Wednesday, 19 December 2012

Seminar Halal di Korea



 Menjejakkan kaki ke bumi Korea tanggal Subuh 1 November 2012, delegasi JAKIM yang diketuai oleh  Timbalan Ketua Pengarah JAKIM, Y.Bhg Tuan Haji Mohd Nordin bin Ibrahim dan disertai oleh dua orang pegawai dari Bahagian Hab Halal, Puan Norhanim Abdul Halim dan Puan Zuraini Yahaya, disambut oleh En Mohd Nizam Ashary, Konsulat Malaysia, dan En Saleh Bhark, salah seorang ahli Lembaga Pengarah Korean Muslim Federation.

Pada jam 12.00 tengahari, delegasi dibawa  ke Seoul Central Mosque di Itaewon untuk solat zuhur seterusnya menyertai Seminar Halal yang diadakan di Korea Agro-Fisheries & Food Trade Corporation (AT) di Gangnam-daero, Seoul. Sejurus sebelum seminar berlangsung, delegasi sempat bertemu dengan Presiden AT dan hadir sama ialah Duta Malaysia di Korea, Y.Bhg. Dato’ Ramlan bin Ibrahim. Seminar yang julung kali diadakan ini merupakan anjuran bersama oleh KMF dan AT.  

Jakim diundang khas oleh penganjur untuk menyampaikan ucap utama dan membentangkan kertas kerja berkaitan halal. Ucap utama disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah JAKIM, Y.Bhg Tuan Haji Mohd Nordin bin Ibrahim. Beliau antara lain berkongsi mengenai kejayaan Malaysia dalam meningkatkan pengurusan pensijilan halal dan peranan halal terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Beliau juga menyatakan bahawa konsep halal kini bersifat sejagat dan mendapat perhatian masyarakat antarabangsa termasuk mereka yang bukan beragama Islam.

Bahagian Hab Halal telah membentangkan kertas kerja bertajuk “What Is Halal and Why Halal Certificate Is Required?”. Antara isi penting dalam kertas tersebut ialah bagaimana agama Islam, budaya dan ekonomi berperanan dalam menjadikan pensijilan halal sesuatu yang sangat relevan dalam dunia global masa kini.

Seminar tersebut juga turut mengundang tiga pembentang lain iaitu Imam A. Rahman Lee dan En Saleh Bhark dari KMF dan Prof. Choi Young-Kil dari Myongji University yang membicarakan mengenai konsep halal dan haram dari perspektif Islam dan pengurusan pensijilan halal Korea.

Secara keseluruhan, seminar yang disertai oleh lebih 200 peserta yang terdiri daripada pengilang produk makanan dan kosmetik ini berlangsung dalam suasana yang sangat interaktif. Ia berjaya mencapai objektif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat Korea terhadap halal. Seminar tersebut mendapat liputan luas oleh media massa Korea yang secara tidak langsung meningkatkan hubungan baik dua hala, Korea dan Malaysia.

Pada keesokan harinya, delegasi menghadiri mesyuarat bersama ahli Lembaga Pengarah KMF di Seoul Central Mosque. Pihak KMF menyatakan hasrat dan komitmen mereka untuk menjadi salah sebuah badan pensijilan halal yang diiktiraf oleh Malaysia pada tahun 2013 akan datang.

No comments:

Post a Comment