Saturday 4 March 2017

Kenyataan Ipeguam Berhubung Tuntutan Penangkapan Dan Pengusiran Zakir Naik Dari Malaysia

IPeguam tidak merasa terkejut dengan tindakan sekumpulan 19 individu yang mendakwa diri mereka sebagai aktivis dan profesional seperti Dr Lim Teck Ghee, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, peguam Siti Kassim dan Asiah Abd Jalil dan Peter John Jaban yang mengambil tindakan guaman terhadap kerajaan Malaysia yang didakwa kononnya telah gagal melindungi negara daripada pendakwah terkenal dunia, Dr. Zakir Naik.

Dr. Zakir Naik, tokoh pendakwah perbandingan agama tersohor dituduh sebagai “preacher of hate” atau “penyeru kebencian” dan “undesirable person” atau “orang yang tidak disenangi” oleh pendukung liberalisme ini. Mereka mendakwa kehadiran Dr. Zakir Naik di Malaysia mengancam keselamatan negara dan menggugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
Hakikatnya mereka takut dengan bayang-bayang sendiri. Mereka cuba memberi gambaran dan persepsi kepada umum kononnya merekalah pembela hak-hak asasi dan penjaga kepada nilai-nilai kebebasan sedangkan tindakan mereka memberi tekanan kepada pihak pemerintah terhadap Dr Zakir Naik adalah bukti nyata bahawa mereka sendiri tidak menghormati prinsip-prinsip hak asasi dan kebebasan untuk mengeluarkan pendapat.



