Tuesday, 7 August 2012

KISAH THA'LABAH SAHABAT RASULULLAH S.A.W.KUFUR KERANA ENGKAR BAYAR ZAKAT TIDAK TEPAT ?

Bila ramadhan menghampiri penghujungnya maka ramai penceramah akan mengupas tajuk berkaitan kewajiban untuk megeluarkan zakat.Mereka menggalakan umat Islam untuk megeluarkan zakat di bulan mulia ini bukan setakat zakat fitrah tapi termasuk zakat harta dan lainnya. 

Bagi saya mengapa sebahagian kita hanya hendak mengeluarkan zakat setelah dibuat kempen oleh para penceramah. Mengapa mesti tunggu bila bulan Ramadhan.Nampaknya ada sebahagian besar umat Islam tidak memahami hukum hakam berkaitan zakat. Zakat wajib dikeluarkan bagi orang yang mampu. Di keluarkan berdasarkan haul, nisab dan syarat-syarat lain yang ditentukan. Mereka tidak perlu menunggu waktu bulan Ramadhan kecuali untuk membayar zakat fitrah.Boleh berzakat  pada bila-bila masa sahaja. Bagi yang bekerja dengan kerajaan boleh potong gaji bulanan untuk bayar zakat. Rupanya sebahagian kita  masih hendak berkira-kira dan berpolitik dengan Allah S.W.T.

Cuma apa yang tidak sedap di dengar dalam kempen berzakat ini ada sesetengah penceramah sering membawa hujah seorang Sahabat Nabi yang bernama Tha'labah telah dihukum oleh Allah dan dimurkaiNya kerana koinonnya enggan membayar zakat. Kisah Tha`labah yang pada asalnya miskin, selalu hadir bersolat jemaah, tetapi kemudian menjadi sibuk lantaran ternakan kambingnya begitu besar dan akhirnya kufur dan engkar dengan perintah zakat dikatakan menjadi asbab nuzul ayat al-Quran surah at-Taubah, ayat 75-77.  Kisah ini telah tersebar luas sejak zaman dulu di dalam kitab-kitab tafsir hingga kini dalam masyarakat. Soalnya, tepat ke cerita ini?


Kenapa saya juga termasuk orang yang mempertikaikan cerita ini ? Ada beberapa persoalan yang perlu dirungkai; 
  1. Kenapa Tha`labah yang merupakan seorang Ansar dan ahli peperangan Badar boleh jadi begitu?
  2. Benarkah kisah tersebut?
  3. Bagaimana kisah tersebut boleh tersebar pada peringkat awal?
Jawapan kepada persoalan-persoalan di atas ada dijelaskan oleh Maulana Asri di dalam kuliahnya seperti berikut:

(Video
Daripada kuliah tersebut, dapat saya catitkan secara ringkas buat manfaat diri saya sendiri dan mungkin juga buat para pembaca sekalian seperti berikut bahawa:

1)  Tha`labah adalah salah seorang sahabat Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang tergolong dalam golongan Ansar yang menyertai Perang Badar.  Kelebihan golongan Ansar ada disebut oleh Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.  Dan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam ada menyebut bahawa kesemua yang menyertai peperangan Badar telah ALLAH redha mereka dan dijamin untuk mereka Syurga.  Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“ALLAH melihat kepada ahli Perang Badar dan berfirman:  ”Buatlah apa yang kamu suka sesungguhnya telah pasti untuk kamu syurga atau AKU telah ampuni kamu semua”"  (HR al-Bukhari dan Muslim).

Jadi, kisah yang masyhur mengatakan Tha`labah tidak mahu membayar zakat, taubatnya tidak diterima dan bakal ke neraka adalah suatu kisah yang sangat-sangat diragui kebenarannya.

2) Kisah tersebut wajar diragui kesahihannya dan tidak patut disebarkan kerana Tha`labah adalah salah seorang sahabat Nabi yang berjuang di medan Badar dan dijamin Syurga.

3) Al-Qurtubi ketika menukilkan kisah ini di dalam tafsirnya ada meletakkan periwayat kisah tersebut iaitu kisah tersebut diambil dari Ali bin Zaid, dari Qasim bin Abdul Rahman, dari Abu Umamah al-Bahili (sahabat Nabi sallAllahu `alaihi wasallam).

4) Para ulama hadith berbeza pandangan terhadap periwayat bernama Ali bin Zaid dan Qasim bin Abdul Rahman.  Masalah timbul adalah disebabkan oleh dua periwayat ini.  Ada yang mengatakan Ali bin Zaid lemah, ada yang mengatakan beliau meriwayatkan hadith-hadith pelik, ada yang mengatakan beliau menukar-nukarkan hadith dan ada yang mengatakan beliau adalah seorang Rafidhi, yakni Syiah.  Manakala Qasim bin Abdul Rahman pula dikatakan beliau ini ada mereka-reka hadith dan sebagainya.  Walaupun ada sisi baik pada kedua-dua periwayat ini, namun disebabkan banyak juga komen negatif dari para ulama mengenai dua periwayat ini, maka riwayat mereka amat-amat diragui dan malah tertolak.  Apatah lagi apabila terlibat dengan Syiah Rafidhah yang terkenal dengan sikap keras dan bencinya mereka kepada sahabat-sahabat Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.  Maka tidak peliklah kisah memburuk-burukkan Tha`labah ini direka dan disebar-sebarkan.

5) Kisah ini hendaklah diberhentikan penyebarannya kerana kesahihannya sangat diragui malah membawa fitnah kepada sahabat Nabi.

