Thursday 15 June 2017
Isma gesa penganjur majlis berbuka Gay disiasat
BANGI, 19 Ramadan 1438H, Rabu – Penganjur majlis berbuka puasa di kalangan pendukung gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) pada 10 Jun lalu perlu disiasat dan dipanggil memberikan keterangan kepada pihak berkuasa.
Menggesa tindakan itu, Ketua Biro Islamiyat Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Omar Kassim berkata, tindakan mereka menganjurkan majlis berbuka puasa yang mengagungkan hawa nafsu ini turut sama menghina Islam.
"Apa yang mereka lakukan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Islam mengharamkan zina, macam mana kita boleh membiarkan orang mempromosikan zina
"Islam mengharamkan seks sejenis, apa yang mereka lakukan ialah mempromosikan maksiat dan kehancuran," katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, umat Islam kena bertindak berdasarkan hadith, yang mafhumnya, barang siapa melihat kemungkaran, hendaklah dia mencegah dengan kuasa yang dimilikinya.
"Jika tidak mampu dengan lidahnya. Jika tidak mampu dengan hatinya. Dan dengan hati adalah serendah iman.
"Mereka mengagungkan hawa nafsu, sehingga menyatakan tiada ayat di dalam Al-Quran mengharamkan gay.
"Mereka boleh pergi lebih jauh hingga menyatakan tidak perlu untuk menganut Islam sekiranya agama tersebut tidak membuahkan ketenangan jiwa, dan perbuatan seks sumbang sesama jantina adalah halal menurut al-Quran.
"pengharaman seks sejenis ini secara jelas diharamkan di dalam Al-Quran apabila Nabi Lut berdakwah kepada keluarganya dalam surah An-Naml ayat 54-58.
"Betapa jauh liberalisme ini boleh pergi ke dasar kesesatan. Ini satu agama baru yang berhujah dengan Al-Quran tafsiran sendiri," keluhnya.
Program yang diadakan minggu lalu itu dihadiri oleh ramai aktivis liberal serta penyokong LGBT tempatan.
Antara pendukung gerakan ini yang hadir untuk menyerikan majlis ini adalah mantan pengurus program Sisters in Islam, Suri Kempe, Dorian Wilde dan Nisha Ayub dari Justice For Sisters.
Program ini juga menyajikan tayangan filem berlatar belakangkan perjuangan gay, bertajuk Pride dan bacaan puisi yang bertajuk "Halal/Haram" oleh Catherine Brogan yang berasal dari Ireland.
Ianya difahamkan diadakan bertujuan untuk mengingati pengamal LGBT yang terkorban di sebuah kelab malam di Orlando, Amerika Syarikat pada 12 Jun tahun lalu. Demikian itu tajuk forum adalah "Remembering Orlando: Courage in the Face of Adversity", atau Bahasa Melayunya, ‘Memperingati Orlando: Keberanian Berdepan Dugaan'.
Labels:
Keluarga Sosial Dan Komuniti
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment