Sunday 30 April 2017

Oxford Sememangnya Satu Pondok-Dr Muhammad Afifi Al-Akiti



Sekali lagi institusi pengajian Islam yang sudah berakar umbi di tanahair sejak ratusan tahun lama menjadi ‘spotlight’ masyarakat umum Malaysia rentas agama dan etnik, apabila seorang pelajar Tahfiz persendirian menemui ajal atas dakwaan didera oleh pembantu warden sekolah tersebut yang juga merupakan seorang bekas banduan. Rata-rata masyarakat umum mengkritik dengan penuh emosi. 

Kita faham, hal melibatkan keselamatan dan nyawa anak-anak kita tidak harus dipandang enteng. Lalu ada yang mahu institusi pengajian agama didaftarkan dibawah seliaan JAKIM (agak mengejutkan kerana sesetengah daripada mereka ini, jika diamati, ada yang sering menuduh JAKIM suka mengongkong kehidupan Muslim di Malaysia membuta-tuli), malah ada juga mahu institusi agama yang tidak didaftarkan ini ditutup. Umpama marahkan nyamuk, kelambu dibakar. 


Sudahkah kita lupa tokoh-tokoh hebat yang telah dihasilkan daripada institusi agama seperti sekolah agama tradisi seperti pondok, madrasah dan sekolah tahfiz? Kes-kes yang berlaku walaupun serius sebenarnya agak terpencil. Perlukah kita tunduk kepada segelintir daripada pengkritik Islam yang sentiasa bersiap-siaga mahu memburukkan Islam dan Muslim. Tidakkah kita sedar bahawa sistem sekolah agama tradisi seperti sekolah pondok yang kita amalkan sudah beratus tahun lama, modulnya sedang diguna-pakai salah satu universiti tersohor dunia? 

Tahukah kita bahawa Universiti Oxford contohnya juga mengambil pakai sistem pondok dikampus-kampusnya? Hal ini diakui sendiri oleh salah seorang pensyarah universiti tersebut yakni Dr Muhammad Afifi Al-Akiti BA (Queens), MA (Oxon), Mst (Oxon) Dphil (Oxon) sendiri dalam salah satu majlis beberapa tahun lepas di Malaysia. Beliau merupakan felo pensyarah Pengajian Islam di Pusat Pengajian Islam Oxford dan Pensyarah Pusat Islam dalam bidang Pengajian Islam di Fakulti Teologi, Universiti Oxford dan juga merupakan felo pensyarah di Kolej Worcester Oxford. 

“Pengasasan Universiti Oxford contohnya, adalah sebagai sebuah pondok, lebih daripada 900 tahun lalu, kalau di Indonesia, di Kediri contohnya, ada 40 ke 50 sekolah pondok dalam satu-satu bandar, Kediri tu macam Oxford. Kita ada 30 kolej seperti di Universiti Oxford dan tiap-tiap kolej itu mengeluarkan ulama. Tiap-tiap madrasah itu memang mengajar semua subjek. Jadi sehingga hari ini Oxford sememangnya tidak pernah melupakan asal usul…” 

Malah terdapat beberapa ciri yang diamalkan di pondok-pondok seluruh Nusantara yang masih boleh dilihat diamalkan di Universiti Oxford, kata pemikir yang telah mengeluarkan satu fatwa berkenaan ‘Suicide Bomber’ pada tahun 2005, bertajuk ‘Defending the Transgressed by Censuring the Reckless against the Killing of Civillians’ yang telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa utama dunia dan mendapat perhatian dan pujian para akademik dan aktivis yang cintakan kedamaian di seluruh pelusuk dunia. 

Sehingga ke hari ini Universiti Oxford masih mengamalkan bacaan doa sebelum makan dalam satu-satu majlis makan, pemakaian jubah tradisi ilmuan Andalusia, pemakaian Turban ala Mushab Al-Quran, ikrar dengan Guru, sistem tutorial atau Talaqi, sistem Irshad dan Taqdi, sesi Bahas memperkasakan mantik, Istiqlal bebas daripada politik kepartian dan didanai dengan sistem Waqaf untuk kekal bebas daripada mana-mana pengaruh. “Kalau kita tengok, moto Universiti Oxford sendiri berasal daripada kitab samawi yang berbunyi, ‘Ya Tuhan Kami, Tambahkan Ilmu Kami’. Universiti Sekular yang terkenal di dunia menggunakan moto daripada kitab samawi, Alhamdullilah” katanya pada satu majlis Itjima Pondok Malaysia pada tahun 2014

Read more at: https://www.menara.my/oxford-sememangnya-satu-pondok-dr-muhammad-afifi-al-akiti/

No comments:

Post a Comment