6) Jika kita menyebarkan kisah ini, kita bukan sahaja terlibat dengan dosa besar menfitnah sahabat Nabi, bahkan terlibat dengan dosa yang lebih besar iaitu berdusta ke atas Nabi sallAllahu `alaihi wasallam, kerana dalam kisah ini ada meriwayatkan beberapa perbuatan Nabi.

Untuk kefahaman yang lebih baik, lebih baik tuan/puan dengar sendiri video kuliah di atas.  Maulana Asri adalah seorang pakar hadith di Malaysia yang mendirikan pondok Darul Kautsar di Kelantan.  Laman web Darul Kautsar boleh dilawati di sini, insyaALLAH: 
Dr Asri Zainul Abidin pula apabila ditanya dengan soalan berkenaan kesahihan kisah Tha`labah, beliau menjawab:
  • “Kisah ini yang sering disebut oleh ramai pendakwah sebagai satu contoh buruk. Tha’labah dikatakan meminta agar Nabi s.a.w. mendo`akan kekayaannya. Apabila beliau kaya dan berharta beliau enggan memberi zakat. Kononnya, Al-Quran turun mengutuk perbuatan tersebut dalam Surah al-Taubah: 75-77:
  • وَمِنْهُمْ مَنْ عَاهَدَ اللَّهَ لَئِنْ آتَانَا مِنْ فَضْلِهِ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنْ الصَّالِحِينَ(75)فَلَمَّا آتَاهُمْ مِنْ فَضْلِهِ بَخِلُوا بِهِ وَتَوَلَّوا وَهُمْ مُعْرِضُونَ(76)فَأَعْقَبَهُمْ نِفَاقًا فِي قُلُوبِهِمْ إِلَى يَوْمِ يَلْقَوْنَهُ بِمَا أَخْلَفُوا اللَّهَ مَا وَعَدُوهُ وَبِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ

  • Maksudnya: Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: “Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan bersedekah, dan tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh”. Akibatnya Allah menimbulkan perasaan munafik dalam hati mereka (berkekalan) hingga ke masa mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan kepada Allah dan juga kerana mereka sentiasa berdusta.Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka dari limpah kurniaNya, mereka bakhil dengan pemberian Allah itu, serta mereka membelakangkan janjinya; dan sememangnya mereka orang-orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan).

  • Rasulullah S.A.W dikatakan wafat dalam keadaan tidak menerima zakatnya. Begitu juga Abu Bakr dan `Umar r.ahuma selepas itu enggan menerima zakatnya. Beliau dikatakan meninggal pada zaman pemerintah `Uthman bin `Affan r.a
  • Memang tidak dinafikan ramai para penafsir telah mengaitkan ayat ini dengan Tha’labah dan dia dianggap dari golongan munafik berdasarkan ayat di atas. Sedang Ibn Hajar al-`Asqalani menyebut di dalam al-Isabah bahawa dia adalah ahli perang Badr. Kita hendaklah sedar, jika dia ahli Perang Badr, maka Ahli peperangan Badar tidak mungkin menjadi seorang munafik. Kesemua ahli Badr adalah ahli syurga. Di sana ada fadilat khas yang diberikan untuk ahli peperangan Badar. Nabi s.a.w.

  • لَعَلَّ الله اطَّلعَ عَلى أهْلِ بَدْرٍ فقـال “اعـمَلوا مَا شِـئْتُم فَقَد وَجَبَتْ لَكُمُ الجَنَّةُ أو فقد غَفَرْتُ لكم”

  • ” Allah melihat kepada ahli Perang Badar dan berfirman ” buatlah apa yang kamu suka sesungguhnya telah pasti untuk kamu syurga atau Aku telah ampuni kamu semua” (al-Bukhari dan Muslim) Dia dikatakan terbunuh di dalam peperangan Uhud. Dengan itu al-Hafizd Ibn Hajar menafikan kesahihan cerita tersebut (Al-Isabah, 1/206). Demikian juga al-Imam Ibn Hazm (meninggal 456H) dalam al-Muhalla menganggap kisah ini sebagai batil tanpa syak (Ibn Hazm, Al-Muhalla, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah). Antara ulama dahulu yang mengkritik riwayat ini Ibn `Abd al-Barr (meninggal 463H), al-Haithami الهيثمي (meninggal 807H) dan lain-lain. Ulama zaman ini yang mengkritik riwayat ini antaranya al-Syeikh Ahmad Muhammad Syakir, al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani, al-Syeikh Muqbil bin Hadi al-Wadi`I dan lain-lain. Satu buku khas mengkritik riwayat ini telah ditulis oleh `Adab عداب bin Mahmud al-Himsy الحمش bertajuk ثعلبة بن حاطب الصحابي المفترى عليه yang bermaksud Tha’labah bin Hatib, seorang sahabah yang didustai ke atasnya, adalah satu tulisan yang baik untuk dibaca.

  • Oleh itu wajar berhati-hati agar kita tidak mentohmahkan sahabah tanpa asas yang kukuh. Walaupun tidak dinafikan cerita ini begitu tersebar dan buku-buku tafsir, namun sikap mengkaji dan meneliti sangat penting.



Jawapan Ustadz Yazid bin Abdul Qadir Jawwas berkenaan kisah Tha`labah yang masyhur disebarkan itu juga baik dibaca untuk pencerahan lanjut.  Di sini pautannya:


Semoga ALLAH memelihara kita dari menfitnah insan-insan mulia yang telah dimuliakan ALLAH Ta`ala.  Dan semoga ALLAH mengampunkan dosa-dosa kita yang mungkin secara tidak sengaja pernah menyebarkan kisah tersebut hasil dari kurang pendedahan dan ketidaktahuan.

Sekadar berkongsi,
15 Ramadhan 1433
4 Ogos 2012

No comments:

Post a Comment