Wednesday 8 August 2012

PEMERINTAHAN ASSAD MULAI GOYAH-USA

Al Jazeera Terjemahan Mohamad Yahya,08 Ogs 2012


Riad Farid Hijab (gambar), Perdana Menteri Syria yang meyertai kumpulan pembangkang Isnin lalu, menuduh Presiden Bashar al-Assad melakukan “genosid” atau penghapusan bangsa terhadap rakyatnya sendiri, yang membuatkan Washington memberi komen bahawa rejim itu mulai “meretak dari dalam”.

Patrick Ventrell, pemangku timbalan jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (US Department of State), berkata bahawa penglibatan Hijab dalam kumpulang pembangkang “memberi isyarat bahawa rejim  Assad sudah mulai goyah dan kehilangan kuasa.”

Jay Carney, jurucakap Rumah Putih, berkata:"Ini adalah isyarat bahawa cengkaman kuasa Assad tidak lagi kuat seperti dahulu."

"Jika beliau tidak mampu mengekalkan perpaduan dalam lingkungan kecilnya sendiri, ini menunjukkan ketidakupayaan beliau untuk mendapat sebarang sokongan dari kalangan rakyat Syria yang tidak diugut dengan senjata api."

Rumah Putih mengulangi desakannya supaya Assad untuk meletak jawatan dan menghentikan kezaliman yang telah mencengkam Syria semenjak pemberontakan terhadap pemerintahan Assad bermula pada Mac tahun lalu.

Hijab mengumumkan pada hari Isnin lalu melalui jurucakapnya Muhammad el-Etri, bahawa beliau telah menyertai kumpulan pembangkang, setelah satu laporan televisyen nasional yang mengatakan bahawa beliau telah dipecat.

Bekas Perdana Menteri itu berkata empat dekad pemerintahan oleh keluarga Assad akan menemui keruntuhannya.

Hijab, tokoh Sunni Muslim dalam regim Assad yang didominasi puak ‘Alawiyyah, menjadi pegawai kerajaan pangkat tertinggi yang melarikan diri dari rejim Assad selepas beliau menyeludup masuk ke Jordan pada malam Ahad lalu.

Hijab akan meninggalkan Jordan dan berlepas ke Qatar, mengikuti jejak langkah beberapa pemimpin berprofil tinggi yang lain yang turut menyertai pembangkang, Etri memberitahu agensi media AFP.

Beliau dilantik sebagai perdana menteri pada 23 Jun lalu selepas berlangsungnya pilihanraya yang disifatkan oleh pembangkang sebagai janji kosong.

Selasa lalu, agensi media Anatolia yang berpusat di Turki melaporkan bahawa 1,137 rakyat Syria, termasuk seorang general telah melarikan diri ke Turki dalam tempoh semalaman.
Kumpulan baru ini menjadikan bilangan pelarian rakyat Syria di Turki mencecah 50,000 orang.

Pertempuran sengit di Aleppo
Sementara itu, tentera Syria terus membedil kawasan-kawasan di medan pertempuran penting di Aleppo pada Selasa lalu, lapor sebuah badan yang memperjuangkan hak manusia.

Kumpulan pemberontak bertempur dengan pihak tentera di Bab Antakya, Aziziyeh, Bab Janin dan Sabaa Bahrat, kawasan-kawasan pusat bandar dan juga berdekatan Istana Keadilan di bahagian barat, lapor Badan Pemerhati Hak Manusia Syria (Syrian Observatory for Human Rights) yang berpusat di Britain.

Pihak tentera turut membedil Shaar, Sakhur dan daerah-daerah Qatarji di bahagian timur, tambah badan itu lagi
Seorang aktivis pembangkang dari Suruhanjaya Am Revolusi Syria (Syrian Revolution General Commission) berkata pihak tentera turut menggunakan helikopter tempur untuk membedil Hanano, kawasan timur Aleppo.

Pertempuran di bandar terbesar Syria yang mengandungi 2.7 juta penduduk itu telah mengakibatkan 46 nyawa terkorban  pada hari Isnin lalu, dengan majority korban adalah orang awam, lapor badan pemerhati itu.

