Monday, 30 May 2016

Kisah Kejatuhan Kerajaan Islam di Andalus


Kejayaan pasukan Tariq ibn Ziyad menguasai kota Andalus pada tahun 711M sehingga ke tampuk kerajaan“Nasriyyah” atau “Bani Ahmar” yang mengakhirinya pada tahun 1492M, pernah melakarkan catatan pemerintahan Islam yang hebat. Tempoh tersebut hampir mencapai lapan abad! 800 tahun, suatu jarak yang seharusnya menjadi renungan  buat masyarakat Islam di seluruh dunia.

Tempoh tersebut membuktikan betapa kemunculan Tamadun Barat ada kaitannya dengan kecemerlangan Tamadun Islam yang telah terbina di Andalus. Ketika itulah dikatakan bahawa zaman intelektual berkembang megah dengan munculnya tokoh-tokoh Islam kawakan seperti Ibn Hazm (994M-1064M), Ibn Rushd (1126M-1198M), Ibn Bajjah (1082-1138M), Ibn Zuhr (1091-1162M) dan ramai lagi. Termasuklah golongan elit Kristian yang dipimpin oleh filosof terkenal Thomas Aquinas (1225M-1274M) dan Maimonides (1135M-1205M), seorang ahli teologi yang pernah terkenal di Andalus ketika pemerintahan Islam, sedangkan beliau berbangsa Yahudi.



Kejayaan Islam membina ketamadunan di Andalus, sesungguhnya sesuatu yang sangat mengkagumkan. Lebih memberi kesan jika ia turut ditinjau dari aspek perkembangan dan kejatuhan Andalusia itu sendiri demi mencari kesimpulan yang baik oleh kita semua.

Secara integral, para sejarawan bersepakat menyatakan bahawa kedatangan Islam ke Andalusia adalah di bawah pimpinan Tariq ibn Ziyad. Beliau adalah tokoh Islam terkenal telah memimpin pasukan tenteranya mengharungi Gibraltar (asalnya Jabal Tariq) yang memiliki kedudukan strategik pintu gerbang para pedagang antarabangsa, di mana para pedagang lazimnya menggunakan laluan tersebut bagi mengharungi lautan Atlantik dan Mediterranian.

Sebelum pembukaan Islam, wilayah Andalus dimonopoli secara rakus oleh golongan bangsawan (noble lord) sehingga berlaku penindasan terhadap golongan bawahan. Krisis ini menyebabkan ramai rakyatnya yang tidak berpuas hati dengan pihak pentadbiran negara mereka. Kesannya menyebabkan banyak tanah pertanian terbiar beku, industri-industri terpaksa ditutup dan ia sekaligus melumpuhkan ekonomi Andalus.


Menyedari kepincangan itu, Gabenor “Visigothic” (Visigoth) iaitu Count Julian berpaling tadah dan menentang Raja Don Roderick, beliau turut bekerjasama dengan Tariq ibn Ziyad untuk mengembalikan keadilan di wilayah tersebut. Pendirian Julian itu juga diriwayatkan ada kaitannya dengan tindakan Don Roderick yang merogol isteri dan anak perempuannya.

Tariq ibn Ziyad memimpin pasukan Islam hanya berjumlah 7000 orang, berdepan pula dengan tentera Don Roderick yang berjumlah seramai 100 000 orang. Lalu bagi meningkatkan semangat pasukan tenteranya di perlawanan yang tidak seimbang ini, dikatakan bahawa Tariq ibn Ziyad mengarahkan agar kapal mereka dibakar sambil digambarkan beliau berpidato;
أيها الناس؛ أين المفرُّ؟! والبحر من ورائكم والعدوُّ أمامكم، فليس لكم والله! إلاَّ الصدق والصبر
"Wahai saudara-saudaraku, lautan ada di belakang kalian, musuh ada di depan kalian, ke manakah kalian akan lari? Demi Allah, yang kalian miliki hanyalah kejujuran dan kesabaran..."

Kalimat tersebut dikobarkan oleh Tariq ibn Ziyad bagi menaikkan semangat pasukan tentera Islam dan akhirnya tercatat dalam sejarah penyebaran Islam ke Andalus. Walau bagaimanapun ia diragui oleh sesetengah pengkaji terutama hal yang melibatkan pembakaran kapal kerana usaha menakluk Andalusia pada peringkat pertama melalui jalan laut sebenarnya dirintis awal oleh Tarif ibn Malik atau dikenali Abu Zurah bin Malik al-Nakha'ei.

Tarif yang mula-mula bersama kekuatan pasukan armada laut bagi meraih jalan ke arah penaklukan Semenanjung Iberia itu. Hal itu telah mendorong Gabenor Qayrawan, Musa ibn Nusair dan seterusnya Tariq ibn Ziyad bergerak bersama demi menakluk Andalus. Oleh itu ada keraguan bagi Tariq mengarahkan kapal dibakar kerana sepatutnya Tarif yang lebih layak memerintahkan begitu. Kerana Tarif memimpin kekuatan armada, sedangkan Tariq memimpin kekuatan artileri.

