Monday 20 March 2017

Gagasan mahu Pendidikan Islam, Moral subjek wajib lulus

Fadillah Yusof
Fadillah Yusof


KUANTAN - Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) menyaran agar subjek Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral dijadikan mata pelajaran wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia.

Presidennya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Kementerian Pendidikan perlu mengkaji saranan itu bagi melahirkan modal insan yang berilmu dan dilengkapi nilai moral serta beretika.

"Gagasan berpendapat sudah sampai masanya Kementerian Pendidikan menggubal semula subjek pendidikan Islam dan moral bagi murid bukan Islam agar generasi muda dilengkapi dengan nilai-nilai itu," katanya.

Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Agung Tahunan Gagasan ketujuh di sini hari ini yang disertai 147 perwakilan dari seluruh negara.


Selain itu, beliau berharap kerajaan dapat mengembalikan semula martabat tulisan jawi yang dilihat semakin terpinggir disebabkan 'kegopohan kita mengejar menjadi negara maju'.

Fadillah berkata tulisan jawi merupakan elemen keunikan dan keistimewaan masyarakat Melayu serta mempunyai nilai sentimental dan identifikasi yang erat terhadap martabat jati diri Melayu.

"Apabila masyarakat Malaysia mula menggunakan tulisan rumi secara rasmi pada 1963, secara tidak langsung tulisan jawi mula dipinggirkan. Bertitik tolak daripada itu, tulisan jawi tidak lagi dilihat penting sebagai tulisan bahasa Melayu.

"Pengajaran jawi di sekolah tidak lagi ditekankan. Menjadi kewajipan angggota Gagasan utnuk memupuk semula rasa cintakan tulisan jawi khasnya kepada generasi muda bagi mengelakkan tulisan jawi daripada menjadi bahan sejarah di muzium semata-mata," katanya.

Fadillah seterusnya membangkitkan saranan Gagasan agar kerajaan menubuhkan makmal integrasi nasional khusus untuk mengkaji program yang dapat meningkatkan integrasi antara masyarakat Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Gagasan berpendapat kewujudan makmal ini akan menjadi platform terbaik bagi menggubal formula melahirkan bangsa Malaysia yang progresif dan berjati diri Malaysia," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment