Tuesday, 31 May 2016

“The Young Turks”, Kegelojohan Anak Muda Meruntuhkan Islam


Pada awal abad ke-20 iaitu tanggal 3 Mac 1924, jatuhnya sebuah kerajaan Islam yang menaungi seluruh umat Islam dunia. Berkubur jua satu kerajaan sejagat yang dipimpin oleh Bangsa Turki ratusan tahun lamanya (hampir 700 tahun). Benarlah firman Allah, tiada kerajaan yang akan kekal selama-lamanya baik Islam mahupun kuffar, selain dari kerajaan Allah;
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ
“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan raja bagi segala kerajaan! Engkaulah yang memberi kerajaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.”  (Aali-Imran ayat 26)

Ironinya ketika Sultan Abdul Hamid II (1842-1918) dipecat, salah seorang mereka yang menyerahkan surat pemecatan itu adalah Emmanuel Karasu, seorang Yahudi. Banyak faktor yang menyebabkan jatuhnya dinasti yang paling lama berkuasa di dunia itu. Ratusan sejarawan baik Muslim mahupun non-Muslim menulis berbagai versi buku dan mengkaji semua “cluster bomb” yang meruntuhkan Empayar Islam Uthmaniyah kerana ia adalah satu detik hitam yang sangat bersejarah dalam peradaban manusia. Ia bukan sahaja mengejutkan orang Islam, malah memeranjatkan seluruh dunia.

Sebenarnya metode Henry Martyn, salah seorang tentera Salibiyyah yang kalah telah diaplikasikan untuk menakluk Dunia Islam ketika itu iaitu “rhetoric, logic and love”; dengan cara menawarkan kata yang muluk-muluk, relevan dan bernas kononnya tentang cinta dan patriotik kepada tanahair agar bebas dari tirani Uthmaniyah. Tetapi hakikat sebenarnya adalah untuk membiarkan negara-negara Islam antaranya Turki jatuh tersungkur ke ribaan kuasa-kuasa Barat. Akibatnya ada masyarakat Islam yang terpedaya dengan pujukan-pujukan patriotisme dusta itu sehingga sanggup berkiblatkan perundangan dan kemajuan Eropah secara mutlak.




Abdullah Cevdet (1869-1932), salah seorang pengasas “Committee of Union and Progress” di Turki pernah mengatakan, “There is no other civilization: Civilization means European civilization and it must be imported with its rosess and thorns...”. Maksudnya: Di sana tiada yang boleh dianggap peradaban, hanya satu peradaban dan itu adalah peradaban Eropah. Kerana itu, kita harus mengambil segala peradaban Barat, baik ia berupa mawar mahupun durinya.

Namun, terdapat faktor yang paling utama tentang kejatuhan ini iaitu adalah kejayaan rancangan konspirasi Freemason dan Gerakan Zionis Internasional pimpinan si Yahudi Theodor Hertzel (1860-1904) sejak abad ke-19 dulu. Dalang gerakan tersebut terdiri dari beberapa orang penganut Yahudi dan Nasrani lain yang sangat dengki kepada Islam. Mereka berhimpun atas matlamat politik, tetapi menggunakan kepercayaan agama masing-masing untuk membentuk gerakan tersebut.

Allah telah menyatakan amaran ini dari awal;
وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu sehingga engkau menurut ajaran mereka.” (surah al-Baqarah ayat 120)

Musuh-musuh Islam menggunakan berbagai cara untuk melemahkan Islam. Mereka menggerakkan dan menyokong misi penjajahan Barat, dalam waktu yang sama menyuntik propaganda dalam saff umat Islam untuk berperang sesama sendiri. Dari awal lagi mereka merekrut salah seorang kader di  “Committee of Union and Progress” bernama Mustafa Kamal Atatürk (1881-1938) dengan pelbagai doktrin dan fahaman songsang. Mereka kemudian menaikkan nama beliau sebagai tokoh pemodenan Turki yang membawa “Freedom and Liberation”.

Oleh kerana pemerintah akhir Uthmaniyyah tidak lagi mewarisi ciri-ciri pemerintahan nubuwwah sebagaimana yang dimiliki oleh pengasas Uthmaniyyah, Uthman Ortoghol dan tidak juga seperti Sultan Murad, Sultan al-Fateh dan pemerintah-pemerintah awal dinasti tersebut, maka timbullah berbagai penyakit urus tadbir khilafah. Penyelewengan, kezaliman, kemewahan, kemungkaran dan berbagai masalah integriti. Ini semua menyebabkan rakyat marah terhadap pemerintah. Perkara ini memudahkan Zionis meruntuhkan khilafah dari dalam. Dengan watak Kamal Atatürk yang sengaja dicipta, beliau diposisikan mewakili suara rakyat menentang kebobrokan pemerintah. Dengan itu Atatürk mudah menerima sokongan terutama dari kalangan golongan-golongan muda yang terkenal dengan semangat tinggi. Mereka dikenali sejarawan sebagai “The Young Turks”.

Namun, kelemahan golongan muda adalah kebanyakan mereka hanya berjuang atas dasar semangat semata-mata tetapi cetek ilmu dan kurang cermat dalam menghadapi tipudaya musuh yang selama ini mengintai-intai ruang untuk menjatuhkan Islam. Kerana terlalu ikutkan amarah terhadap kerajaan, gerakan tersebut menjadi agresif menyebabkan kerajaan Islam bertambah lemah dan lumpuh. Lemah di luar kerana satu-persatu taklukannya dikuasai penjajah, dan lemah di dalam dengan gangguan “The Young Turks”. Walaupun sedar khilafah Islam sedang diancam kuasa Barat, “The Young Turks” tidak peduli kerana menganggap masalah dalaman itu lebih patut diuruskan. Mereka tidak kisah kerajaan Islam dijajah asalkan hasrat mereka menukar kerajaan terlaksana. Mereka membantu musuh menyebar kebencian di kalangan rakyat Turki terhadap khilafah, bercampur-baur antara cerita benar dan rekaan. Mereka dengan bongkaknya menyatakan,“...Usah bimbang dengan Yahudi. Sekali kita ludah, mereka akan hanyut dengan air liur kita sahaja!”

Akhirnya dengan kegelojohan golongan muda ini, khilafah tidak dapat bertahan. Khalifah terakhir, Sultan Abdul Hamed II digulingkan oleh tentera dalam peristiwa yang sangat tidak bermaruah. Kemudiannya naiklah Mustafa Kamal Atatürk. “The Young Turks” bersorak kegembiraan kononnya masalah mereka telah selesai dengan bertukar pemerintah. Tanpa menunggu lama, At-tarturk terus mengumumkan tiada lagi sistem monarki dan mengubah kepada sistem republik. Kemudiannya beliau merubah hampir kesemua nilai-nilai Islam dalam pentadbiran Turki seperti  menegakkan ideologi sekular, mengubah Azan kepada Bahasa Turki, mengehadkan aktiviti orang Islam, menukar Masjid Aya Sofya kepada muzium dan memburu setiap Ulama yang mengajar Islam sebenar. Malah kekejaman dan kejahatan Atartuk lebih dahsyat dari apa yang pernah dilakukan sekalian pemimpin Uthmaniah.

Menurut Prof. Halil Inalcik, pemodenan yang dilakukan oleh Atatürk itu mengambil konsep sosial “Darwinsm”, kerana setelah berkuasa Atatürk mem-Barat-kan Turki sepenuhnya dari soal cara berpakaian sehinggalah kepada bahasa. “The Young Turks” akhirnya tersedar, langkah mereka menyokong At-tarturk adalah suatu kesilapan paling besar. Sikap mengikut nafsu amarah sehingga tidak berfikir panjang menyebabkan mereka sendiri beroleh padah. Kegemilangan Islam akhirnya lenyap dengan kegelojohan mereka sendiri. Sanggup mengikut kata-kata musuh Islam dalam menyelesaikan masalah orang Islam.

Namun semuanya sudah terlambat. Kini, tiada guna lagi segala penyesalan. Selama ini mereka tidak mempedulikan firman Allah;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تُطِيعُوا الَّذِينَ كَفَرُوا يَرُدُّوكُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ فَتَنْقَلِبُوا خَاسِرِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taatkan orang-orang yang kafir nescaya mereka akan menolak kamu berpaling dari jalan asalmu, lalu menjadilah kamu orang-orang yang rugi.” (Aali-Imran ayat 149)

Peristiwa ini sepatutnya menjadi pengajaran buat Islam dan seluruh belahan dunia hari ini. Sikap gelojoh, mengikut hawa nafsu serta mendengar nasihat orang-orang kafir dalam menyelesaikan masalah dalaman umat Islam amat perlu dijauhi. Semua itu adalah punca terpenting hilangnya payung khilafah yang didambakan umat Islam sejagat. Masalah yang timbul di kebanyakan dunia Islam hari ini pula, adalah berpunca dari ulangan perangai dan sikap melulu “The Young Turks”. Yang paling ketara adalah mengikut telunjuk Barat. Ini termasuk pihak yang berani mendakwa diri sebagai “The New Ottoman”, sedangkan dasar luar mereka sangat patuh kepada perancangan Amerika Zionis. Malah sudah mula membina hubungan dengan kerajaan haram Israel.

Sebenarnya sebelum tanah-tanah air umat Islam menerima kemerdekaan dahulu, penjajah telah siap melantik pengganti mereka dari bangsa tempatan tetapi jahat dan zalim. Tujuannya supaya pemerintahan mereka lambat laun dibenci oleh rakyat, lalu rakyat bangkit menentang kerajaan mereka sendiri. Kita boleh saksikan hakikat ini telah berlaku di Tunisia, Libya, Mesir, Iraq, Yaman, Syria dan berbagai lagi. Matlamat dari rancangan ini adalah supaya Barat sekali lagi boleh muncul sebagai hero membantu rakyat tertindas, dan kemudian rakyat memberi kepercayaan pada mereka dan memberikan mereka kuasa untuk masuk campur hal ehwal negara. Modus operandi yang sama sewaktu menjatuhkan khilafah dahulu.

Sebagai negara majoriti muslim, Malaysia juga turut tersenarai. Sekiranya langkah bijak tidak diambil, tidak mustahil “Arab Spring” yang membuktikan kerugian terhadap umat lebih besar keuntungan yang diperoleh akan menerpa ke tempat kita pula. Anak muda Islam hari ini perlu lebih bijak menangani semangat juang yang mereka miliki.

Sementalah hari ini, anasir sosialisme dan marxisme yang radikal kembali menular dalam saff gerakan Islam di banyak tempat. Gerakan ini giat beroperasi di kampus-kampus pengajian dengan menyasarkan golongan mahasiswa. Anak muda ditipu bahawa ajaran marxisme adalah anti-kapitalisme Barat dan Yahudi sedangkan mereka tidak tahu, Karl Marx itu adalah seorang Yahudi dan Soviet Union sendiri termasuk dalam “grand design” Zionis. Kini, Soviet telah dikuburkan di tanah lahir mereka sendiri. Tetapi dikembangkan semula di tanahair umat Islam. Inilah hakikat yang pernah disuarakan tokoh murabbi Haraki, Dr Fathi Yakan mafhumnya, “...Pemuda ialah sebuah tenaga yang digunakan oleh Islam untuk membangun dan memakmurkan alam. Sayangnya mereka telah dipergunakan orang lain untuk meruntuhkan Islam.”

Sekiranya misi Zionis berjalan lancar, lambat laun akan terbinalah kerajaan sejagat di bawah tamadun Amerika Zionis, yang cuba dicanangkan melalui agenda globalisasi. Tiadalah lagi segala tamadun lain termasuk Islam dan akan lahirlah kerajaan sebuah Yahudi sebagai pemerintah baru dunia, menunggu ketibaan Dajjal yang mereka percaya, itulah al-Masih yang akan memimpin mereka merajai dunia. Percayalah globalisasi Barat bukan sekadar teori konspirasi.

Semoga tarikh bersejarah hari ini mampu menyedarkan kita akan bahaya yang sedang dihadapi. Binalah kekuatan sesama Islam, atas dasar 1 akidah dan 1 kiblat. Bebaskan diri dari sengketa sesama kita, dan bersatulah demi mas adepan manusia seluruh dunia. Sebesar manapun masalah umat Islam, selesaikanlah secara sebuah keluarga. Jangan libatkan pihak luar yang sangat oportunis terhadap nasib umat Islam.

Firman Allah;
اتَّبِعُوا مَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ مِنْ رَبِّكُمْ وَلَا تَتَّبِعُوا مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءَ ۗ قَلِيلًا مَا تَذَكَّرُونَ
“(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut selainnya (dari kalangan penguasa dan tokoh) sebagai tempat wala’; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan.” (surah al-Aa’raf ayat 3)

Biodata Penulis

Muhammad Marwan M.Shukrimun berasal dari Kuala Terengganu. Beliau merupakan EXCO DPP Kuala Nerus. Salah seorang tenaga pengajar di MDQ

No comments:

Post a Comment