Wednesday, 29 June 2016

Tidak perlu bertabarruk



KUALA LUMPUR 28 Jun – Perbuatan bertabarruk daripada athar atau peninggalan Rasulullah tidak harus dilakukan semata-mata mahu menzahirkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW.

Menegaskan perkara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, umat Islam yang bertabarruk iaitu melakukan perbuatan seperti mencium atau menjunjung replika itu dengan gaya melampau boleh membawa kepada syirik.
Beliau menjelaskan, Rasulullah tidak pernah menganjurkan umatnya berbuat sedemikian yang dikatakan mahu mengambil keberkatan daripada barang-barang peninggalan tersebut.

“Umat Islam tidak usah bertabarruk dengan peninggalan Rasulullah. Kalau ada pameran pun, pergi tengok sahaja, tidak perlu buat macam itu sekali kerana boleh membawa kepada syirik.



“Lagipun kita tidak tahu sama ada sahih atau tidak barang-barang peninggalan Rasulullah itu. Jadi tidak perlu berbuat begitu, banyak lagi amalan dan sunah Rasulullah yang boleh diikuti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas program Latunan Mahabbah Rasulullah yang diadakan di Kedah Jumaat lalu yang didakwa memberi peluang kepada orang ramai hadir mencium, memegang dan menjunjung athar Rasulullah.
Program berkenaan dipercayai dihadiri lebih 300 masyarakat tempatan yang berpeluang mendekati barangan Rasulullah seperti rambut, kesan tapak kaki dan pedang Baginda pada majlis berkenaan.

Acara berkenaan bagaimanapun mengundang rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai di media sosial terutama Facebook sejak beberapa hari lalu dengan menyifatkan ia sebagai keterlaluan dan tidak kurang juga yang mengaitkannya sebagai syirik.
Dalam pada itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamed Al-Bakri berkata, sebarang usaha dalam memartabatkan syiar Islam termasuk memberi pencerahan kepada masyarakat berkenaan dengan athar daripada Rasulullah SAW seperti pedang Baginda adalah disokong.

Namun, katanya, jika sekiranya perkara tersebut tidak boleh disahkan oleh mana-mana sejarawan dan para ulama yang boleh dipercayai, maka sepatutnya hendaklah dielakkan daripada menganjurkan acara seperti itu.
Beliau berkata, perkara yang lebih utama dalam mengasihi dan mencintai Rasulullah SAW adalah mengikut bagaimana para sahabat Baginda menzahirkan kecintaan mereka mengikut sunnah Nabi yang merupakan tuntutan utama berbanding dengan hanya menyebut sahaja kecintaan itu.

“Saya mengalu-alukan mana-mana tokoh yang dapat mengkaji dan menekuni isu janggut Rasulullah SAW atau rambutnya yang dimansubkan kepada Rasulullah SAW pada masa kini adakah benar atau sebaliknya, dengan kajian yang sahih dan dipercayai untuk meleraikan sebarang kekusutan dalam penisbahan ini.

“Kita sewajarnya memahami sebarang perkara dalam berhukumkan nas-nas yang sahih bukan semata-mata berdasarkan perasaan atau tanpa asas yang kukuh sehingga akhirnya melahirkan perasaan lebih kepada mengikut emosi semata-mata,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tidak-perlu-bertabarruk-1.348185#sthash.utTePSSy.dpuf

Utusan Malaysia 29 Jun 2016

No comments:

Post a Comment