Saturday 4 March 2017

Umat Islam bantah kerajaan Pulau Pinang campur tangan urusan Islam



Berita

BUTTERWORTH: Kira-kira 50 masyarakat Islam mengadakan bantahan singkat selepas solat Jumaat bagi mendesak kerajaan Pulau Pinang berhenti campur tangan dalam hal ehwal Islam, khasnya berhubung fatwa.

Mereka berkumpul di Masjid Jamiul Al-Badawi di Kepala Batas, bagi menggesa Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan pemimpin DAP lain berhenti campur tangan dalam pengeluaran fatwa dengan serta-merta.



Mereka turut memegang kain rentang tertera gambar Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dengan perkataan “Musuh Islam dan Musuh PAS” serta “Jangan kurang ajar dengan Melayu Penang”.

Protes itu berlangsung selama 10 minit sebelum peserta bersurai secara aman.

Jurucakap masyarakat Islam Kawasan Kepala Batas, Azmi Man berkata, ahli parti dan umat Islam sangat terganggu dengan kerajaan negeri yang didakwa campur tangan dalam hal ehwal Islam.



“Kami merasakan perkara Islam hanya perlu dibincangkan umat Islam, terutamanya perkara berkaitan fatwa,” katanya kepada wartawan petang tadi.

Isu campur tangan fatwa negeri itu julung kali dibangkitkan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Afnan Hamimi Taib Azamudden, yang mendakwa semua fatwa di Pulau Pinang terpaksa mendapat kelulusan mesyuarat exco yang dipengerusikan Lim.

Afnan berkata, semua fatwa hanya memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan negeri tiada hak dalam pewartaan fatwa. Dakwaan Afnan itu kemudiannya disokong seorang ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang.

Kerajaan negeri dan Lim bagaimanapun menafikan sebarang bentuk campur tangan.

Dalam perkembangan lain, Azmi berkata, PAS Pulau Pinang akan menyokong seruan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk tidak berhubung dengan DAP dan PAN.

No comments:

Post a Comment