Thursday 27 April 2017

PPSM lapor Jawi kenyataan Rafizi

PPSM lapor Jawi kenyataan Rafizi


KUALA LUMPUR - Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) mengemukakan laporan kepada Pegawai Penguatkuasa Agama, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), berhubung kenyataan Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli dalam rakaman video Sidang Parlimen Rakyat yang tular di media sosial sejak 12 April lalu.

Timbalan Presiden PPSM, Muhamad Yusro Borhan Nordin berkata, kenyataan yang dibuat Naib Presiden PKR itu merupakan satu penghinaan terhadap pihak berkuasa agama serta merupakan satu penghinaan kepada mahkamah.

"PPSM kesal dan berdukacita dengan kenyataan yang dikeluarkan Rafizi yang menghina dan menjatuhkan maruah hakim syarie dan institusi mahkamah syariah Malaysia dengan menyatakan banyak hakim syarie terlibat rasuah," katanya.

Selain itu, katanya, Rafizi turut mengaitkan dengan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU 355) nanti yang menyebabkan ramai lagi hakim syarie terlibat rasuah.

Menurutnya, pada 13 April lalu, pihaknya telah menghantar satu kenyataan rasmi dan surat kepada Rafizi bagi menuntut maklum balas serta meminta Rafizi menarik balik tomahan tersebut namun sehingga hari ini tiada permohonan maaf dan pembetulan secara terbuka.

Sehubungan itu, beliau berkata, mereka hadir ke pejabat penguatkuasa tersebut untuk memberi maklumat dan menyiasat Rafizi di bawh peruntukan Seksyen 9 Akta Kesalahan Jenayah Syariah.

Sementara itu, laporan tersebut dikemukakan berdasarkan peruntukan Seksyen 210 Akta Prosedur Jenayah Syariah ( Wilayah-wilayah Persekutuan ) 1997 (Akta 559) kerana menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama.

"Menurut peruntukan Seksyen 9, mana-mana orang yang bertindak dengan menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari , melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan Yang Di-pertuan Agong, majlis, atau mufti, yang dinyatakan melalui fatwa adalah melakukan sesuatu kesalahan dan boleh membawa hukuman denda maksimum RM3, 000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.

No comments:

Post a Comment