Friday 21 April 2017

Di Jepun, Akhbar Boleh Tumbuh Jadi Bunga Cantik (bersama video)



It & Teknologi



JEPUN merupakan negara kepada asal-usul pelbagai ciptaan teknologi yang selangkah ke hadapan mendahului negara maju lain di dunia.

Jika diperhatikan dengan teliti, pelbagai perkara yang kita gunakan dalam kehidupan seharian sebenarnya dicipta oleh negara ‘matahari terbit’ ini.

Lihat sahaja ciptaan dari mereka seperti kayu swafoto, bateri sel kering, cakera padat, walkman dan pelbagai lagi yang kemudiannya menjadi ikutan satu dunia.

Maka tidaklah mengejutkan pada tahun 1980-an dahulu, negara kita sendiri pernah mengamalkan Dasar Pandang ke Timur bagi mendapatkan inspirasi bagaimana memajukan negara.

Kini, sebuah lagi idea kreatif mereka yang mungkin boleh kita contohi adalah menerusi ciptaan surat khabar mereka iaitu, Green Newspaper.

Ia bukanlah seperti akhbar kebiasaan, sebaliknya ia merupakan surat khabar khas yang membolehkan ia ditanam menjadi bunga atau tumbuhan-tumbuhan hijau setelah tidak digunakan.


Dengan menggunakan Green Newspaper, pengguna hanya perlu koyak kertas akhbar itu kepada beberapa bahagian kecil di tanah, kemudian siram sedikit air dan biar sahaja mengenai cahaya matahari dalam beberapa hari.

Hasilnya pasti mengejutkan apabila benih-benih mikro yang terdapat pada kertas berkenaan akan tumbuh menjadi bunga-bungaan yang cantik.
 


Ciptaan surat khabar ini merupakan hasil cetusan idea Dentsu Inc, iaitu sebuah syarikat pengiklanan di bawah sayap syarikat penerbitan akhbar Mainichi Shimbunsha.

Menurut Dentsu, matlamat mereka adalah ingin menjadikan bumi lebih hijau dan pada masa yang sama sebagai satu langkah mengurangkan pencemaran alam.

Difahamkan, jualan akhbar ‘mesra alam’ ini menerima sambutan amat baik daripada penduduk Jepun apabila dijual lebih empat juta naskhah sehari, sekali gus mengaut keuntungan sebanyak 80 juta yen.

Sementara itu, inisiatif penggunaan Green Newspaper turut melibatkan institusi persekolahan, dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran kanak-kanak mengenai isu alam sekitar dan mendidik mereka tentang kepentingan kitar semula.

Adakah anda merasai idea surat khabar ‘hijau’ daripada Jepun ini sangat kool? Kongsikan komen anda bersama kami! – MYNEWSHUB.CC

No comments:

Post a Comment