Monday 19 June 2017

5,000 umat Islam sertai Malaysia Quran Hour di Putrajaya


Post Pic
 
PUTRAJAYA: Lebih 5,000 umat Islam yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai program Malaysia Quran Hour atau Sejam Bersama Al-Quran di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, hari ini.    
 
Program yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu diadakan bagi mengajak dan menggalakkan umat Islam untuk membaca, memahami dan mengamalkan ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran.

 
Ia diadakan secara serentak pada jam 12 tengah hari tadi dengan melibatkan 1,663 lokasi di seluruh negara.
 
Program kali ini mengangkat tema 'Berbudi dan Penyayang'.
 
Ia merupakan anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Dakwah Negara (MDN) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sebagai rakan strategik.
 
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mencemar duli ke program berkenaan, termasuk Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zamry Abdul Kadir dan Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid.
 
Ketua Pegawai Eksekutif WUI, Marhani Yusoff yang juga penganjur program ini menyifatkan ia sebagai satu kejayaan dan mengharapkan lebih ramai lagi umat Islam menyertainya pada masa akan datang.
 
"Kita lihat penyertaan tahun ini amat luar biasa, dengan penyertaan rakan strategik.
 
"Model penyatuan hati telah berada dalam satu platform untuk mengangkat Al-Quran supaya menjadi manual kehidupan, dibaca dan dihayati dan diamalkan.
 
"Pada tahun lepas penyertaan seramai 1,500 orang namun pada tahun ini kita mempunyai seramai 5,000 untuk bersama-sama kita," katanya ketika ditemui media.

No comments:

Post a Comment