Friday 17 June 2016

500 NGO Islam rancang himpunan sokong RUU Hadi



Sekumpulan NGO Islam merancang mengadakan sebuah perhimpunan aman bagi menyatakan sokongan terhadap cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah yang dikemukakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Mereka berkata perhimpunan itu akan disertai oleh anggota 500 NGO Islam di seluruh Malaysia yang bergabung atas nama Sekretariat Umat.


Pengerusinya Aminuddin Yahaya berkata mereka juga akan mengumpulkan tandatangan untuk “petisyen rakyat” bagi diserahkan kepada wakil BN, PAS dan Yang di-Pertuan Agong.

“(Ia bertujuan) memperkukuh sokongan kepada ahli-ahli parlimen khususnya beragama Islam melalui perhimpunan aman,” katanya kepada pemberita di bangunan Mahkamah Syariah Putrajaya hari ini.
Antara NGO yang bergabung adalah kumpulan pendesak Melayu PERKASA, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Aminuddin berkata, perhimpunan aman itu akan berlangsung selepas solat Jumaat di Masjid Negara pada 24 Jun ini.
Kerajaan bulan lalu mengusulkan rang undang-undang persendirian yang dibawa Hadi dipercepat.
Hadi bagaimanapun mohon ia ditangguh ke sesi Oktober depan atas alasan kesuntukan masa perbahasan.
Undang-undang itu bertujuan menambah bidang kuasa mahkamah syariah supaya dapat menjatuhkan hukuman lebih berat, selari dengan kehendak Islam.

Hormati keluhuran perlembagaan

Pengkritik berpendapat ia dapat membuka laluan kepada hukum hudud di Kelantan, walaupun kerajaan dan PAS menafikannya.Sementara itu, Sekretariat Ummat menyeru semua ahli parlimen menyokong rang undang-undang berkenaan - apabila ia diusulkan di parlimen pada Oktober nanti - bagi menghormati Islam sebagai agama rasmi negara ini.



“Ia juga bagi mengangkat martabat sistem perundangan syariah sebagai sebahagian institusi demokrasi di negara ini," katanya.

Pada masa sama Aminuddin berkata, mereka akan mendekati semua pihak khususnya individu bukan beragama Islam bagi menerangkan akta berkenaan.
“Kami akan memberi penerangan kepada seluruh negara bagi menjernihkan persepsi dalam lapisan masyarakat," katanya.

Jelas Aminuddin usaha itu adalah sebahagian daripada tindakan mereka memperkasakan perundangan syariah di negara ini.Justeru katanya ia perlu diberi perhatian sewajarnya oleh semua pihak yang menghormati keluhuran perlembagaan dan menghormati keharmonian beragama di negara ini.

No comments:

Post a Comment