Thursday 20 April 2017

Referendum Turki: Harapan Dunia Islam


Kenyataan Media



Sekali lagi politik Turki menjadi perhatian dunia. Tidak pelik ini kerana Turki adalah sebuah negara yang sangat penting dari sudut sejarah, geografi, sosial dan masa depan politik dunia Islam. Setelah kegagalan rampasan kuasa oleh pihak tentera pada Ogos 2016 lepas, Presiden Reccep Tayyib Erdogan dan partinya AKP terus mengukuhkan kuasa.

Kali ini satu referendum telah diadakan bagi memberikan kuasa yang lebih luas kepada Erdogan sebagai presiden, mengubah sistem sedia ada kepada sistem presiden berkuasa eksekutif. Referendum yang diadakan semalam 16 April menyaksikan kumpulan yang menyokong agar perlembagaan diubah kepada sistem presidensi telah menang dengan majoriti yang tipis.

Kedudukan Turki yang sangat penting kepada dunia Islam menyebabkan ia diikat dari kiri dan kanan untuk menghalang kebangkitannya semula yang telah menyaksikan kegemilangannya di era Khilafah Uthmaniyyah.

Selepas jatuhnya Khilafah Islamiyyah dan terbentuknya negara Turki moden, ia diikat dengan sistem sekularisme di setiap sendi dalam sistem pemerintahannya. Sekularisme dijadikan sebagai aqidah negara, setiap yang bercanggah dengannya akan diperangi habis-habisan. Turki juga diikat dengan perjanjian-perjanjian ketenteraan khususnya dengan Nato selepas Perang Dunia Kedua.

Suruhanjaya Tertinggi Pilihan Raya Turki mengumumkan:
50 juta pengundi daripada 55.3 juta pengundi telah keluar untuk mengundi iaitu sebanyak 86 peratus Daripada jumlah itu sebanyak 24.763 juta yang menyokong sementara 23.54 juta lagi membangkang. Ini bermakna kumpulan penyokong memperolehi sebanyak 1.3 juta undi majoriti. Pembuangan undi diadakan di 167 pusat mengundi di 81 wilayah. Referundum diadakan bertujuan untuk merubah 18 fasal dalam perlembagaan khususnya yang paling asas ialah mengubah sistem pemerintahan daripada sistem parlimen kepada sistem presiden.

Perubahan ini akan memberikan kuasa yang lebih besar kepada presiden untuk mengurus pemerintahannya, mengubah sistem daripada presiden yang lebih bersifat seremonial kepada presiden yang berkuasa lebih luas dalam pentadbiran negara.

Parti Saadat yang merupakan parti Islam utama di Turki melalui kenyataan presidennya Temir Karimullahuglo menyebut Saadat mengambil sikap tidak bersetuju kerana melihat kepada keburukannya lebih banyak akan tetapi ia tidak berkempen kepada rakyat untuk tidak mengundi.

Sikap ini lebih cenderung kepada berkecuali kerana sukar untuk mengimbangkan antara kebaikan dan keburukan. Kebaikannya kerana ia akan menyekat kuasa tentera dan kemudaratannya untuk jangka masa panjang khususnya pada era selepas Erdogan.

Siapakah yang akan memimpin Turki? Kerana bidang kuasa yang diberikan kepada presiden sangat luas, dan Erdogan berpotensi untuk memerintah sebagai presiden eksekutif – selepas pelaksaan sistem ini – sehingga 2029 nanti. Dalam masa yang sama ia menghadkan ruang-ruang demokrasi suara rakyat. Walaupun begitu ia tidak berkempen dan memberikan kebebasan kepada rakyat Turki untuk memilih.

Mengikut sumber yang rapat dalam Parti Saadat, sikap yang diambil olehnya ini memberikan kelebihan kepada kumpulan penyokong. Ini kerana jika Saadat mengambil sikap untuk tidak menyokong nescaya sudah tentu referendum ini akan gagal. Sikit sebanyak sikap Parti Saadat ini mengimbangi pendirian yang pernah diambil oleh al-Marhum Prof Nejmuddin Erbakan, tokoh yang merupakan guru kepada Erdogan yang menyarankan supaya Turki merubah sistemnya pada ketika itu kepada sistem presiden. Tujuannya ialah supaya untuk membuang kuasa mutlak tentera. Fakta ini menjadi bahan kempen oleh pihak AKP dengan slogan:

“Jika sekiranya Erbakan hidup nescaya dia juga akan menyokong referendum ini”.

Dunia Barat tidak bersembunyi dengan bangkangan mereka terhadap referendum ini. Ia terbukti apabila beberapa buah negara Eropah bertindak menghalang wakil-wakil AKP termasuk menteri luarnya untuk berkempen kepada rakyat Turki bagi menyokongnya. Barat juga secara konsensus melihat perubahan sistem ini sebagai semestinya bertentangan dengan nilai demokrasi.

Barat bimbang dengan kuasa yang berpusat pada presiden Turki pada masa yang mencabar dalam politik dunia hari ini, di mana peranan Turki sebagai sekutu diperlukan oleh Barat. Dunia Islam sedang memerhatikan perubahan yang sedang berlaku di Turki.

Adakah Erdogan akan menggunakan kuasanya untuk mengembalikan kembali sistem politik Islam? Bagaimanakan Erdogan akan menangani hubungan dengan Eropah dan Amerika Syarikat yang sering bertindak membelakangi kepentingan Turki kebelakangan ini? Bagaimanakah hubungannya dengan Israel, yang baru lagi dipulihkan selepas terjejas pada penghujung 2010?

Muhammad Khalil Abdul Hadi

No comments:

Post a Comment