Saturday 3 June 2017

Kesan Tidur Lepas Sahur


Artikel

Saya tertarik dengan tulisan sahabat saya #DrOtak yang menyebut 3 kesan buruk jika tidur selepas subuh atau sahur.[1]
.
Satu perkongsian yang cukup menarik untuk kita fikirkan dan amalkan bersama. Cuma terdapat satu fakta yang perlu saya perbetulkan supaya tidak menjadi salah faham dikalangan masyarakat.

Tidur selepas subuh atau sahur ini tidak boleh dikaitkan secara terus penyebab kepada dehidrasi badan dan otak. Dehidrasi bermaksud kekeringan air. Dan sesekali tidak akan berlaku air tidak diserap oleh usus. Air yang kita minum tetap akan diserap oleh usus untuk digunakan dalam badan kita.

Kedua, isu penyerapan air berlaku di usus dan tidak melibatkan pundi kencing. Ianya sistem berbeza. Usus adalah sistem penghadaman manakala pundi kencing adalah sistem perkumuhan. Organ dan fungsi pun berbeza. Justeru, adalah tidak benar akan berlaku air dibawa ke pundi kencing semasa kita tidur selepas sahur.
.
Tidur sebaik sahaja memakan makanan sememangnya tidak digalakkan. Ini kerana sistem penghadaman kita terutamanya usus akan menjalankan tugasan bagi mencerna makanan seawal 2-3 jam pertama. Keadaan ini amat elok kita berada di posisi berdiri atau duduk menegak bagi mengelakkan refluks. Refluks bermaksud, makanan yang sediaada dalam perut akan undur semula ke rongga esofagus (salur makanan).[2] Di mana asid perut bersama makanan akan menyebabkan pangkal esofagus menjadi pedih. Ia mungkin tidak berlaku kepada semua orang dan tidak berlaku dalam jangkamasa singkat. Namun risiko refluks gastrik ini tetap ada. Justeru, makanan tidak akan bertukar toksid tetapi proses pencernaannya semakin perlahan. Ianya tetap dicernakan tetapi lambat.
.
Datuk Dr Mohd Zulkifli Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan pernah mengulas isu tidur selepas subuh ini. Beliau menyatakan tiada larangan secara mutlak dari Rasulullah agar tidur lepas subuh diharamkan. Kesimpulan yang beliau nyatakan:

"kami mendapati bahawa tiada larangan melalui nas yang jelas mengenai pengharaman tidur selepas subuh. Oleh itu, tiada halangan bagi mereka yang ingin tidur selepas subuh namun yang terbaiknya adalah dengan meninggalkannya berdasarkan hadis-hadis yang menunjukkan kelebihan menghidupkan waktu selepas subuh.


Pernah ditanyakan kepada al-Imam Malik Rahimahullah mengenai tidur selepas solat subuh maka jawab al-Imam Malik:


“Aku tidak mengetahui akan pengharamannya. Disebutkan bahawa bumi mengeluarkan bunyi yang kuat dari tidurnya ulama’ pada waktu dhuha kerana takut mereka lalai pada waktu tersebut”.[3]


Diberitakan bahawa Buya Prof Hamka juga melazimi hidupnya tidur selepas subuh. Geliga juga otaknya sehingga boleh mengarang tafsir Al Azhar dan berpuluh-puluh kitab ilmiah


Makanya, tidak menjadi satu kesalahan bagi mereka yang bekerja malam dan terpaksa tidur pada siangnya selepas subuh kerana telah menjadi sebahagian dari tugasnya untuk bekerja pada waktu malam lalu berehat pada waktu paginya demi menjalankan tugas pada keesokan malamnya pula.
Wallahu a’lam.

 Suhazeli Abdullah 
Fb.com/drsuhazeli 

30.5.2017
Kuala Dungun 

Pautan:
 
"

No comments:

Post a Comment