Tuesday 28 June 2016

Penggunaan Vaksin Menurut Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia



1) Imunisasi Hepatitis B

Keputusan : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-22 yang bersidang pada 24 November 1988 telah membincangkan Imunisasi Hepatitis B.

Muzakarah telah memutuskan bahawa vaksin untuk Imunisasi Hepatitis B yang dihasilkan daripada ragi adalah tidak najis dan harus digunakan untuk tujuan tersebut kerana ragi adalah suatu bahan yang suci.

2) Vaksin Human Papilloma
Virus (HPV)

Keputusan : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama
Islam Malaysia kali ke-92 yang bersidang pada 15 - 17 Disember 2010 telah membincangkan Hukum Pengambilan Vaksin Human Papilloma Virus (HPV). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:








a. Setelah mendengar taklimat daripada pihak Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan serta pandangan dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa Islam menggesa umatnya supaya menjaga kesihatan kerana penjagaan kesihatan seseorang individu akan menentukan tahap dan mutu kesihatan masyarakat secara umumya.

Pemberian vaksin merupakan jalan pencegahan awal yang diambil oleh pihak kerajaan dalam usaha mengelakkan penyebaran virus di kalangan wanita.

b. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pengambilan Vaksin Human Papilloma Virus (HPV) yang telah dipastikan tiada unsur meragukan dalam kandungannya dan tidak mendatangkan kemudharatan adalah diharuskan bagi mencegah penyakit kanser pangkal rahim (servik) dalam kalangan wanita.

c. Muzakarah juga memutuskan bahawa pemvaksinan ini hendaklah tidak mengandungi unsur-unsur eksploitasi terhadap pengguna atau digunakan untuk tujuan yang bercanggah dengan syarak.

3) Vaksin Meningitis Menveo

Keputusan : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-94 yang bersidang pada 20 hingga 22 April 2011 membincangkan Hukum Penggunaan Vaksin Meningitis Menveo.

Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

a. Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) dan meneliti keterangan, hujah-hujah serta pandangan yang dikemukakan, Muzakarah mengambil perhatian bahawa proses penghasilan vaksin menveo keluaran syarikat Novartis Vaccines adalah sama sepertimana penghasilan vaksin mencevax keluaran Syarikat Glaxo Smith Kline (GSK).

b. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan pada dasarnya hukum penggunaan vaksin menveo adalah harus atas dasar dharurah sama seperti vaksin mencevax yang diputuskan pada Muzakarah kali ke-53 bertarikh 27 November 2002 kerana sehingga kini masih belum ada mana-mana vaksin meningococcal meningitis yang dihasilkan 100 peratus halal dan suci daripada awal hingga akhir proses penghasilannya.

c. Bagaimanapun untuk maslahah umat Islam, Muzakarah berpandangan antara kedua-dua vaksin ini, keutamaan adalah kepada vaksin mencevax yang telah digunakan sekian lama dan telah terjamin dari segi keberkesanan dan keselamatan kepada pengguna. Manakala vaksin menveo masih baharu di pasaran dan pemonitoran kesan jangka panjang masih berterusan.
d. Muzakarah juga berpandangan bahawa Sijil Halal tidak wajar diberikan kepada vaksin menveo kerana penentuan harus adalah atas dasar dharurah dan proses penghasilannya tidak mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia.

4) Pelalian Rubela (Imunisasi Rubela)

Keputusan : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-21 yang bersidang pada 12 September 1988 telah membincangkan Pelalian Rubela (Imunisasi Rubela).

Muzakarah telah memutuskan bahawa vaksin rubela yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan pada masa ini tidak najis dan hukumnya harus digunakan untuk suntikan dalam badan bagi mencegah penyakit rubela.

5) Vaksin Meningococcal Meningitis

Keputusan : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-53 yang bersidang pada 27 November 2002 membincangkan Suntikan Pelalian Vaksin Meningococcal Meningitis Oleh Orang Islam.

Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum menggunakan pelalian meningococcal meningitis mencevax yang diambil daripada sumber lembu adalah harus.
Manakala vaksin pelalian meningococcal miningitis monumune yang mengandungi unsur daripada babi adalah haram.

6) Vaksin Biothrax Dan Vaksin Rotateq Yang Menggunakan Unsur Babi Dalam Proses Penghasilannya

Keputusan : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-81 yang bersidang pada 31 Mac 2008, telah membincangkan Hukum Penggunaan Vaksin Biothrax Dan Vaksin Rotateq Yang Menggunakan Unsur Babi Dalam Proses Penghasilannya.

Muzakarah telah memutuskan bahawa penggunaan vaksin BioThrax dan RotaTeg adalah tidak dibenarkan kerana:

a. Situasi kini dianggap tidak dharurat.

b. Terdapat bahan atau ubat alternatif selain penggunaan unsur babi dalam pemprosesan keduadua vaksin.

c. Tiada data sokongan yang kuat untuk membuktikan rakyat negara ini memerlukan kedua-dua vaksin ini.
* Setakat malam semalam, laman web Portal Rasmi Fatwa Malaysia di http://www.e-fatwa.gov.my/tidak boleh diakses kerana difahamkan masih dalam penyelenggaraan


No comments:

Post a Comment