Tuesday, 28 June 2016

Tabbaruk Tapi Jangan Sampai Khurafat




Rasulullah SAW adalah insan paling mulia yang bukan sahaja menjadi contoh ikutan manusia tetapi pada tubuh baginda terdapat keberkatan. Justeru, pada zaman hayat baginda, para sahabat sentiasa menunggu-nunggu setiap apa lebihan baik makanan atau minuman baginda waima peluh dan rambut baginda untuk diambil tabarruk atau mengambil berkat daripadanya.


Umumnya, hukum bertabarruk dengan athar seperti barang-barang peninggalan nabi SAW ini adalah harus. Namun, kita juga dinasihatkan agar tidak berlebih-lebihan seperti mencium atau menjunjung athar. Sebabnya ia boleh membawa kepada khurafat dan syirik.







Hal ini turut ditegaskan oleh Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad sebagai mengulas penganjuran majlis Jumaat lalu yang mempamerkan artifak kononnya berasal daripada Nabi Muhammad SAW, seperti bekas tapak kaki dan rambut baginda.

Dalam kenyataannya, beliau turut menafikan program tersebut mendapat persetujuan atau sokongan Jabatan Mufti Negeri Kedah.

Majlis itu diberikan nama Lantunan Mahabbah Rasulullah di Dewan Besar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Kedah. Poster majlis tersebut mengajak umat Islam untuk bukan sahaja melihat, malah memegang, mengucup dan menjunjung athar Nabi Muhammad yang dipamerkan, seperti rambut, bekas tapak kaki dan pedang baginda.

Para pengunjung juga digalakkan memakai pakaian serba putih untuk kemuncak malam tersebut yang bermula pada 10 malam. Berdasarkan gambar-gambar yang tersebar di laman sosial, program itu ada mirip kepada aktiviti di dalam gereja.
Bagaimanapun, kesahihan kesemua artifak tersebut tidak dapat dipastikan. Oleh kerana itu, maka eloklah umat Islam tidak terlalu mengagung-agungkannya sehingga berlebih-lebihan mengambil tabarruk daripadanya. Tak perlulah sampai mencium artifak yang dikatakan tapak kaki baginda SAW atau sampai menjunjung artifak tersebut. Sekadar hadir untuk menyaksikannya tidaklah salah.

Sebab itulah juga, makam Rasulullah SAW di Masjid Nabawi, Madinah terpaksa dipagar dan dikawal oleh tentera Arab Saudi. Ia bagi mengelak perbuatan sebahagian orang Islam yang keterlaluan memeluk, meratap makam baginda untuk mengambil berkat.

Dalam mana kita mengasihi dan mencintai Rasulullah SAW, perkara yang lebih utama adalah mengikut bagaimana para sahabat dan salafussoleh menzahirkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW. Menzahirkan rasa cinta dengan cara mengikut sunnah nabi adalah tuntutan utama berbanding dengan hanya menyatakan sahaja kecintaan.

Antara bentuknya adalah berselawat ke atas Nabi SAW, mempertahankan baginda SAW, mempelajari sunnah baginda SAW, mencontohi akhlak dan perilaku Nabi SAW, memuliakan hadis Rasulullah SAW, mencintai keluarga Rasulullah SAW, menyebarkan sunnahnya, berhukum dengan sunnahnya dan menjadikan baginda SAW sebagai panduan dan contoh suri teladan dalam kehidupan.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). - (al-Ahzab: 21)

Sedang dalam bulan Ramadan yang berkat ini, lebih aula kita melaksanakan sunnah-sunnah baginda seperti banyakkan membaca al-Quran, bersedekah, menghidupkan malam-malamnya dengan solat berjemaah, qiamullail dan ibadat-ibadat lain. Ini jauh lebih baik daripada terlibat mengambil tabarruk daripada athar yang tidak pasti kesahihannya milik Nabi SAW.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Tinggallah apa yang menjadi keraguan kepada kamu kepada yang tidak menjadi keraguan.” (Riwayat at-Tirmidzi dan al-Nasaie)


- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tabarruk-jangan-sampai-khurafat-1.347841#sthash.ZThJKuk4.dpuf

No comments:

Post a Comment