Thursday 4 May 2017

Yang harus Disalahkan Pelakunya, Bukan Institusi




Kematian Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi telah menyayat hati seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang. Ramai yang bersedih atas kematiannya dan sudah pasti keluarga dan sahabat-sahabat adik Thaqif adalah insan-insan yang paling tersentuh akibat kehilangannya. Namun, ada pihak yang cuba mengambil kesempatan atas apa yang berlaku kepada Mohamad Thaqif sebagai satu peluang untuk menghentam sekolah agama. 

Kematian Mohamad Thaqif didakwa berpunca dari hukuman tatatertib yang dikenakan oleh warden di sekolahnya. Pelbagai komen, artikel, laporan berita dan pendapat bertaburan di alam maya. Ada sesetengah pihak mempersoalkan peranan sekolah tersebut dan ada juga pihak yang menyalahkan guru tersebut atas apa yang berlaku ke atas Mohamad Thaqif. Sekalipun jika guru itu terbukti bersalah, seluruh institusi sekolah agama tidak boleh dipersalahkan.  Contohnya, sekolah tidak boleh dipersalahkah hanya kerana salah laku seorang guru. Mungkin tindakan sesetengah pihak yang menyalahkan seluruh organisasi atas kesilapan tertentu ini berpunca daripada senario politik yang wujud. 



Islamic State of Iraq and Syria atau lebih dikenali sebagai ISIS seringkali dilihat mewakili Islam. Sudah banyak kali umat Islam dilabelkan sebagai radikal Islam, fundamentalis dan nama-nama lain yang tidak menyenangkan hanya kerana kesalahan individu itu dilemparkan sekali ke atas Islam keseluruhan. Isunya bukan semata-mata dari perspektif sintaktik tetapi juga semantik. Klu Klux Klan, Anders Brevik, Irish Republican Army (IRA), dan lain-lain organisasi dan individu yang menganut kepercayaan Kristian hampir tidak pernah dikaitkan tindakan mereka dengan agama. Sememangnya, terdapat dwi-standard yang jelas wujud, yang sekurang-kurangnya dapat kita lihat dalam dunia media pada masa kini. 

Bagi mereka yang berpengetahuan, sesuatu jenayah itu tidak melambangkan agama. Begitu juga dalam kes Mohamad Thaqif Amin. Andaikata guru warden sekolah tahfiz itu terbukti bersalah, beliau tetap tidak mewakili sekolah agama tersebut mahupun agama Islam. Perbuatan yang salah tetap salah tanpa merujuk kepada identiti pelakunya seperti agama, bangsa, geografi, keturunan dan lain-lain. Adakah adil untuk kita arahkan semua gereja-gereja yang ada di negara ini ditutup hanya kerana tindakan keji Richard Huckle? Huckle bukan hanya melakukan jenayah terhadap satu atau dua orang kanak-kanak, malahan perbuatan kejinya itu adalah terhadap sebuah komuniti masyarakat. 

Malah, perbuatan jijik Huckle itu telah menyebabkan trauma ke atas jiwa-jiwa kecil kanak-kanak miskin yang tidak bersalah. Antara tahun 1980 dan 2015, 4,444 orang didakwa atas jenayah yang melibatkan 93 pihak berkuasa Gereja Katolik di Australia. Seramai 1,900 pesalah telah dikenal pasti dengan 500 daripadanya masih terlepas. Sebanyak AUD 276,000,000 telah dibayar kepada 3,066 mangsa dengan beratus-ratus kes lagi yang masih belum selesai. Adakah adil untuk pihak berkuasa Australia menutup semua gereja atas jenayah yang berlaku ini? Menurut laporan yang diterbitkan oleh Fox News pada tahun 2007, terdapat 10,667 mangsa yang dipercayai telah menjadi mangsa penderaan seksual kanak-kanak yang melibatkan 4,392 paderi. 

Tindakan telah diambil ke atas individu yang melakukan jenayah tersebut di semua peringkat, namun institusi di mana pesalah itu bekerja tidak terlibat dan dipersalahkan. Walaupun lazimnya kejadian tersebut berlaku ditempat yang suci, kesucian gereja tetap tidak terjejas. Dengan ini, penekanan perlu diberi kepada orang yang melakukan perbuatan jenayah tersebut dan bukannya kepada institusi itu atau sebaliknya. Kita sentiasa mempunyai ruang penambahbaikan di kalangan masyarakat dan dalam diri kita sendiri. Banyak lagi cadangan yang boleh dikemukakan untuk memperbaiki dan memajukan sekolah-sekolah agama yang ada tanpa merendahkan martabat sekolah agama tersebut. 

Segala pembangunan yang positif dalam institusi agama pasti akan memberi impak kepada pembangunan negara ini. Bak kata pepatah, kerana marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar. Dalam usaha pembersihan, seseorang itu perlu memastikan bahawa apa yang masih berbaki itu adalah yang baik dan hanya kotoran yang jahat itu dikeluarkan. Sekolah-sekolah agama sepatutnya menjadi tempat untuk mencegah diri para asatizah dan murid-murid dari melakukan kemungkaran. Dalam kes-kes sebegini, adalah tidak wajar kita memberi tanggapan yang negatif secara menyeluruh kepada sekolah-sekolah agama, maahad tahfiz, sekolah pondok dan lain-lain institusi sedemikian. Biarlah keadilan diberikan kepada mereka yang berhak menerimanya dan kita harus meneruskan kehidupan dan berjuang untuk menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik.

Read more at: https://www.menara.my/yang-harus-disalahkan-pelakunya-bukan-institusi/

No comments:

Post a Comment