Saturday 6 May 2017
Keris Melayu ditemui di Wales
Putrajaya: Satu penyiasatan sedang giat dijalankan untuk merungkai misteri penemuan sebatang keris di kawasan Towy River, United Kingdom. Keris yang dipercayai telah dihasilkan pada abad ke-18, telah ditemui oleh seorang pengemudi bot kecil (coracle) bernama Andrew Davies. Davies terkejut apabila menemui sebatang keris lama di kawasan Towy River. Keris itu ditemui tersangkut di pukatnya apabila turun untuk memancing pada waktu malam. “Suatu malam, saya keluar dengan bot kecil saya dan menebarkan pukat di kawasan antara dua jambatan sungai, kawasan yang selalunya menjadi pilihan pemancing bot kecil.
Apabila saya menarik pukat, saya terkejut apabila mendapati keris ini tersangkut pada pukat saya, sesuatu yang lain daripada hasil tangkapan biasa.” “Kemudian, saya terus membawa keris ini ke muzium untuk diperiksa dan untuk mengetahui apa-apa maklumat berkaitan,” kata Davies yang merupakan Pengerusi bagi Carmarthen Coracle and Netsman Association. Gavin Evans, kurator di Muzium Carmarthenshire memberitahu bahawa gambar keris yang berkarat itu telah dihantar ke satu muzium di London untuk dianalisa, namun masih belum ada apa-apa maklum balas.
“Saya belum mendapat apa-apa maklum balas lagi daripada muzium tersebut, tetapi asal-usul keris tersebut adalah dari Asia, Asia Tenggara, Malaysia,” kata Evans. “Pada mulanya, saya ingatkan keris itu berasal daripada Rome, tetapi ia menyimpan cerita yang lebih eksotik daripada apa yang saya sangka.” “Ia adalah keris dan pada kebiasaannya mempunyai ukiran hiasan pada bilahnya. Pemegang keris tersebut diperbuat daripada tulang dan sedikit tembaga, diukir dengan ukiran burung.” “Saya syak, keris itu tertimbus di dalam lumpur sebelum tersangkut pada pukat dan disebabkan itulah ia tidak berkarat secara berterusan.
Akan tetapi, keris ini sudah tidak berada dalam air, maka ia akan menjadi semakin teruk (berkarat),” tambah Evans. Terdapat banyak kemungkinan bagaimana keris tersebut boleh berada di Towy. Jika difikirkan kemungkinan bagaimana keris yang berasal dari Asia boleh ditemui di satu sudut kawasan di Wales, amatlah mengagumkan. Keris itu kini telah dipulangkan kembali kepada Davies dan persatuannya.
Read more at: https://www.menara.my/keris-melayu-ditemui-di-wales/
Labels:
Dunia Islam Global
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment