(Asap tebal di kawasan Salaheddine ekoran serangan tentera Syria)
SYRIA: “Pihak tentera sedang mara dari barat ke timur untuk membahagi dua kawasan Salaheddine secara horizontal,” ujar seorang pegawai yang tidak mahu namanya disiarkan Rabu lalu, merujuk kepada kubu utama pihak pemberontak di kota Aleppo.
Wassel Ayub, komander Tentera Pembebasan Syria, berkata: "Pihak rejim mara ke jalan Al-Malaab dengan kereta kebal dan kenderaan bersenjata, dan sekarang ini pertempuran sengit sedang berlaku di sana."
Koresponden Al Jazeera Ahmed Zaidan, yang melaporkan dari Aleppo, berkata "Banyak manusia yang terkorban dan cedera dalam pertempuran sengit berdekatan Salaheddine di mana kereta kebal canggih buatan Russia telah digunakan oleh pihak kerajaan".
Zaidan berkata kuasa mengambil alih kawasan Salaheddine, dan Aleppo adalah "amat penting untuk kedua-dua pihak sama ada rejim atau pemberontak."
"Aleppo adalah kota kedua terbesar dan hub kewangan untuk Syria. Kita tidak patut lupa bahawa hampir 60 hingga 70 peratus dari ekonomi Syria terhenti kerana situasi yang melanda Aleppo sekarang,” tambah beliau.
"Pertempuran Aleppo akan menentukan masa depan Syria dan masa depan rejim."
Pertempuran turut dilaporkan mengambil tempat di kawasan Hanano, Tareeq al-Bab dan Sha’ar dalam kota yang dikepung tentera itu, lapor Badan Pemerhati Hak Manusia (Syrian Observatory for Human Rights) yang berpusat di UK.
Badan pemerhati itu melaporkan pertempuran yang berlaku di jalan-jalan di Salaheddine dan di kawasan sekitarnya adalah yang paling sengit dapat disaksikan dalam 17 bulan pergolakan yang berlaku di utara kota itu.
Badan Pemerhati Hak Manusia berkata kawasan sekitar Maysaloun, Sakhour dan Tal Rifaat sedang dibedil oleh tentera Assad.
Asakan tentera Syria itu bagaimanapun gagal membuatkan pihak pemberontak meninggalkan Salaheddine, lapor koresponden Al Jazeera, dan pada masa yang sama Tentera Pembebasan Syria telah berjaya menembak jatuh sebuah pesawat dan menghancurkan 5 kereta kebal di Aleppo.
Pihak tentera yang sedang menambahkan bilangan askar dan kelengkapan di Aleppo dan kawasan sekitarnya sejak sebulan lalu, sedang bergerak dari Barat ke Timur, bermula dari Hamdaniyeh, sebuah daerah bersebelahan Salaheddine, ujar Wassal Ayub dari Tentera Pembebasan Syria.
Wartawan Al Jazeera Rula Amin, melaporkan dari Beirut, berkata, "Aleppo bukan hanya simbolik, malah ia adalah tempat berpusatnya Tentera Pembebasan Syria, dan untuk dunia ia adalah simbol kejayaan besar Tentera Pembebasan Syria yang berjaya mengambil alih kota ini."
"Tentera Pembebasan Syria membawa bantuan tambahan dari luar Aleppo seperti dari Idlib Homs kerana bagi mereka ini adalah pertempuran yang penting. Salaheddine adalah penting untuk kerajaan, ia telah menjadi tiang utama yang mendokong Presiden Assad untuk 16 bulan yang lalu,” lapor Rula.
Dalam perkembangan lain, pegawai kerajaan Jordan telah mengesahkan bahawa bekas Perdana Menteri Syria, Riad Hijab telah tiba di Jordan Rabu lalu – dua hari selepas mengumumkan penglibatannya dengan kumpulan pembangkang – setelah bersembunyi di kawasan selatan Syria.
Al Jazeera terjemahan Mohamad Yahya,
09 Ogs 2012
No comments:
Post a Comment