Saturday 3 June 2017

Tamar dulu atau nasi semasa berbuka puasa?


Artikel



Seorang jemaah terawih bertanyakan pandangan mengenai pilihan mendahului makan tamar atau nasi semasa berbuka puasa. ada pro and cons. Asasnya adalah "carbo loading" (Jumlah karbohidrat/nasi/roti/gula dll yang masuk). Bagi pesakit kencing manis elok berbuka awal dengan carbo loading secukupnya. 


Jangan makan terlalu banyak. Namun 3 biji tamar pun sudah memadai bagi sesetengah orang untuk ganti balik karbo. Tapi sesetengah orang 3 biji tu tidak memadai. Masih tidak mendatangkan tenaga kepada mereka. Jadi elok makan nasi terus. Kerana jumlah karbo dalam nasi adalah tinggi.


Buah kurma adalah gula ringkas. Setelah dimakan, ia cepat dihadamkan dan diserap masuk dalam tubuh. Gula dari buah tamar terus digunakan sebagai tenaga. Berbeza sedikit dari karbohidrat seperti nasi atau roti. Nasi, roti atau karbohidrat lain adalah gula kompleks. Apabila dimakan, perut akan menghadamkan dahulu kepada karbohidrat lebih ringkas iaitu gula. Lumrah bagi orang dewasa, karbohidrat ini akan mengambil masa 2-4 jam untuk dihadamkan sepenuhnya. Maksudnya penggunaan tenaga dari gula kompleks ini sedikit lambat berbanding dengan gula ringkas seperti tamar atau gula pasir.
.
Justeru, ikuti sunnah Nabi dengan memakan tamar terlebih dahulu amat baik diamalkan. Pahala pun dapat. Adakah setelah makan buah tamar, kita terus boleh solat? Ya, boleh dah sebab kita sudah berbuka puasa dan tenaga dari gula ringkas tamar pun sudah kita perolehi.
.
Jika nak makan nasi lepas berbuka dengan buah tamar, boleh ke? boleh juga. Tiada halangan. Cuma tengok uruf setempat juga. Kepada sesiapa yang berbuka dimasjid secara berjemaah, jika majoriti ahli jemaah setuju makan tamar dan air sahaja dahulu, dibolehkan. Nasihat saya agar makanan berat seperti nasi dan lauk pauk sedap seperti ayam panggang dan seumpamanya itu disisihkan ditempat lain dahulu. Saya risau jika hanya berbuka dengan buah tamar sahaja, sedangkan hidangan menu ayam masak merah terbungkam depan mata, menyebabkan solat maghrib kita tak khusyuk! Teringat-ingat ayam masak merah tadi msa solat maghrib, entah sudah dibaham oleh kawan.
.
Lagipun terdapat hadis Nabi SAW berkaitan itu.

Dari Anas bin Malik r.a.: bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
إِذَا قُدِّمَ العَشَاءُ، فَابْدَءُوا بِهِ قَبْلَ أَنْ تُصَلُّوا صَلاَةَ المَغْرِبِ، وَلاَ تَعْجَلُوا عَنْ عَشَائِكُمْ
Maksudnya: “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah makan sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah semasa makan malam kamu.”(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar, baginda s.a.w. bersabda:
إِذَا وُضِعَ عَشَاءُ أَحَدِكُمْ وَأُقِيمَتِ الصَّلاَةُ، فَابْدَءُوا بِالعَشَاءِ وَلاَ يَعْجَلْ حَتَّى يَفْرُغَ مِنْهُ» وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ: «يُوضَعُ لَهُ الطَّعَامُ، وَتُقَامُ الصَّلاَةُ، فَلاَ يَأْتِيهَا حَتَّى يَفْرُغَ، وَإِنَّهُ لَيَسْمَعُ قِرَاءَةَ الإِمَامِ
Maksudnya: “Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai.” Bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan sekalipun beliau mendengar bacaan imam. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
.
Secara peribadi saya suka berbuka puasa dengan buah tamar dan makan terus nasi. Ini kerana saya ingin menjimatkan masa. Waktu antara berbuka puasa dan isyak sekejap sahaja. Jangan dirugikan masa itu, sedangkan jika kita terus makan kemudian solat maghrib, selepas solat kita mempunyai banyak peluang untuk mandi, dan tadarus al Quran sehelai dua sehingga masuk waktu isyak.
.
Tapi jika makan kurma dan air dulu, lepas tu solat maghrib kemudian menuju ke meja makan pula untuk makan berat, habis masa kat situ sahaja. Kecuali lah perut kita boleh tahan hingga lepas terawih jam 10.30 malam... masa tu karbo loading tak tahu lah nak kira lagu mana..
.
Dinasihatkan agar jarak antara last big meal (makan nasi) sebelum tidur sekitar 4 jam. Maksudnya jika kita makan nasi jam 10.30 malam, tidur patut dilewatkan juga ke jam 2.30 pagi.. jarak 4 jam tersebut beri peluang kepada perut kita melakukan kerja proses penghadaman makanan yang baru kita makan. Terdapat kesan negatif dari sudut kesihatan jika jarak makan malam dengan waktu tidur terlalu dekat. Antaranya penyakit refluks (gastik). Ada kajian mengatakan risiko rendah penyakit angin ahmar bagi orang yang jarak makan malam mereka jauh dari waktu tidur.
.
Oleh demikian eloklah baham nasi seawal maghrib bagi beri kerihatan kepada perut dari terus mengisar makanan walau sedang tidur.
.
Semoga bermanfaat. Jika pandangan saya silap, tolong kabo deh.

Suhazeli Abdullah
fb.com/drsuhazeli

31.5.2017

Kuala Dungun

No comments:

Post a Comment