Monday 15 May 2017
Sepuluh minit saja, Terengganu galak solat duha
KUALA TERENGGANU, 15 Mei — Kerajaan negeri telah membenarkan penjawat awam yang bertugas di Wisma Darul Iman di sini untuk melaksanakan solat sunat duha sejak awal tahun ini. Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata solat itu boleh dilakukan antara pukul 8.30 pagi hingga 9.30 pagi dengan hanya mengambil masa sekitar 10 minit. “Sehubungan itu saya sangat menggalakkan jabatan dan agensi kerajaan lain, terutama jabatan kerajaan negeri untuk mengambil pendekatan yang sama.
“Paling penting mestilah ada surau di tempat itu. Kalau tidak ada pula yang hendak ke masjid, itu akan mengambil masa yang lama sedangkan ia bukan satu kemestian, hanya galakan untuk melakukannya,” katanya kepada pemberita. Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu ke-38 dan Apresiasi Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia serta guru-guru Angkatan Rajin dan Mulia (AKRAM), di sini semalam.
Sementara itu Ahmad Razif berharap penjawat awam dapat mengimarahkan solat subuh secara berjemaah di masjid sepanjang bulan Ramadan ini. “Ini bertujuan mempromosikan lagi kempen Solat Subuh Berjemaah iaitu cetusan idea kerajaan negeri yang diperkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, agar ia terus menjadi amalan rakyat negeri ini,” katanya.
Beliau juga berkata tiada laporan bahawa terdapat pasar raya yang mengingkari arahan menutup premis mereka ketika solat Jumaat. “Saya mengingatkan supaya penguat kuasa menjalankan peraturan yang telah diputuskan oleh kerajaan negeri. Penguatkuasaan mesti dibuat agar ia dihormati oleh semua pihak,” katanya. — Bernama
Read more at: https://www.menara.my/sepuluh-minit-saja-terengganu-galak-solat-duha/
Labels:
Tazkirah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment