17 Ramadhan menjelang lagi Saban tahun apabila sampai tarikh 17 Ramadhan maka umat Islam di Malaysia khususnya akan memperingati sambutan persitiwa Nuzul Al Qur'an. Peristiwa Nuzul al Qur'an adalah merujuk kejadian penurunan wahyu pertama berlaku kepada Baginda Rasulullah S.A.W 1430 tahun yang lalu.
Sambutan ini amat penting untuk diadakan di mana-mana di negara ini. Ini kerana kita perlu memperingati sejarah penurunan al Qur'an sebagai mukjizat agong kepada Rasulullah S.A.W. di samping sambutan ini membolehkan kita menyedarkan umat Islam akan kepentingan beramal dengan al Qur'an.
Malangnya ketika ini umat Islam telah mengabaikan kitab petunjuk kebenaran yang menjadi milik mereka. Ramai yang tidak boleh membacanya.Kalau boleh membacanya ramai pula yang tidak memahaminya.Kalau boleh membaca dan memahaminya pula ramai yang tidak mengamalkan pula.Inilah yang berlaku di kalangan umat Islam di mana-mana termasuk di negara Arab sendiri.Akibat kegagalan untuk mengikuti ajaran al Qur'an akhirnya sebahagian besar umat Islam hidup tersesat dan terhina.
Berdasarkan Hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud " Aku telah tinggalkan kamu dua perkara, sekiranya kamu berpegang teguh dengan dua perkara tersebut nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya.Dua perkara tersebut ilah al Qur'an dan Sunnah ku" (Hadis).Berdasarkan hadis tersebut jelas al Qur'an dan Sunnah adalah dua perkara yang mampu membimbing kita ke jalan petunjuk dan kebenaran. Tanpanya amat sukar bahkan mustahil bagi seseorang itu dapat mengikuti jalan kebenaran dan petunjuk. Inilah yang berlaku sekarang ini.
Apa yang penting buat masa kini ialah kita mesti mengembalikan umat Islam untuk mengenal, mempelajari dan seterusnya mengamalkan cara hidup sebagaimana yang diajarkan oleh al Qur'an.Ini adalah tanggungjawab semua individu Muslim.Setiap individu berkewajiban belajar al Qur'an.Bagi ibu bapa jangan sekali-kali mengabaikan pendidikan al Qur'an pada anak-anak.Pastikan anak-anak mampu membaca al Qur'an di peringkat awal usia.Sekiranya mampu ajarkan mereka untuk menghafal ayat-ayat al Qur'an.
Semoga al Qur'an benar-benar menjadi rahmat kepada kehidupan kita semua.Hiduplah dibawah naungan al Qur'an. Apabila kita mati Malaikat akan bertanya kepada kita 'apakah kitab pegangan kita 'Jangan sampai kita tidak mampu memberi jawapan yang tepat dan betul iaitu al Qur'an adalah kitab pegangan dan kepercayaan". Namun bagi mereka yg mengabaikan al Qur'an semasa hidup pastinya tidak boleh berdusta atas nama al Qur'an ketika berhadapan soal mungkar dan nangkir di alan barzakh nanti. Marilah kita muliakan al Qur'an mulai hari ini.
No comments:
Post a Comment