Thursday 25 May 2017

Apakah DAP & Pakatan Harapan Sokong LGBT, Soal Pemuda PAS

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) mempersoalkan penglibatan seorang pemimpin DAP Subang yang terlibat dalam penganjuran Kempen LGBT anjuran Universiti Taylor yang sudah dibatalkan baru-baru ini.
Naib Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa Setiausaha Organisasi DAPSY Subang, Numan Afifi terlibat dalam penganjuran program Courage In The Face Of Adversity.


Numan Afifi (bertanda bulat) Setiausaha Organisasi DAPSY Subang
Program yang dijadualkan di Subang Jaya itu menyokong golongan homoseksual di mana Numan juga merupakan presiden penaja kepada Pelangi Campaign, sebuah pergerakan memperjuangkan hak-hak LGBT.
“Untuk rekod, presiden penaja kepada Pelangi Campaign ialah saudara Numan Afifi yang juga merupakan Setiausaha Organisasi DAPSY Subang.
“DPPM turut mempersoalkan adakah parti DAP turut sama merestui LGBT memandangkan keterlibatan setiausaha organisasi DAPSY Subang di dalam gerakan Pelangi Campaign ini?
“Jika benar, apakah pula pandangan rakan-rakan DAP di dalam Pakatan Harapan?” kata Fadhli dalam satu kenyataan media hari ini.
DPPM juga memberi amaran supaya Pelangi Campaign tidak melampaui batas dan kebebasan hak asasi manusia ada batasnya.
“DPPM ingin mengingatkan kepada Pelangi Campaign bahawa kebebasan hak asasi manusia ada hadnya di dalam Islam.
“Malaysia sebagai sebuah negara yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan wajib meletakkan sistem nilai Islam sebagai keutamaan apatah lagi apabila bertembung dengan isu transgender yang jelas mempunyai kaedah tersendiri di dalam Islam untuk menanganinya,” katanya lagi.
Kempen itu yang dijadualkan berlangsung semasa umat Islam berpuasa pada bulan Ramadan dan bakal menayangkan filem pendek serta perarakan LGBT di dalam kampus universiti swasta terbabit pada 6 hingga 8 Jun ini.
Ahmad Fadhli berkata, pihaknya bimbang terhadap respon Pelangi Campaign yang mana ia seolah-olah menggalakkan lagi dan menyokong berlakunya perkara bertentangan dengan agama di negara ini.
“Menganjurkan program seperti itu yang antara acaranya ialah Perarakan LGBT sekaligus menyemarakkan budaya buruk dalam kalangan rakyat Malaysia dan menjadi pintu kepada penyuburan homoseksual di negara ini,” katanya.
Menurut Fadhli lagi, tindak-tanduk pemimpin DAP yang terlibat dalam aktiviti sedemikian menimbulkan persoalan sama ada Pakatan Harapan (PH) boleh diharap dalam menjaga kesucian agama Islam.
“Persoalan untuk rakyat Malaysia khususnya umat Islam, bolehkah PH diharapkan untuk memperkasakan Islam dan menjaga kesuciannya di dalam suasana seperti hari ini?” ujarnya. – MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment