Saturday 10 June 2017

Kekalutan Hubungan Antara Negara-Negara Arab Dan Qatar


Kenyataan Media


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Segala Puji bagi Allah Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan baginda Nabi Muhammad S.A.W dan ahli keluarga serta para sahabat.


Izinkan saya memberikan komen dengan uslub yang agak keras memandangkan realiti yang berlaku lebih keras daripada itu. Selepas saya meneliti dan menyokong keterangan yang dibuat oleh Kesatuan Ulama Islam Sedunia, kami dapati bahawa seluruh dunia Arab perlu kembali semula kepada Islam. 


Seluruh dunia Islam perlu mengambil pengajaran daripada kesan buruk Perjanjian Sykes-Picot dan perpecahan yang berlaku antara dunia Islam Arab. Sekalipun penjajah telah keluar, kesannya masih dirasai dengan meninggalkan pengikut-pengikut mereka yang mempunyai warna kulit dan lidah yang sama dengan kita.
Yang paling bahaya adalah kesan sekular yang menjauhkan Islam daripada hal ehwal kehidupan serta memisahkan negara dengan agama. Oleh itu berlaku pemisahan antara kiblat untuk solat dan kiblat politik.

Maka kiblat untuk solat adalah mengadap ke Baitullah di Mekah dan kita menjaga dan membangunkannya sebagai kiblat kita. Adapun kiblat politik, ekonomi, kebudayaan dan lain-lainnya, maka kiblatnya pula ialah Rumah Putih di Washington atau Rumah Merah di Moscow. Maslahah dunia adalah lebih diutamakan berbanding maslahah agama bagi menjaga maslahah Zionis dan sekaligus mengkesampingkan isu Al-Aqsa dan Palestin.
Kenapa mereka lebih dilihat menentang gerakan Islam sederhana dan gerakan kemerdekaan sebenar di Palestin dan sekaligus mereka dilihat seolah-olah mengiktiraf kedaulatan Israel?

“Sejahtera Bersama Islam”

DATO' SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 14 Ramadhan 1438H / 9 Jun 2017

No comments:

Post a Comment