Wednesday 3 May 2017

RM550 juta untuk guru Kafa, imam

Jamil Khir Baharom

PASIR PUTEH - Kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM550 juta pada tahun ini bagi tujuan pembayaran elaun dan imbuhan kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), imam dan guru takmir di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, mereka terdiri daripada 34,000 guru Kafa, 14,000 imam dan 3,600 guru takmir turut mendapat pelbagai ganjaran yang membuktikan kerajaan amat komited dalam usaha menjaga kepentingan agama Islam di negara ini.



"Kerajaan sentiasa mengkaji kenaikan elaun mereka seperti guru Kafa daripada RM800 kepada RM900 sebulan, imam (RM750 kepada RM850 sebulan) dan guru takmir (RM40 kepada RM100 sejam)," katanya ketika merasmikan Konvensyen Memperkasakan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di sini, hari ini.

Lebih 1,000 peserta menyertai konvensyen itu yang turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha.

Jamil Khir berkata, kenaikan elaun itu bertujuan agar mereka dapat memberi tumpuan yang lebih terhadap bidang masing-masing sejajar dengan tuntutan semasa.

Sementara itu, Othman dalam ucapannya meminta umat Islam di negara ini supaya jangan leka dengan ancaman dari dalam dan luar negara untuk melemahkan Islam di negara ini.

Beliau berkata, tiada alasan untuk umat Islam di Malaysia berpecah-belah sesama sendiri terutama ketika Islam dan penganutnya diserang daripada segenap sudut terutama di laman media sosial.

"Perpaduan sesama sendiri terutama dalam kalangan generasi muda mesti dijadikan tonggak utama untuk menangkis setiap serangan yang dilancarkan musuh," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment