Thursday 25 May 2017
Zainah Anwar Bukan Ulama – Mahmood Zuhdi
KUALA LUMPUR: Majlis Dakwah Negara (MDN) tidak pernah sekali-sekali mengiktiraf Zainah Anwar sebagai ‘ulama wanita’ kata Pengerusinya, Prof Emeritus Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid. Menurutnya, MDN secara rasminya tidak berhasrat menjadi penilai sama ada seseorang itu ulama mahupun tidak dan MDN bukan satu badan yang menentukan kriteria berkenaan hal ini serta tidak mempunyai minat dari segi perkara itu. “Jadi pada pendapat saya, yang menentukan seseorang itu ulama atau tidak ialah pandangan masyarakat umum termasuklah para intelektual dalam bidang agama,” katanya.
Prof. Mahmood Zuhdi berkata, tetapi dari segi birokrasi, misalnya di kalangan Jabatan Agama, JAKIM dan sebagainya ada kriterianya tersendiri. Misalnya, kita klasifikasikan kumpulan-kumpulan agama ini sebagai kumpulan dakwah, kumpulan masjid dan kumpulan agamawan. Menurutnya, maka Zainah ini mungkin dianggap ulama di kalangan kumpulan dia sendiri, sama seperti satu kumpulan kerajaan langit yang menganggap ketua mereka sebagai ulama maka, secara rasminya penetapan kriteria itu ditentukan oleh pengikut masing-masing.
Beliau yang juga Dekan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, cadangan Zainah Anwar untuk menghapuskan diskriminasi terhadap wanita itu adalah satu cadangan yang lapuk, disebabkan perkara itu sudah lama dan tidak wujud lagi. Menurutnya, kalau cadangan itu satu cadangan umum, pada pandangan beliau, dalam Islam semenjak pada zaman Nabi lagi, sebenarnya diskriminasi itu sudah tidak ada, cuma orang yang tidak faham tentang falsafah Islam sahaja masih menganggap diskriminasi itu ada. “Diskriminasi antara lelaki dan wanita ini sudah dihapuskan semenjak di awal kemunculan Islam lagi,” katanya.
Prof. Mahmood Zuhdi yang juga Pengerusi Majlis Dekan-Dekan Pengajian Islam Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berkata, Zainah Anwar yang dikatakan menuntut supaya mana-mana undang-undang yang bersifat anakronistik seperti Seksyen 498, kesalahan “melarikan isteri orang”, dipinda adalah bersifat sempit dan jumud. Menurutnya, kita tinggal di negara Timur, Islam ini sifatnya universal yang mempunyai nas-nas universal yang terdapat dalam al-Quran dan Sunnah kemudian selain daripada itu pentafsiran mengambil kira juga nilai setempat dari segi u’rf, budaya dan sebagainya. “Jadi budaya kita ini adalah budaya Melayu, saya tidak dengar lagi orang-orang dari Timur membawa lari suami orang tapi kalau perempuan dibawa lari suami orang itu memang ada, maka perkara sebegini perlu diambil kira secara keseluruhan.” “Kita perlu melihat Islam dalam konteks yang universal tetapi aplikasinya perlu mengambil kira hak-hak tempatan,” katanya.
Prof. Mahmood Zuhdi berkata, ada nilai universal yang tidak boleh berubah dalam satu sama lain dalam apa keadaan sekalipun, misalnya sembahyang di England atau di mana sekalipun, Imamnya mesti lelaki, itu sifat yang universal dalam Islam. “Tetapi, jika Zainah nak katakan sistem yang dibuat oleh Islam itu tidak betul, siapa dia pula yang menjamin bahawa sistem barat sekarang ini yang begitu liberal memberi kuasa kepada wanita secara lahirnya dan secara hakikinya itu betul, tidak ada juga saya kira,” katanya.
Beliau berkata, perjuangan golongan pejuang kebebasan gender sebenarnya sekadar mengikut budaya Barat secara membuta tuli sahaja, jadi tidak boleh orang yang belajar di Barat dan menganut fahaman Barat secara membuta tuli menggunakan fahaman itu untuk menghentam satu sistem lain di Timur. Menurut Prof. Mahmood Zuhdi, Islam ini sama ada dia mengambil sebagai satu sistem yang menyeluruh ataupun ditolak sebagai satu sistem yang menyeluruh ianya perlu jelas, maka sebab itu dalam Islam itu juga ada yang kafir dan ada yang Islam, jadi orang yang tidak begitu jelas akan terima sistem itu mengikut pilihan dan kesukaan sendiri, itulah yang dikatakan munafik. “Jadi kena berhati-hati kalau bercakap tentang Islam, kita perlu bercakap tentang Islam sebagai satu sistem yang lengkap.” “Jadi orang-orang seperti Zainah ini pertama sekali dalam konteks penilaian tempatan sekalipun, saya tidak nampak ada orang mengganggap dia itu ulama dan saya tidak mengajak masyarakat Malaysia ini untuk menganggap dia sebagai ulama,” katanya.
Tetapi dalam Islam sendiri dari segi wanita, ulama-ulama terdahulu seperti Ar-Rahiri Fansuri sewaktu di Acheh pernah menerima hakikat bahawa wanita boleh menjadi Raja dan di Kelantan pun tradisi di sana ada juga raja-raja seperti Cik Siti Wan Kembang dan sebagainya, jadi sistem itu ada juga mengambil kira nilai tempatan tetapi tidak merombak sistem asal yang bersifat universal itu. “Begitu juga dalam mazhab Islam, kalau fikh universal itu berasaskan kepada nilai-nilai budaya Parsi dan di Iraq ia lebih longgar daripada nilai-nilai budaya di Arab,” katanya. “Dia telah memperjuangkan perkara ini tanpa asbab yang kukuh sebab itu, kita alu-alukan kedatangan Zainah dan geng-gengnya kepada kami di MDN untuk duduk sekali berbincang, agar dia jangan menjadi satu faktor yang fanatik dalam masyarakat ini.” “Jadi seolah-olah dia (Zainah) seorang yang berdendam terhadap sesuatu,” katanya.
Prof. Mahmood Zuhdi berkata, beliau sendiri pernah mengatakan kepada Zainah, jangan kamu berdendam terhadap orang lelaki kerana sesuatu yang berasaskan kepada dendam itu adalah salah dan jangan prejudis. “Kalau kita tengok di Barat sendiri pun hingga sekarang ini, di Amerika Syarikat misalnya, berapa orang perempuan yang diberi peluang jadi presiden? Biar dia (Zainah) jawab esok saya nak dengar apa jawapan dia, kalau Zainah mempertahankan sangat perjuangannya ini,” katanya. “Maka, kita mesti terima kehendak ciptaan alam, Zainah kena terima semua hakikat ini jika tidak mahu kecewa dalam perjuangan kehendak hidup dia yang jelas sia-sia,” katanya.
Menurut Prof. Mahmood Zuhdi, persoalan yang ditimbulkan Zainah mengenai hak golongan transgender dan pengamal LGBT yang dikatakan ditindas melalui undang-undang sivil dan syariah yang sedia ada seperti laporan oleh keputusan-keputusan fatwa di dalam negara adalah sesuatu yang tidak munasabah. Beliau berkata, “Kalau Zainah dan kumpulannya nak berjuang atas nama lain, kami pun tidak ambil kisah tetapi kalau dia tetap nak katakan yang dia (Zainah) dan geng-gengnya itu ulama, maka MDN tidak campur tangan.” Persoalan yang ditimbulkan Zainah mengenai fatwa amalan berkhatan di kalangan wanita, fatwa yang dikeluarkan sekitar 21-23 April 2009 telah dilihat bercanggah dengan Artikel 5(a) CEDAW, Prof. Mahmood Zuhdi berkata, perkara itu kita perlu tengok artikel-artikel konvensyen hak asasi manusia antarabangsa.
“Kalau sesiapa yang mengatakan bahawa etika-etika atau persetujuan dalam konvensyen yang di peringkat antarabangsa itu adalah ‘superior’ dan tidak boleh disalahi oleh mana-mana perkara maka, dia adalah sangat fanatik dan jumud jika terus mempertahankan artikel-artikel Human Rights itu.” “Bayangkanlah orang-orang di Human Rights sendiri tidak sekeras mereka (Zainah dan kumpulannya) mempertahankan konvensyen mereka yang ada dan itu hanyalah sebagai satu konvensyen bukan sebagai satu undang-undang antarabangsa. Persoalan adakah fatwa mengharamkan pembedahan tukar jantina wanita dan lelaki transgender di negara ini merupakan bentuk diskriminasi yang bercanggah dengan CEDAW, Prof. Mahmood Zuhdi menjelaskan, diskriminasi ini ialah satu kefahaman orang tertentu dan kalau sekiranya kefahaman para ulama pada satu-satu waktu tidak berdasarkan nas al-Quran dan Sunnah dan difahami secara betul-betul mendalam, maka pandangan-pandangan itu boleh diperbincangkan sebab Islam menerima evolusi pandangan fakta dan sebagainya.
“Jadi oleh Tuhan itulah al-Quranlah, maka jika kita ada syak wasangka, kembalilah kepada al-Quran, lebih mudah begitu dan kalau tidak percaya kepada al-Quran mahupun hadis maka susahlah untuk mendapat keputusan yang benar,” katanya. Ditanya apakah Majlis Fatwa Kebangsaan sepatutnya perlu tunduk terhadap semua tuntutan ‘ulama wanita’ ini beliau berkata, perkara mengenai hukum itu perlu ditanya kepada Majlis Fatwa Kebangsaan yang di pengerusikan oleh Tan Sri Syukor Husein kerana mereka lebih mempunyai autoriti dalam menjawab persoalan berhubung isu fatwa. Menurut Prof. Mahmood Zuhdi, MDN ini adalah satu badan dakwah yang seboleh-bolehnya sanggup duduk semeja berbincang dengan sesiapa sahaja, orang mazhab apa saja, pendirian apa sahaja dan aliran apa sahaja termasuk agama apa sahaja setiap individu itu. “Kami di Majlis Dakwah Negara bukan orang yang menentukan hukum, kami adalah para pendakwah yang sanggup berbincang antara sesama lain bagi mencari penyelesaian dan penyatuan,” katanya.
Read more at: https://www.menara.my/jika-zainah-anwar-dianggap-ulama-ketua-kerajaan-langit-pun-ulama-juga-mahmood-zuhdi/
Labels:
Agama ( Aqidah dan pemikiran)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment