Friday 28 December 2012

Kolokium Bina Insan Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan 2012



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Bahagian Dakwah telah berjaya menganjurkan Kolokium Bina Insan Pegawai-Pegawai Kanan Persekutuan pada 17 – 19 Disember 2012 bertempat di Corus Paradise Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan.
 
Kolokium ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memberikan kefahaman isu-isu Islam terkini, meningkatkan pengukuhan sahsiah dan memperkasa kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam dalam melaksanakan tugas dan amanah selain menjadi contoh tauladan dalam kepimpinan organisasi.
 
Seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai gred 48 sehingga 54 telah hadir dan memberi komitmen sepanjang kolokium ini. Para peserta didedahkan dengan topik-topik yang berkaitan dengan isu-isu aqidah Islam terkini, Islam dan perlembagaan serta slot-slot seperti Taaruf, Bacaan Ma’thurat, BDK, Bicara Nurani serta ibadah Qiyamulail.
 
Antara barisan penceramah yang telah dijemput bagi memenuhi program ini ialah YBrs.  Tuan Haji Zaidi bin Ramli – KPP Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kuala Lumpur, YBrs. Tuan Haji Mohd Aizam bin Masood – Penolong Pengarah, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jakim, YBrs. Tuan Haji Mahamad Naser bin Disa – Pengarah Kanan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), YBrs. Ustaz Mohamad Zamri bin Mohamed Shapik – KPP Pusat Pengurusan dan Undang-Undang, ILIM Bangi dan YBhg. Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri – Pendakwah Bebas.
 
Majlis Perasmian Penutup Kolokium ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jakim. Turut hadir adalah YBhg. Tuan Haji Razali bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pembangunan Insan Jakim, serta Tuan Haji Mohamad bin Mohd Zin, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah Jakim.
 
YBhg. Dato’ Ketua Pengarah dalam ucapannya menyeru supaya setiap penjawat awam dapat melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat dan negara dengan sebaik-baiknya berasaskan nilai-nilai murni. Beliau yakin dengan pendedahan dan maklumat yang diterima melalui kolokium ini, para peserta akan dapat menjayakan hasrat kepimpinan negara bagi mencapai status penjawat awam yang unggul dan cemerlang.
 
 
 
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment