WARTAWAN
SINAR HARIAN
1
JUN 2016
PINDAAN Rang Undang-undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah
(bidang kuasa jenayah) @ Akta 355 telah mengundang pelbagai persepsi sejak
dibentangkan Khamis lalu.
Ikuti jawapan daripada
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf
Wajdi Dusuki berhubung 10 salah faham tentang isu ini dalam sesi
Dialog dan Soal Jawab dengan pemimpin bukan Islam khususnya MCA dan Gerakan
Kelantan di Kota Bharu.
1. Apa keperluan
dipinda Akta 355?
Cadangan pindaan Akta
Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) adalah untuk memperkasa
Mahkamah Syariah yang ketika ini dibataskan kuasa hukuman kepada kadar maksimum
penjara 3 tahun, denda RM5,000, 6 kali sebatan syar'ie. Kali terakhir dipinda
pada tahun 1984 peningkatan dari penjara 6 bulan dan denda RM1000. Justeru hukuman
yang ada sudah lapuk dan tidak langsung menggerunkan pesalah. Apa yang
dicadangkan hanyalah meningkatkan hukuman maksimum kepada apa hukuman yang
selaras dengan hukum syarak selain hukuman mati. Jumlah hukuman denda, penjara
dan sebatan bakal ditentukan oleh Dewan Undangan Negeri.
2. Sebatan 100 kali
adalah agak melampau?
Kaedah sebatan Syariah
jauh berbeza dengan sebatan Sivil. Syarat sebatan Syariah tidak boleh
mencederakan iaitu kaedah hayunan sebatan seolah-olah meletakkan buku di bawah
ketiak yang tidak boleh jatuh tatkala menghayun. Justeru 100 kali sebatan
Syariah tidak sama dengan 1 kali sebatan Sivil yang boleh mencederakan.
3. Akta 355 memberi
kesan secara tidak langsung kepada orang Bukan Islam?
Orang Bukan Islam
tidak mungkin boleh dibicarakan di bawah Mahkamah Syariah kerana Perlembagaan
Persekutuan menetapkan bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya untuk umat Islam dan
Akta 355, Seksyen 2 juga menjelaskan hanya orang Islam yang boleh dibicarakan
dan dihukum di Mahkamah Syariah.
4. Akta 355 adalah
pintu belakang ke arah melaksanakan Hudud?
Akta 355 tiada
perkaitan dengan pelaksanaan hukum Hudud. Pelaksanaan Hudud hanya berkait rapat
dengan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan. Contohnya bagi melaksanakan
Hudud di Malaysia, sekurang-kurangnya tiga pindaan kepada beberapa bahagian
dalam Perlembagaan perlu dilakukan dan bukan dengan meminda Akta 355 yang
terhad kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah yang merujuk kepada kuasa-kuasa
yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan
Persekutuan
5. Apakah Perlembagaan
boleh dipinda?
Boleh dengan syarat
undi majoriti iaitu 2/3 Ahli-Ahli Parlimen Dewan Rakyat bersamaan 148 daripada
222 orang Ahli Parlimen bersetuju menyokong satu-satu pindaan. Realiti politik
hari ini kalau digabungkan semua Ahli-Ahli Parlimen beragama Islam dari Umno,
Pas, PKR, Amanah, PBB dan DAP hanya berjumlah 135 orang; tidak memenuhi
bilangan majoriti untuk meminda Perlembagaan. Bermakna Ahli-ahli Parlimen bukan
Islam juga mempunyai hak dan kuasa bagi membolehkan hukuman Hudud dilaksanakan.
6. Apakah
bahagian-bahagian penting dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipinda
untuk laksana Hudud di Malaysia?
Sekurang-kurangnya 3
bahagian Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipinda:
(i). Senarai II Jadual
Kesembilan untuk memasukkan tambahan bidang kuasa Jenayah ke dalam bidang kuasa
Mahkamah Syariah seperti yang terkandung dalam Butiran 1. Sebagai contoh
undang-undang jenayah seperti mencuri, merompak, merogol, bunuh, dan menyebabkan
kecederaan (kesalahan yang wujud dalam Penal Code) terletak di bawah kuasa
persekutuan dan dalam bidang kuasa Mahkamah Sivil dan polis, penjara juga
terletak dibawah Persekutuan.
(ii). Selain daripada
pindaan pada Butiran 1, kebenaran Parlimen di bawah Perkara 76A juga perlu
diperolehi bagi membolehkan negeri menggubal dan melaksanakan undang-undang
Jenayah yang termaktub dalam senarai kuasa Persekutuan.