Kemenangan tentera Islam menguasai medan Gibraltar telah membuka ruang untuk pasukan Islam terus menguasai Andalus sehingga Tariq dapat meneruskan penguasaan ke Cordova dan Toledo. Kemenangan demi kemenangan dapat dicapai oleh tentera Islam dalam usaha melebarkan kerajaan Islam di bumi Eropah termasuk Bandar Zaragoza, Leon, Malaga, Sevilla dan beberapa buah bandar lain.

Sejak dari itu, Islam mula tersebar luas ke seluruh Andalusia dan bermulalah penguasaan Bani Umayyah di Andalus. Khalifah Bani Umayyah yang berpusat di Dimashq telah mewakilkan beberapa orang Gabenor untuk mentadbir Andalus. Seramai 20 orang Gabenor telah mentadbir Andalus dari tahun 718-756M. Gabenor yang pertama ialah Abdul Aziz ibn Musa ibn Nusayr dan yang terakhir ialah Yusuf ibn Abdul Rahman al-Fihri.

Apa yang menarik untuk diperhatikan sejarah pemerintahan Andalus ini ialah pemerintahannya kekal di bawah penguasaan kerajaan Bani Umayyah, walaupun kerajaan Bani Abbasiyah telah mula bertapak dan berpusat di kota Baghdad bermula pada tahun 132H/ 750M. Ini bermaksud, walaupun kerajaan Islam yang memimpin majoriti umat Islam sudah beralih kepada Bani Abbasiyah, namun Andalus terus diungguli oleh para pemerintah dari kelompok Umayyah.

Fakta sejarah mengakui bahawa sebelum Islam membuka Andalus, masyarakat Kristian Eropah hidup di dalam kejahilan dan kegelapan pimpinan Roderick. Lantas, usaha-usaha dilakukan oleh pemerintah Islam di Andalus telah memberikan impak positif sehingga Barat kemudiannya dapat membina tamadun mereka yang membanggakan pada hari ini.

Pada peringkat awal, pemerintah Islam berjaya mengawal masyarakat di Andalus walaupun mereka mempunyai pelbagai latar belakang. Ada di kalangan mereka berbangsa Yahudi, Barbar, Islam, Kristian dan lain-lain. Kecemerlangan dapat dicapai apabila masyarakat berbilang kaum ini dapat dijaga dengan sempurna. Namun, antara punca kejatuhan kerajaan Islam Andalusia ini juga turut disebabkan oleh kepelbagaian budaya yang merenggangkan hubungan erat sesama mereka. Fahaman racist yang menebal akhirnya mengakibatkan Andalus turut menjadi lemah.

Sebenarnya pemerintahan Islam di Andalus berjaya menjamin hak-hak asasi kaum lain sehingga mereka boleh membantu dalam usaha meninggikan tamadunnya. Gambaran ini dapat difahami menunjukkan bahawa perpaduan antara kaum berasaskan jaminan terhadap hak-hak kaum minoriti sebenarnya mampu mewujudkan kestabilan selagi mana ia tidak bertentangan dengan akhlak Islam. Oleh sebab itu, kita dapat menyaksikan tamadun Islam Andalus menguasai dunia dan meniti di bibir umat manusia.

Namun begitu, seakan sudah menjadi lumrah zaman bahawa di sana ada kitaran ketamadunan seperti yang dibicarakan oleh Ibn Khaldun di dalam "Muqaddimah"-nya sebagai sunnatuLlah. Kitaran ketamadunan yang dibicarakan Ibn Khaldun di dalam kitabnya, dan pernah dikembangkan lagi oleh Syeikh Rashid Redha sebagai sunanul kawniyah, menyebabkan kita berfikir bahawa segala apa yang berada dipuncak pasti akan melalui tempoh kejatuhan.

Kitaran inilah yang turut melanda Andalus sehingga kejayaan yang dibina semakin lama semakin menyusut dan menunjukkan ketidakmampuan untuk dipertahankan. Apa yang dimaksudkan ialah ketidakmampuan untuk mempertahankan penguasaan Islam di sana dari sudut prestasi politik pentadbiran, bukannya dari sudut kecemerlangan intelektual dan fizikal.

Kejatuhan Andalus tidak berlaku sekelip mata, tetapi melalui proses yang panjang. Sayangnya, tiada dikalangan pemimpin umat Islam ketika itu yang berjaya mempertahankan Andalus. Tiada Salahuddin Al Ayubi, tiada Saifuddin Qutuz, dan tiada Muhamad al-Fateh. Bibit-bibit kejatuhan bermula setelah pemerintahan Andalus dijuzukkan kepada kerajaan-kerajaan kecil.

