.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, jawatankuasa itu perlu melibatkan semua pihak yang berkepentingan sama ada daripada kalangan penganut Islam dan juga agama-agama lain.

Menurutnya, perlu mendapatkan pandangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, pengamal undang-undang syariah dan sivil, NGO dan sebagainya yang merupakan pihak yang terkesan secara langsung dalam pindaan Akta 164 ini.

“Sebagaimana yang tertera dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat pada hari Selasa 4 April 2017 (D.R.20/2016), pihak Kerajaan adalah dalam proses untuk meneruskan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 yang juga dikenali kini sebagai Akta 164.

“Akta 164 ini adalah secara langsung berkaitan terhadap hak kekeluargaan orang Islam di Mahkamah Sivil, status agama anak, hak penjagaan, nafkah dan pengagihan harta.

“Pas berpandangan bahawa implikasi menyeluruh yang bakal timbul daripada Akta 164 ini adalah sangat serius, iaitu terhadap kebebasan umat Islam untuk mengamalkan agama mereka dan mempertahankan aqidah tanpa gangguan daripada mana-mana pihak.

"Ia sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, pencemaran terhadap keutuhan institusi Mahkamah Syariah dan keharmonian masyarakat berbilang kaum, agama dan etnik dalam negara kita,” katanya.

Terdahulu, Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hasan, berkata Akta 164 perlu dipinda kerana ia melibatkan isu sensitif iaitu melibatkan status aqidah anak-anak.

Katanya, ia wajar diteliti semula sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

Mengulas isu sama, Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria turut meminta kerajaan menarik kembali pindaan terhadap Akta 164 daripada dibentangkan di Dewan Rakyat.



Menurutnya, cadangan pindaan Akta 164 itu dilihat bertentangan dengan Islam dan hukum syarak seperti yang diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan ke-87 pada Jun 2009.

No comments:

Post a Comment