(iii). Perkara 8 juga
perlu dipinda supaya tidak timbul isu pendiskriminasian dan ketidakadilan dan
kesamarataan hak warga Malaysia yang dibezakan peruntukan undang-undang kerana
berbeza agama. Dengan kata lain bagi membolehkan ada dua set undang-undang
jenayah kepada orang Islam dan Bukan Islam.
7. Pindaan RUU 355 ini
membolehkan undang-undang berbaur Hudud diperkenalkan.
Hudud melibatkan
hukuman yang menyentuh 6 jenis kesalahan; 4 bersifat individu atau dosa
peribadi iaitu Zina, Menuduh Zina (Qazaf), Minum Arak dan Murtad, manakala 2
lagi melibatkan kesalahan jenayah awam seperti Mencuri dan Merompak. Sekarang
inipun 4 jenis kesalahan ini yang melibatkan dosa peribadi (Zina, Qazaf, Minum
Arak dan Murtad) sudag ada peruntukan undang-undang di bawah kuasa
negeri-negeri. Akta 355 tidak melibatkan kesalahan jenayah awam seperti mencuri
dan merompak yang merupakan bidang kuasa Persekutuan. Jadi pindaan RUU hanya
melibatkan peruntukan kesalahan-kesalahan sedia ada dalam enakmen jenayah
negeri-negeri.
8. Ketidakadilan akan
berlaku jika terjadi kejadian rogol yang melibatkan orang Islam dan Bukan
Islam. Orang Islam dihukum di Mahkamah Syariah manakala bukan Islam di Mahkamah
Sivil.
Rogol bukan merupakan
kesalahan jenayah di bawah bidang kuasa Negeri kerana ia terletak di bawah
kuasa Persekutuan khususnya undang-undang Penal Code atau Akta Kanun Jenayah
Persekutuan.
9. Perlaksanaan Hudud
akan mewujudkan situasi rakyat berhadapan dengan dua set perundangan berkaitan
jenayah yang bertentangan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Soalan ini tidak
relevan kerana pindaan RUU Akta 355 tiada kaitan dengan Hudud mahupun hukuman
jenayah di bawah Bidang Kuasa Persekutuan. Jadi tiada isu pertentangan dengan
mana-mana Bahagian dalam Perlembagaan Persekutuan.
10. Kenapa bukan Pihak
Kerajaan yang membentangkan RUU untuk meminda Akta 355?
Kerajaan terikat
dengan proses dan tertib apabila melibatkan pemerkasaan Mahkamah Syariah.
Keutamaan ketika ini adalah untuk menaikkan taraf Mahkamah Syariah daripada 3
peringkat kepada 5 peringkat sebagaimana Mahkamah Sivil.
Untuk itu, Menteri
perlu mengadap semua Sultan-Sultan atau Raja Melayu untuk mendapat perkenan
kerana kuasa agama terletak di bawah kuasa Raja-Raja Melayu. Setakat ini ada di
kalangan Negeri yang belum bersetuju. Jika semua bersetuju barulah boleh
dibentangkan di peringkat Majlis Raja-Raja Melayu sebelum dibawa ke Parlimen.
Dengan kata lain,
walaupun Akta 355 adalah undang-undang Persekutuan, namun ia adalah berkait
secara langsung dengan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang terletak di bawah
Kuasa Sultan/ Raja-Raja.
Terdapat banyak tertib
langkah yang perlu dilalui oleh Menteri termasuk meyakinkan Jemaah Menteri yang
terdiri dari Parti-parti bukan Islam.
Justeru bagi
mengelakkan kesukaran yg mungkin boleh menjejaskan perjalanan proses pindaan
Akta 355 itu, adalah lebih mudah prosesnya jika ia dimulakan sebagai Usul
Persendirian. Jika Dewan Rakyat meluluskannya untuk dibahaskan ia adalah
kemahuan majoriti Rakyat dan bukannya kemahuan Kerajaan semata-mata.
Kemahuan ini tidak
sekali-kali menyentuh kuasa Raja-Raja kerana apa pun tahap maksimum hukuman
yang diluluskan, pindaan muktamad masih perlu dilakukan di peringkat Dun.
Dalam konteks tertib
yang sama berkaitan peningkatan Kuasa Hukuman Mahkamah Syariah yang hendak
diperkasakan, Kerajaan terikat dengan prosedur serupa. Walau bagaimanapun Parti
Pas dalam konteks ini tidak terikat dengan prosedur ini dan mereka
bersungguh-sungguh mahu dipercepatkan RUU ini dibentangkan.
No comments:
Post a Comment