Andalusia yang diperintah oleh satu kerajaan, satu khalifah, berpecah menjadi 20 buah kerajaan kecil. Pembentukan kerajaan-kerajaan kecil ini turut dikenali sebagai Muluk al-Tawa'if, ia wujud disebabkan semangat puak, sikap fanatik terhadap bangsa. Mereka tidak langsung berpegang kepada semangat Ukhuwwah Islamiyah dan seakan menjurus kepada ketuanan kaum sesama sendiri.

Fenomena ini berlaku setelah pucuk pimpinan di Cordova menghadapi masalah dalaman iaitu bergaduh dan bercakaran, malah ada yang saling menindas untuk merebut kuasa khalifah dan penguasaan wilayah. Akibatnya, Cordova yang masyhur di dalam Bahasa Arab sebagai "al-Qurtubah" akhirnya menjadi bandar yang terakhir jatuh sepenuhnya ke atas Raja Ferdinand. Ia berlaku pada zaman pemerintahan terakhir Andalus di bawah Bani al-Ahmar yang menguasai wilayah terakhir di Granada dari tahun 620H-897H. Penyerahan wilayah terakhir ini terpaksa dilakukan demi menyelamatkan maruah pemerintah Islam di bawah pimpinan Abu Abdullah daripada digulingkan dengan cara yang lebih teruk.

Ketika Bani Ahmar memerintah Andalusia, wilayah pemerintahan mereka sudah gugup dan menguncup, tidak lagi sepertimana pada zaman kegemilangan pemerintahan Abdul Rahman III. Secara khusus, pemerintahan mereka hanya melibatkan wilayah Granada sahaja yang menjadi daerah terletaknya istana yang masyhur iaitu istana Al-Hamra' atau dalam bahasa Sepanyol hari ini lebih dikenali sebagai al-Hambra.

Berlaku perselisihan keluarga dalam hal mewarisi kepimpinan, pergolakan anak-beranak diraja berlaku dan seterusnya melemahkan lagi pemerintahan Islam di Granada. Sikap Abu Abdullah yang hilang pertimbangan dan tidak berpuas hati dengan pewarisan takhta yang diputuskan oleh bapanya, menyebabkan beliau memberontak sehingga sanggup mengorbankan nyawa bapanya. Namun, takhta pemerintahan tetap tidak menyebelahi Abu Abdullah.

Tetapi kerakusan Abu Abdullah tidak padam, bahkan perancangan dibuat dalam bentuk kerjasama dengan Raja Ferdinand untuk merampas kembali takhta pemerintahan. Rampasan itu berjaya, ringkasnya Abu Abdullah dapat menduduki takhta tetapi bagi jangkamasa yang relatif disebabkan tekanan dari Ferdinand untuk mendapatkan habuan. Habuannya tidak lain tidak bukan ialah penyerahan wilayah Granada kepada kerajaan Ferdinand, lantas masyhurlah Ferdinand yang beristerikan Isabella itu sebagai satu-satunya raja yang berjaya menumbangkan kerajaan Islam di Andalus.

Kejatuhan Andalus rupanya adalah kelemahan pemerintahan sanggup menggadai prinsip demi mendapat bantuan sokongan untuk menduduki takhta yang hanya mampu dicapai buat sementara waktu sahaja. Selain itu ia turut disebabkan beberapa faktor internal dan eksternal, iaitu :
  1. Tiada mekanisme dalam mencari pengganti yang layak untuk meneruskan pemerintahan di Andalus. Kebanyakan mereka hanya mewariskan kepimpinan melalui sistem monarki yang pada waktu itu sudah korup, tiada akauntibiliti dan hilang integriti di mata rakyat.
  2. Tiada wala' terhadap khalifah yang sah mentadbir kerajaan. Masing-masing menyimpan hasrat untuk menguasai wilayah pemerintahan sehingga berlaku perebutan kuasa yang tidak berkesudahan.
  3. Tiada kesepakatan (wehdatul fikri dan wehdatul amal) dalam mentadbir wilayah yang dikuasai sehingga wujud perbezaan pemerintahan antara satu wilayah dengan wilayah yang lain.
  4. Perbezaan fikrah yang wujud sehingga hilang adabul ikhtilaf di kalangan mereka, lalu perbezaan tersebut banyak membawa jatuh-menjatuhkan, runtuh-meruntuhkan dan kurang usaha untuk bekerjasama dalam hal-hal yang disepakati.
  5. Wujudnya golongan yang ingin menghancurkan mereka dari dalam seperti golongan yang ingin bekerjasama dengan musuh tanpa mengambil kira untuk memperkuatkan ikatan dalaman sesama mereka.
Kesan daripada faktor-faktor inilah umat Islam dibunuh atas restu Pope dan ada yang dihalau keluar dari Andalusia, bahkan ada di antara mereka yang terus diperangi lagi dan lagi walaupun sudah bersedia keluar dari Andalusia. Musibah ini turut terpalit kepada kaum Yahudi, di mana tiada kuasa yang boleh melindungi mereka setelah kerajaan Islam menjadi lemah seterusnya runtuh.

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.

No comments:

Post a Comment