Friday, 28 December 2012

Biadap: Terbit kalendar 2013 hina hukum hudud




KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang cuba untuk mengelirukan orang bukan Islam terhadap agama Islam dengan pengeluaran dan penerbitan kalendar 2013 yang cukup jelas menghina agama Islam iaitu hukum hudud.


Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, penerbitan kalendar 2013 di dalam dwibahasa, Cina dan Inggeris, ini secara jelas sebagai satu mesej untuk menakut-nakutkan orang bukan Islam terhadap hukum hudud yang tidak ada kena mengena langsung dengan masyarakat bukan Islam.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan tindakan biadap ini adalah suatu tindakan bacul dan pengecut pihak-pihak yang pastinya mempunyai akal fikiran yang tidak waras.

“Tindakan ini juga sebagai satu penghinaan dan pengkhianatan terhadap Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di dalam negara ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, kata beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan tindakan biadap itu ditaja oleh parti perkauman Cina terbesar di Malaysia yang juga merupakan sekutu rapat kepada kerajaan yang memerintah Malaysia ini kerana selama inipun presiden parti tersebut cukup kuat memusuhi agama Islam dan hukum Islam.

Menruutnya, cukup jelas tindakan itu juga merupakan tindakan terdesak puak tersebut untuk meraih simpati masyarakat bukan Islam yang telah menolak mereka di dalam pilihanraya umum lalu.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor dengan ini mendesak pihak polis dan jabatan agama dapat mengambil tindakan segera untuk melakukan siasatan serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang cuba untuk mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama dengan isu ini,” ujarnya.

Tambahnya, Pemuda PAS Selangor turut mendesak dan menuntut supaya semua pihak yang bertanggungjawab di atas pembiayaan, penerbitan, pengeluaran dan pengedaran kalendar itu untuk tampil memohon maaf secara terbuka kerana menghina agama Islam dan menarik semula kalendar ini daripada pasaran

Harakahdaily,28 Dis 2012

No comments:

Post a Comment