Wednesday 5 April 2017

Zionis terus usaha rampas Masjid al-Aqsa


Luar Negara

MUFTI Besar Jerusalem mengutuk tindakan Israel menahan pengawal keselamatan Palestin yang bertugas mengawal di perkarangan al-Aqsa, lapor al-Jazeera.Penahanan tersebut berlaku selepas mereka cuba untuk menghentikan tindakan salah seorang ahli arkeologi Israel yang membuang batu dari kawasan.

Kesal dengan apa yang berlaku, Mufti Muhammad Hussein berkata tindakan itu tidak boleh diterima dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai cubaan zionis menukar status quo Masjid al-Aqsa.

“Saya percaya polis Israel cuba untuk mengenakan realiti baru dan cuba untuk menakutnakutkan pengawal al-Aqsa sekali gus menghalang mereka daripada menjalankan tugas mereka.

“Itu tidak boleh diterima,” kata Mufti Muhammad Hussein memberitahu al-Jazeera.

Memetik sumber sama, agensi berita antarabangsa al-Jazeera melaporkan konfrontasi awal berlaku pada pagi Isnin lalu selepas para pengawal al- Aqsa mula campur tangan semasa Yuval Baruch, salah seorang pekerja di bawah Pihak Berkuasa Antikuiti Israel diiringi polis Israel, memasuki perkarangan dan cuba untuk mengambil batu dari tiang di bahagian bawah tanah masjid Al-Qibli.

Ulas al-Jazeera, pertengkaran meletus apabila salah seorang pengawal mendapati Baruch memasukkan sekeping batu kecil dari tiang ke dalam poketnya.

Ahli arkeologi itu sebaliknya menafikan tuduhan tersebut sebelum dihalau oleh pihak polis.

Bukan setakat itu sahaja bahkan tambah al-Jazeera, ahli arkeologi terbabit sekali lagi cuba memasuki bahagian bawah tanah dewan solat Marwani sebelum dihalang oleh para pengawal al Aqsa.

Susulan kejadian itu, polis Israel bertindak menahan tiga pengawal yang bertugas menggalas amanah agama menguruskan perkarangan al-Aqsa tersebut.

Marah dengan apa yang berlaku, Mufti Hussein menuntut agar Israel menghormati status quo yang telah berlaku sejak sebelum Israel menduduki Baitulmaqdis pada tahun 1967.

Katanya lagi, walaupun Yahudi dan orang bukan Islam dibenarkan melawat kawasan itu, ibadat selain Islam adalah dilarang.

Hal demikian jelasnya adalah mengikut perjanjian yang ditandatangani di antara Jordan dan Israel sejurus selepas Israel menduduki Timur Baitulmaqdis.

Perjanjian tersebut turut meletakkan Waqf Islam sebagai orang yang bertanggungjawab bagi pentadbiran kawasan terbabit.

“Penyelenggaraan dan kerja-kerja pengubahsuaian di perkarangan adalah perkara di bawah kelolaan Wakaf dan Israel tidak mempunyai hak untuk campur tangan.

“Ketegangan di Masjid al-Aqsa adalah faktor utama kepada pergolakan yang bermula sejak bulan Oktober 2015, selepas sayap kanan Israel kerap membuat lawatan ke kawasan terbabit.

“Malah, polis Israel juga sering mengiringi pelawat Yahudi di seluruh kawasan itu, dan mereka sering memudahkan lawatan ahli politik sayap kanan Israel yang telah didakwa cuba ‘mengubah status quo’ di tempat suci itu,” ujar beliau. – ulamasedunia.org

No comments:

Post a Comment