Friday 28 December 2012

ILIM lahirkan graduan sulung Sijil Tinggi Muamalat



Buat julung kalinya, program kursus Sijil Tinggi Muamalat (STM) telah berjaya dianjurkan oleh Institut Latihan Islam Malaysia dengan penyertaan seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada para pegawai dari pelbagai agensi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
 
Para peserta telah mengikuti tiga peringkat kursus secara berkala iaitu Sijil Tinggi Muamalat Peringkat Asas pada 07 hingga 11 Mac 2011, Peringkat Pertengahan pada 11 hingga 15 April 2011 seterusnya Peringkat Lanjutan pada 20 hingga 24 Jun 2011.
 
Kursus STM ini telah diurusetiakan oleh Pusat Ekonomi dan Kewangan Islam, (PEKI) ILIM dengan hasrat untuk melahirkan pegawai hal ehwal Islam dan kakitangan kerajaan yang mempunyai kefahaman secara komprehensif terhadap prinsip syariah dalam bidang fiqh al-Muamalat, sistem kewangan dan perbankan Islam. Selain itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan kemahiran serta kepakaran kepada individu yang terlibat dalam sektor pengurusan muamalat Islam.
 
Sepanjang kursus ini berlangsung, para peserta didedahkan dengan teori dan aplikasi semasa fiqh al-Muamalat di Malaysia yang disampaikan oleh pakar dalam bidang kewangan Islam di Malaysia seperti Prof Dr Abdul Ghafar Ismail (UKM), Tuan Hj Zainuddin Ali (Bank Rakyat), Prof Madya Dr Asyraf Wajdi Dusuki (ISRA), Dr Md Nurdin Ngadimon (SC), Dr Rusni Hassan (UIA), Ustaz Azizi Che Seman (UM), Prof Madya Syed Ghazali Wafa (UKM), Prof Madya Sabri Haron (UKM), Husni Abd Rahman (PPZ), Hamizul Abdul Hamid (LZS) dan ramai lagi.
 
Selain itu, program ini turut melibatkan lawatan ilmiah iaitu ke Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Takaful Ikhlas Sdn Bhd dan Suruhanjaya Sekuriti (SC). Lawatan ini telah banyak memberi pendedahan menarik kepada para peserta melalui tinjauan secara lebih dekat bentuk operasi institusi-institusi kewangan Islam di Malaysia.
 
Pada 24 Jun 2011 yang lalu, merupakan hari bersejarah kepada para peserta apabila dianugerahkan sijil graduan Sijil Tinggi Muamalat pada majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil yang diadakan di Bilik Ibnu Khaldun, ILIM. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Puan Hajjah Ramlah binti Yong, Pengarah Bahagian Pembangunan Insan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mewakili Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
 
Dalam ucapan, beliau menggesa agar para peserta mengaplikasi segala ilmu di samping menyebarkan maklumat berkenaan pengurusan kewangan yang berkesan kepada rakan-rakan sekerja yang lain seterusnya kepada masyarakat umum. Beliau turut meletakkan cita-cita yang tinggi agar Jakim dengan kerjasama ILIM mampu melahirkan lebih ramai lagi tenaga pakar dalam bidang Muamalat dan kewangan Islam pada masa yang akan datang.
 
 
 
 
 
Info:Klik disini untuk kertas kerja STM .
 
Makluman: Berita ini dipetik daripada portal rasmi JAKIM. Untuk maklumat lanjut sila layari portal ILIM

No comments:

Post a Comment