Pegawai kanan keselamatan berkata pada Ahad lalu, bahawa pihak tentera telah siap mengatur kedudukan tentera bantuan di Aleppo, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 20,000 tentera, yang bersedia untuk pertempuran penentuan di kota yang telah menjadi medan pertempuran sengit semenjak 20 Julai lalu.

Suratkhabar harian pro kerajaan, Al-Watan melaporkan bahawa pihak “pengganas”, yang mendakwa telah mengawal lebih kurang separuh dari kota Aleppo, mempunyai seramai 6,000 hingga 8,000 pejuang.

Koresponden AFP melaporkan bahawa di sebalik pertempuran sengit di sesetengah kawasan sekitar bandar, pihak tentera tampaknya menunggu masa yang sesuai untuk melakukan serangan tanah  penghabisan.

Leftenan Jeneral Babacar Gaye, ketua misi pemerhati UN di Syria, membuat rayuan bagi pihak orang awam Isnin lalu, di ambang kerisauan berlakunya pertumpahan darah yang lebih besar.

"Saya menggesa agar semua pihak untuk melindungi orang awam dan menghormati hak mereka di bawah undang-undang kemanusian antarabangsa. Orang awam tidak sepatutnya terdedah kepada bahaya bedilan dan penggunaan senjata berat," ujar beliau.


Rakyat Iran terbunuh


Sementara itu, Iran telah menyatakan keprihatinan mereka terhadap nasib 40 rakyat jemaah haji yang telah diculik oleh kumpulan pemberontak dari sebuah bas di Damaskus ketika lawatan rakyat Iran itu ke tempat-tempat suci kaum Shiah.

Kumpulan pemberontak menyatakan bahawa mereka mengesyaki bahawa tahanan mereka itu adalah tentera yang dihantar untuk membantu Assad.

Jurucakap kumpulan pemberontak bagi kawasan Damaskus berkata pada Isnin lalu, tiga dari warganegara Iran itu telah terkorban terkena bedilan meriam pihak kerajaan, dan yang selebihnya akan dibunuh jika bedilan meriam itu tidak dihentikan.

Selasa lalu, Iran memutuskan bahawa Menteri Luar Negara Iran, Ali Akbar Salehi akan pergi ke Turki dan berbincang tentang Syria dan situasi rakyat Iran tersebut.

Kedutaan Iran memberitahu bahawa Salehi akan berjumpa dengan Menteri Luar Negara Turki, Ahmet Davutoglu di Ankara pada hari Selasa.

Wartawan Al-Jazeera, Nisreen El-Shamayleh, yang melaporkan dari Amman, berkata: "Perbincangan itu akan berfokus pada isu Syria, terutamanya tentang nasib 48 warga Iran yang telah ditangkap oleh kumpulan pemberontak di Damaskus."

"Secara asasnya apa yang kami fahami adalah Iran telah meminta Turki dan Qatar, dua negara yang mempunyai hubungan yang kuat dengan kumpulan pembangkang Syria, untuk memudahkan urusan pelepasan warga Iran," lapor Nisreen.

Kumpulan pembangkang Syria berkata mereka bukannya jemaah haji akan tetapi adalah ahli pengawal revolusi Iran, mereka cuba untuk membantu tentera Syria dalam menghancurkan penentangan dan membunuh ahli kumpulan pembangkan."

Saeed Jalili, setiausaha kepada Majlis Tertinggi  Keselamatan Nasional Iran (Iran's Supreme National Security Council ), kini berada Damaskus untuk berbincang dengan Presiden Syria, menurut laporan stesen televisyen nasional Iran.

"Menurut kumpulan pembangkang, adanya penyelarasan yang berterusan antara kerajaan Syria dan kerajaan Iran," lapor Nisreen.

"Tentera Pembebasan Syria (Free Syrian Army) mendakwa mereka mempunyai bukti bahawa pihak keselamatan dan pegawai tentera Iran telah berulang kali datang bertemu pegawai Syria, dan memberikan mereka nasihat teknikal dan sokongan taktikal kepada kerajaan Syria.
---------------------------------------------------------------------------------------

No comments:

Post a Comment