Ancaman sebenar kepada negara
IPeguam mempersoalkan pendirian berat sebelah yang dibuat oleh kumpulan kecil ini yang kelihatan garang berbicara soal keselamatan dan keamanan negara tetapi bersikap acuh tidak acuh terhadap beberapa individu berfahaman “revolutionist” yang ekstrim dan tidak menghormati kedaulatan sesebuah kerajaan demokratik.
Usaha licik yang boleh mengancam kesejahteraan negara ini dipengaruhi dan dibiayai agensi-agensi antarabangsa milik Amerika Syarikat seperti National Endowment for Democracy (NED) dan National Democratic Institute (NDI). Kedua-dua penggerak dasar luar negara AS ini mendukung suatu gerakan yang dikenali sebagai Occupy Central yang mengangkat seorang pemuda Kristian bernama Joshua Wong semasa “color revolution” di Hong Kong tidak berapa lama dahulu.
Rakyat Malaysia sudah  sedia maklum bahawa gerakan yang memperjuangkan mantera “clean and fair election” di Malaysia iaitu Bersih turut didanai oleh NDI. Bersih sebelum ini cuba untuk membawa masuk Joshua Wong bagi menyokong demonstrasi yang dianjurkan mereka.
Latar belakang Joshua Wong sangat tepu dengan ajaran evangelis Kristian. Beliau pernah bersekolah di United Christian College, sebuah institusi pendidikan swasta yang ditubuhkan pada tahun 2003. Sekolah ini menawarkan suasana pendidikan bercirikan agama Kristian kepada para pelajar dan ibubapa mereka melalui sebuah gereja yang dinamakan United Christian Community Church. Gereja ini didirikan oleh pengetua dan paderi sekolah tersebut pada tahun 2004.
Hairannya, percubaan untuk mengimpot anasir pemecah belah dari Hong Kong ini tidak pula dianggap ancaman kepada keselamatan negara!
IPeguam juga mengutuk sikap pilih kasih dan selektif kumpulan kecil yang menggelar diri sendiri (self-proclaimed) sebagai aktivis-aktivis hak asasi manusia ini yang kononnya memperjuangkan kebebasan bersuara dan beragama acuan liberalisme namun mengaplikasikan satu kriteria lain terhadap Dr. Zakir Naik dan umat Islam di Malaysia.
Kebebasan dan hak asasi, bagi mereka, hanya berfungsi sebagai satu entiti eksklusif sekiranya ia membawa keuntungan dan “advantage” kepada agenda songsang mereka, TAPI tidak boleh dinikmati langsung sekiranya ia membawa maslahat kepada umat Islam sebagai “stakeholder” yang terkesan secara langsung.
Kenapa bersikap “double standard” dan hipokrit seperti ini?
Sebelum ini, ceramah Dr. Zakir Naik di Melaka pada tahun lalu menjadi sensasi kerana tajuk ceramah iaitu “Persamaan di antara Hinduism dan Islam” telah diubah, dikhuatiri menggugat perpaduan masyarakat berbilang agama di negara. Walhal, pendukung liberalisme jugalah yang lantang menyuarakan slogan-slogan seperti “interfaith dialogues”, “diversity”, “inclusiveness” dan sebagainya.
Selain dari itu, ceramah yang telah dianjurkan di institusi pengajian tinggi tempatan berkisar tentang “Gerakan Ancaman Kristianisasi” pada awal Disember 2015 yang lalu turut mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan liberal dan puak Islamofobia kononnya ceramah tersebut menggalakkan perpecahan antara rakyat Malaysia yang berbilang agama.
Mereka sama sekali tidak mengambil peduli akan sensitiviti umat Islam terhadap percubaan gerakan Evangelis Kristian bagi memurtadkan orang Islam di Malaysia. Hal ini terbukti dengan kejadian di Selayang melibatkan seorang wanita Melayu Islam yang didekati dua orang pelancong asing sambil menyebarkan fahaman Kristian kepada beliau.
Justeru, IPeguam menyifatkan tindakan guaman yang mahukan Dr. Zakir Naik ditahan dan diusir keluar negara ini sebagai satu pencabulan hak yang termaktub dalam Perlembagaan yang dinikmati oleh warganegara dan bukan warganegara mengikut lunas undang-undang sewajarnya.
Adalah ditegaskan di sini bahawa alasan kumpulan 19 individu berkenaan untuk menafikan motif yang mensasarkan kepada agama Islam dalam tindakan mereka adalah sangat dangkal. Orang awam sedia maklum bahawa kepakaran dan kelebihan Dr Zakir Naik adalah di dalam “Perbandingan Agama” dan setiap ceramah beliau membuka ruang perbincangan dalam meneliti kandungan kitab-kitab dari pelbagai agama untuk mencari kebenaran.
Kumpulan kecil ini yang sebahagian daripada mereka pernah terlibat dalam isu-isu sensitif dan menyentuh kepentingan umat Islam sebelum ini tidak dapat mengemukakan sebarang bukti kukuh bahawa Dr Zakir Naik merupakan “ancaman kepada keselamatan negara”, “an undesirable person” and “a preacher of hate”.
Apakah mereka gusar bahawa kebenaran Islam akan terbukti melalui hujah dan  memikat masyarakat untuk lebih memahami Islam secara objektif? Apakah mereka hendak memberi isyarat halus bahawa Islam membawa mesej perpecahan dan anti-keharmonian dan perpaduan?
Sebagai seorang Tokoh Maal Hijrah yang dinobatkan oleh Yang DiPertuan Agong sendiri pada tahun 2012, beliau mempunyai reputasi yang baik di kalangan majoriti umat Islam di Malaysia. Tindakan untuk “mengusir” beliau melalui tindakan Mahkamah seolah-olah menghina pengiktirafan YDPA sebagai Ketua bagi umat Islam Malaysia dan mempertikaikan kebijaksanaan di sebalik penganugerahan yang amat bermakna itu.
Isunya bukan pada nama Dr. Zakir Naik.
IPeguam menegaskan bahawa tindakan terkini bukan semata-mata berkisar pada nama Dr Zakir Naik. Umum mengetahui bahawa terdapat satu siri inisiatif yang kelihatan seolah-olah terancang untuk melaksanakan “check and balance” terhadap Islam di tanah air.
Penentangan terhadap RUU 355, rayuan terhadap fatwa yang mengisytiharkan bahawa SIS adalah salah satu kumpulan yang menyebarkan fahaman liberalisme dan sekularisme yang sesat, tuntutan penggunaan kalimah Allah di dalam makalah Kristian, saman terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan sebelum ini kes lelaki berpakaian perempuan di Negeri Sembilan yang mencabar Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan serta banyak lagi insiden-insiden provokatif yang menyentuh sensitiviti agama Islam perlu dilihat secara keseluruhan sebagai ancaman terhadap kedudukan Islam dan hak-hak beragama orang Islam di Malaysia.
Tindakan sekumpulan 19 individu berkenaan pada hakikatnya mewakili satu agenda yang menganggap Islam sebagai satu halangan dan ancaman kepada usaha untuk mensekularkan Malaysia, mengarusperdanakan ideologi liberal dan menghapuskan jatidiri rakyat Malaysia sebagai bangsa yang bermaruah. Ia hanyalah satu kesinambungan kepada kegagalan tuntutan-tuntutan COMANGO mereka.
IPeguam menyeru umat Islam seluruhnya agar berhati-hati dan sentiasa berwaspada terhadap sebarang usaha untuk memisahkan Islam dari segenap aspek kehidupan. Jaminan Perlembagaan terhadap kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan (yakni negara Malaysia) adalah satu testimoni bahawa kedaulatan Islam merupakan salah satu dasar yang menolak anggapan dan dakwaan Malaysia sebagai sebuah negara sekular. Orang bukan Islam harus diberikan kesedaran bahawa Islam diturunkan sebagai rahmat untuk sekalian alam.
Pihak yang membawa unsur perpecahan bukanlah penceramah seperti Dr Zakir Naik, akan tetapi keengganan segelintir rakyat Malaysia yang cuba menghalang kemampuan agama dan Syari’at Islam untuk menyelesaikan permasalahan masyarakat, membawa ketenangan ke dalam jiwa dan menjadi benteng terhadap serangan mana-mana pihak yang ingin merosakkan karamatul insan (kemuliaan insan) dan keharmonian antara kaum.
“Preachers of hate” juga boleh merangkumi individu-individu, pemimpin-pemimpin parti politik dan mana-mana pihak yang suka membangkitkan kemarahan umat Islam, mengancam hak-hak umat Islam,  mencampuri urusan-urusan institusi Islam, mempertikaikan peruntukan-peruntukan Islam di dalam Perlembagaan dan menghalang umat Islam dari mendapat pencerahan dan pemahaman yang baik tentang agama mereka.
Kumpulan seperti ini juga perlu dihadapkan ke Mahkamah

No comments:

Post a Comment