Thursday 23 March 2017

Bisa labah-labah kurangkan kerosakan otak pesakit strok






22 Mac 2017 12:40 AM

SYDNEY 21 Mac – Kandungan protein dalam bisa labah-labah didapati mampu mengurangkan risiko kerosakan otak yang se­ring berlaku selepas serangan pe­nyakit strok, lapor pasukan penyelidik Australia.

Saintis dari University of Queensland dan Universiti Mo­nash berkata, racun atau toksin berbahaya yang dikeluarkan oleh labah-labah berbisa diketahui merupakan bahan terbaik untuk mendapatkan kandungan protein bagi kegunaan rawatan perubatan kerana kepantasannya bertindak ke atas sistem saraf serangga.

Ketua penyelidik, Glenn King memberitahu AFP, penemuan baharu itu berjaya diperoleh ha­sil kajian ke atas tiga ekor labah-labah berbisa yang diambil dari kawasan Fraser Island di pesisir pantai Queensland.

“Protein kecil yang kami dapati iaitu Hi1a, mampu menyekat saluran ion pengesan asid dalam otak yang juga merupakan pendorong utama kerosakan otak selepas pesakit terkena serangan strok.

“Kami percaya penemuan pertama dalam sejarah perubatan ini merupakan cara terbaik untuk mengurangkan kesan kerosakan otak selepas strok,” jelasnya.

Menurut King, molekul kecil protein yang ditemui dalam kajian berkenaan menjanjikan impak positif serta rawatan perubatan yang lebih berkesan kepada pesakit strok di masa hadapan.

“Perkara paling menarik tentang Hi1a adalah bahan ini menyediakan tahap perlindungan luar biasa selama lebih lapan jam selepas bermulanya strok, sekali gus meningkatkan peluang pesakit untuk mendapatkan rawatan berkesan.

“Hi1a turut menyediakan be­be­rapa perlindungan kepada kawasan otak yang paling teruk terjejas akibat kekurangan oksigen yang biasanya tidak boleh dipu­lih­kan selepas serangan strok.

Pengarah Bahagian Rawatan Otak Hospital Royal Melbourne, Stephen Davis berkata, hasil kajian yang disiarkan dalam jurnal Proceedings National Academy of Sciences itu akan digunakan untuk rawatan awal pesakit jika berjaya melepasi ujian klinikal.

“Bahan yang selamat dan berkesan dapat diberikan kepada pesakit oleh anggota paramedik ketika masih berada di dalam ambulans bagi meningkatkan peluang mereka untuk pulih,” katanya. – AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bisa-labah-labah-kurangkan-kerosakan-otak-pesakit-strok-1.460140#ixzz4c6kZ7vAH
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment